PIPOC 2007  
       
  LANGKAWI INTERNATIONAL DIALOGUE  
       
  IKIM :THE ROLE OF ISLAMIC  
       
  KL OIC HEALTH  
       
  PERAK ROYAL EVENT  
       
  DEVELOPING 8 (D8) MINISTERS MEETING ON FOOD SECURITY  

 
 

Ogos 23, 2017 -Rabu

 
  BENGKEL KLESF MENDORONG PERGERAKAN STEM DI BORNEO

Saturday 12/08/2017



SAMARAHAN, 12 Ogos (Bernama) -- Dianggarkan 400 pelajar daripada 14 buah sekolah telah melibatkan diri dalam Bengkel Mini KLESF: Sarawak (KMWSC) yang telah diadakan hari ini di SMK Kota Samarahan. Ia merupakan lanjutan program Fiesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur (KLESF), sebuah acara tahunan yang diadakan di ibu negara sejak 2014 untuk menggalakkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dikalangan pelajar sekolah dan golongan muda. KLESF dan program-program dibawahnya menyokong agenda nasional – Science to Action (S2A) yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 2013.
 
Program ini telah dianjurkan bersama oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Kementerian Pendidikan Malaysia (MOE) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPN Sarawak).
 
KMWSC telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab memantau MIGHT, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri. Turut hadir di majlis tersebut ialah Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Profesor Tan Sri Zakri Abdul Hamid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT yang juga Pengerusi Bersama KLESF, Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman, dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Sulaiman Wak, Presiden ASEAN Academy of Engineering and Technology (AAET) dan Pengerusi KLESF, Ir Datuk Hong Lee Pee, Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan, En Abdul Latif bin Bujang dan Pengetua SMK Kota Samarahan, selaku tuan rumah bengkel KLESF Sarawak, En. Bujang Awang Jamain.
 
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri di dalam ucapan perasmiannya menyatakan, “Sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dan Rancangan Malaysia ke-11 untuk mentransformasikan sistem pendidikan, usaha menerapkan kesedaran kepentingan STEM harus dipikul bersama oleh bukan sahaja pihak kerajaan, malah pihak swasta, ibubapa dan komuniti serantau.”
 
Tambah beliau lagi, “Disinilah letaknya fungsi program KLESF, di mana pihak kerajaan, industri, ibubapa, saintis muda, dan komuniti bersama-sama menyokong usaha yang menggalakkan pembelajaran dan peluang kerjaya dalam bidang berkaitan STEM di kalangan pelajar sekolah, di samping mewujudkan jaringan di antara semua pihak terlibat bagi berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan projek-projek dan kurikulum tambahan berkenaan STEM.”
 
Objektif KMWSC adalah sejajar dengan program KLESF – untuk memupuk minat dan menekankan kepentingan STEM dikalangan golongan sasaran. Justeru, berdasarkan objektif ini, program-program yang telah dirancangkan oleh bengkel ini berbentuk interaktif agar dapat menarik minat para peserta. Antara program-program yang telah diadakan ialah Gambar Ceria, Pengenalan kepada Arduino, Hello dari Raspberry Pi, Roket Kertas dan Perlumbaan Makmal.
 
Terdapat pelbagai penyumbang kandungan STEM yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan badan akademik terlibat dengan KMWSC ini seperti Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Kolej Pengurusan dan Sains (MSU), Jabatan Meterologi Malaysia (Metmsia), Politeknik Kuching, Universiti Sunway, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Di samping aktiviti-aktiviti diatas, satu sesi istimewa telah diadakan bersama Profesor Tan Sri Zakri Abdul Hamid bertajuk Berbual Bersama Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, ‘Mengapa Saya Memilih Untuk Menjadi Saintis”. Semasa sesi ini, beliau telah berkongsi pengalaman yang telah ditimbanya bersama para pelajar.
 
Samarahan menyasarkan untuk menjadi pusat pendidikan dan penyelidikan tempatan yang bertaraf antarabangsa. Beberapa universiti, institut pengajian dan lain-lain pusat pembelajaran telah ditubuhkan di daerah tersebut. Berdasarkan aspirasi untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan ini, Samarahan telah dipilih untuk menjadi lokasi KMW ketiga ini.  
 
2 bengkel yang telah dianjurkan sebelum ini telah dijalankan di Teluk Intan, Perak dan Sungai Besar, Selangor, dengan penglibatan lebih 1300 pelajar dari 19 buah sekolah.
 
SUMBER: Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Fatin Asmida Asman
Executive, Group Communications, MIGHT
Tel : 03 – 8315 7938 / 012-549 6504
Emel : asmida@might.org.my
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2017 MREM . All rights reserved.