ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 23, 2024 -Selasa

 
  IKEA AKAN MENUBUHKAN PUSAT PENGEDARAN DAN RANTAIAN PEMBEKALAN SERANTAU UNTUK ASEAN DI MALAYSIA

Tuesday 22/08/2017



KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- IKEA, peruncit perabot terbesar di dunia yang beribu pejabat di Belanda, telah membuat keputusan strategik untuk menubuhkan Pusat Pengedaran dan Rantaian Pembekalan Serantau untuk ASEAN di Malaysia. Pusat ini, yang akan mengguna pakai struktur dan teknologi Pusat Pengedaran Serantau terbesar di Jerman, juga akan menjadi antara 10 Pusat Pengedaran Serantau yang terbesar Kumpulan IKEA di peringkat global.
 
Syarikat berkenaan akan melabur sebanyak RM908 juta untuk Pusat baru yang akan menguruskan inventori sebanyak 9,500 'stock keeping units' (SKUs) bernilai RM6.6 bilion setahun. Gudang pengkhususan IKEA yang berkeluasan 100,000m2 ini akan menggunakan sistem ICT bersepadu dan automasi untuk mengurangkan pergantungan ke atas buruh dan dengan ketara akan meningkatkan kecekapan dan ketepatan proses pengurusan inventorinya.
 
Malaysia sentiasa menjadi pasaran penting bagi IKEA. Gedung IKEA di Malaysia adalah antara gedung IKEA yang paling banyak dikunjungi di seluruh dunia. Dengan penubuhan Pusat Pengedaran dan Rantaian Pembekalan Serantau ini, Malaysia akan mengukuhkan peranannya dalam menyokong pertumbuhan IKEA di rantau ASEAN. Pusat ini akan memberi khidmat kepada 12 gedung IKEA di ASEAN, yang akan meningkat kepada 20 buah gedung pada 2026.
 
Mengucapkan tahniah kepada IKEA, YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) berkata, "Projek ini, yang dihasilkan dari penglibatan berterusan dan fasilitasi oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merupakan satu pencapaian yang signifikan kepada IKEA dan Malaysia. Keputusan IKEA untuk memilih negara kita sebagai pangkalan untuk menyokong peruncit di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Filipina dan India mencerminkan kesesuaian strategik negara ini dalam menyokong strategi pertumbuhan keseluruhan IKEA di rantau ASEAN.”

"Penubuhan ini juga meningkatkan lagi momentum ke arah menjadikan Malaysia sebagai Hab Pengedaran Serantau dan gerbang logistik pilihan ke Asia seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Logistik Dan Fasilitasi Perdagangan dan Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR). Pengembangan teknologi dalam rantaian logistik telah dikenal pasti sebagai faktor utama dalam meningkatkan keupayaan penyedia perkhidmatan logistik ke arah mengukuhkan mekanisme fasilitasi perdagangan. Oleh itu, gudang 'high-flow' dan automatik IKEA pastinya sejajar dengan agenda ini," tambah YB Dato' Sri Mustapa.
 
Kerajaan Malaysia juga secara aktif menggalakkan konglomerat tempatan dan MNC untuk menubuhkan operasi serantau mereka di Malaysia menerusi pelbagai model perniagaan termasuk skim Hab Prinsipal (PH) yang membolehkan syarikat memusatkan aktiviti global mereka seperti perolehan dan pengedaran. Penubuhan seumpama ini membawa banyak kesan pengganda kepada negara, dari mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, menyumbang perbelanjaan perniagaan yang tinggi, memperhebatkan penggunaan perkhidmatan sampingan tempatan, meningkatkan aliran pertukaran asing serta mengukuhkan rantaian nilai dalam industri sasaran.
 
Sehingga kini, MIDA telah meluluskan sebanyak 26 projek PH sejak diperkenalkan pada Mei 2015. Bagi tempoh 10 tahun akan datang, projek-projek ini akan menyumbang perbelanjaan perniagaan sebanyak RM16.8 bilion, menggunakan perkhidmatan sampingan tempatan bernilai RM2.2 bilion dan menjana lebih daripada 1,800 pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia. Antara syarikat terkenal yang telah diberikan skim PH termasuk Honeywell, Kumpulan Super, Avago Technologies, Lotte Chemical Titan, Daikin dan Sharp.

MENGENAI MIDA:
MIDA merupakan agensi promosi pelaburan utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memantau dan memacu pelaburan bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Bermula pada tahun 1967 dengan hanya 37 staf, MIDA telah berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat dan dinamik dengan lebih 700 pekerja. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA hari ini mempunyai 12 buah pejabat negeri dan 23 pejabat di luar negara. Tahun ini sebagai organisasi yang meraikan ulang tahun ke-50, MIDA terus menjadi rakan kongsi strategik kepada perniagaan dalam merebut peluang-peluang yang wujud daripada revolusi teknologi zaman ini.

SUMBER : Malaysian Investment Development Authority ​

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Puan Roeslina Abbas
Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Bisnes & Inovasi Rantaian Bekalan
Tel.: 03-2267 3473
Emel: roeslina@mida.gov.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.