|
|
|
|
|
|
ISU TELUR AYAM YANG TERCEMAR DENGAN BAHAN KIMIA FIPRONIL DI BELANDA
Tuesday 15/08/2017
PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum beberapa laporan berhubung isu telur ayam yang tercemar dengan bahan kimia fipronil di Belanda yang disiarkan melalui media kebelakangan ini. Berikutan itu, pihak Jerman, Belanda, Belgium, Sweden dan Switzerland telah menarik balik berjuta-juta telur ayam dari pasaran selepas fipronil dikesan pada produk berkenaan.
Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama. Pengambilan fipronil pada paras yang tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan. Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan kesan kronik dan karsinogenik pengambilan fipronil kepada manusia.
Berdasarkan kepada maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM) di bawah KKM, Malaysia tidak mengimport telur ayam dari Negara Eropah. Di samping itu, pihak Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia telah mengesahkan bahawa tiada telur atau hasilan telur terbabit dieksport ke Malaysia.
Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan termasuk telur ayam yang mengandungi fipronil adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA SUMBER : Kementerian Kesihatan MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama : Nor Suzaman Abdul RahmanTel : 03-8883 3470 / 013-399 7025Emel : n.suzaman@moh.gov.my--BERNAMA | |
|
|
|
|
|
|