ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  IBCM 2017: RANGSANGAN INOVATIF EKONOMI BIOMAS

Thursday 19/10/2017



Ke arah ekonomi berpandukan inovasi berasaskan bio 

KUCHING, 19 Okt (Bernama) -- Evolusi Malaysia kepada model ekonomi kitaran bagi menjana kekayaan dari sisa biomas, tenaga bio serta  penapisan bio merupakan tema utama di Persidangan Biomas Antarabangsa Malaysia 2017 (IBCM 2017), yang juga meneroka potensi negara dalam pertanian digital dan pembangunan luar bandar sebagai pemangkin sokongan yang penting bagi model ekonomi baru ini.

Persidangan itu dengan tema "Revolusi Industri Biomass 4.0: Ekonomi Berpandukan Inovasi Berasaskan Bio” menampilkan barisan 18 penceramah/ahli panel antarabangsa serta 15 pakar-pakar bidang berkaitan dari Malaysia dan dihadiri lebih daripada 900 perwakilan dari Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Belanda, Korea Selatan, Denmark dan Jepun.

YAB Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak pada majlis perasmian IBCM 2017 berkata: "Persidangan ini tepat pada masanya untuk mencetuskan pemikiran inovatif dalam perjalanan ke arah agenda bio-ekonomi Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Kami yakin Sarawak dapat membantu meletakkan Malaysia sebagai Hab Pemprosesan Biomas serantau untuk aplikasi hiliran bernilai tinggi. Komitmen yang ada kini amat kukuh dan kita berada di landasan yang betul ke arah sasaran, tetapi kita memerlukan semua sokongan dan peluang-peluang kolaborasi yang ada dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa untuk menjadikan perjalanan ke arah sasaran ini menarik dan bermanfaat bagi semua."

Kenyataan optimis Ketua Menteri Sarawak disambut baik oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Penasihat Agensi Inovasi Malaysia (AIM) yang menggambarkan persidangan ini sebagai peluang emas bagi para pihak berkepentingan  industri untuk berkongsi pengetahuan, memfokuskan minda inovatif mereka dan menggarap langkah realistik serta praktikal untuk menjadikan Sarawak sebagai zon sektor penting negara bagi masa depan bio-ekonomi Malaysia.

"IBCM 2017 menampilkan pakar-pakar pembangunan sumber biomas yang terkemuka dan saya yakin bahawa semua peserta, terutamanya dari sektor swasta dan awam di Sarawak, akan dapat melihat perspektif yang lebih besar mengenai apa yang harus menjadi langkah seterusnya untuk pelaksanaan yang akan membawa Sarawak lebih dekat kepada visi Strategi Biomas Nasional 2020 (NBS 2020)," katanya.

Mewakili YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), YB Datuk Haji Ahmad Maslan, Timbalan Menteri MITI berkata, "Kehadiran pihak berkepentingan tempatan di sini hari ini menunjukkan bahawa peserta industri kita amat menginginkan peluang perniagaan baru , dan bersedia untuk menyahut cabaran dan melangkah ke hadapan. Malaysia telah terbukti sebagai sebuah negara berdaya tahan dan kita sentiasa mencari cara untuk berinovasi dan memperbaiki diri sewaktu menghadapi keadaan yang mencabar. Kita ingin melihat lebih banyak lagi syarikat-syarikat meneroka perniagaan biomas bernilai tinggi, dan pada masa yang sama mampu menjadi mampan, berjaya dan berdaya saing di peringkat global. "

"R&D dan inovasi adalah penting untuk mencipta nilai serta menghasilkan peningkatan dan kemajuan di dalam teknologi yang akan membolehkan semua pihak berkepentingan dalam industri biomas merebut peluang ekonomi baru yang akan memberi mereka kelebihan daya saing. Kita amat mengalu-alukan persidangan tahun ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berasaskan bio yang diterajui inovasi, selain daripada menangani cabaran dan peluang yang ada dalam menerapkan elemen Industri 4.0 dalam industri biomas," kata YB Datuk Haji Ahmad Maslan.

"Walaupun Malaysia telah melaksanakan pelan, infrastruktur, pemangkin dan sistem sokongan yang diperlukan untuk mempercepatkan lagi pembentukan industri ini, pembangunan dan pelaksanaan yang berterusan tidak seharusnya bergantung kepada Kerajaan sahaja, tetapi ia merupakan usaha kolektif. Masa depan industri ini memerlukan kerjasama yang erat di seluruh rantaian nilai dalam kalangan semua pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa," tambah YB Timbalan Menteri.

YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Bin Abdul Ghani, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, berkata persidangan itu berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan interaksi antara semua pihak berkepentingan dalam ekosistem biomas. "Tahun ini adalah kali pertama kerajaan persekutuan dan negeri bergabung dan bekerjasama bagi menjayakan IBCM. Pada akhir persidangan, diharapkan para peserta akan memperoleh pemahaman yang lebih baik tentang pergerakan global dalam ekosistem biomas, dan dapat menerapkan pengetahuan baru yang bermanfaat kepada kedua-dua tahap organisasi dan individu.”

Beliau berkata pembangunan industri biomas di Sarawak adalah selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan ekonomi berasaskan bio dan merupakan kesinambungan daripada Persidangan Antarabangsa Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak 2017 (ICAAS 2017) di mana sistem penyampaian pertanian berkesan dan peluang-peluang dalam penggunaan teknologi digital telah dibincangkan dan dikenal pasti.

Encik Naser Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif AIM berkata IBCM 2017 bertujuan untuk mencetuskan tahap baru dalam pemikiran inovatif dengan pengenalan topik-topik penting yang strategik kepada penciptaan ekonomi biomas yang mantap dan mampan.

"Salah satu idea paling menarik yang dibentangkan ialah pembangunan model baru kitaran ekonomi dan kesan pendigitalan ke arah mempercepat agenda ekonomi biomas Malaysia. Penyesuaian kepada Revolusi Industri 4.0 seperti yang dicadangkan melalui tema ‘Revolusi Industri Biomass 4.0: Ekonomi Berpandukan Inovasi Berasaskan Bio’, akan menggalakkan penggunaan sumber yang cekap dan dioptimumkan, serta mengelakkan pembaziran seperti kebocoran sumber tenaga yang akan membantu Malaysia mencapai matlamat ekonomi jangka panjang dan kemampanan," katanya.

Beliau berkata ini juga selaras dengan sidang kemuncak baru-baru ini yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) bertema "Pendigitalan Sarawak, Mengembangkan Pertumbuhan" di mana Kerajaan Negeri Sarawak mengumumkan fokusnya kepada bio-ekonomi dan hasrat memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber biomas di negeri itu yang diberkati dengan kepelbagaian biologi yang berpotensi untuk dieksploitasi sepenuhnya dalam ekonomi berasaskan bio.

IBCM 2017 dianjurkan bersama oleh AIM, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Unit Perancang Negeri Sarawak (SPU) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Persidangan itu diadakan di Sarawak sebagai negeri tunggak bagi agenda bio-ekonomi Malaysia yang mempunyai banyak sisa-sisa dan sumber-sumber biomas. Sarawak adalah pusat pertumbuhan bio-ekonomi Malaysia bersama Sabah di bawah Rancangan Pembangunan Industri Biomas Sabah dan Sarawak (SBIDP).

Negeri Sarawak sahaja berpotensi menjana Pendapatan Negara Kasar sebanyak RM4.8 bilion, mewujudkan 30,000 pekerjaan baru dan peluang pelaburan sebanyak RM18 bilion di seluruh rantaian nilai bio-ekonomi, dengan menggunakan kira-kira enam juta tan sisa kering biomasnya.

Mengenai penglibatan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dengan inisiatif untuk merangsang bio-ekonomi Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Dato 'Azman Mahmud berkata,”Malaysia telah membangun menjadi salah satu destinasi menarik bagi pelaburan berasaskan biomas, persidangan ini mengumpulkan pemain industri tempatan dan antarabangsa  daripada keseluruhan rantaian nilai biomas, merangkumi industri utama dan hiliran, pembuatan hingga pedagang serta ekosistem yang menyokongnya, bagi membincangkan peluang dan cabaran serta merangka pelan kemajuan industri ini.”

“Kepentingan tenaga boleh diperbaharui semakin ditekankan dalam polisi hijau kebanyakan negara-negara seperti Korea, Jepun, dan China. Ini telah mewujudkan minat yang mendalam bagi pemain industri untuk melihat Malaysia sebagai lokasi sumber bahan mentah. Dari tahun 2011 hingga 2016, 226 projek biomas dengan pelaburan sebanyak RM2.92 bilion telah diluluskan oleh MIDA. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sumber asli, Malaysia memiliki peluang yang besar untuk pelaburan berasaskan biomas untuk berkembang maju,” tambah Datuk Azman.

IBCM 2017 yang berlangsung selama dua hari telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri diikuti oleh ucapan khas oleh YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri.

Petteri Pihlajamäki, Pengarah, Ketua Perundingan Perhutanan dan Biomas Sedunia, Pöyry Management Consulting, Helsinki menyampaikan ucaptama mengenai topik pentingnya Sarawak kepada aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi biomas, dengan menggambarkan potensi negeri itu dan cabaran-cabaran yang akan mendatang .

Ini diikuti oleh wacana mengenai penjanaan kekayaan daripada sisa oleh TYT Maria Castillo Fernandez, Duta Besar dan Ketua Delegasi, Kesatuan Eropah ke Malaysia, yang membentangkan topik ini melalui perspektif model Ekonomi Kitaran Kesatuan Eropah dan penerapan model ini dalam bio-ekonomi Malaysia.

Turut diketengahkan sepanjang acara dua hari itu ialah bengkel-bengkel Pengkomersilan Idea Inovatif oleh PlaTCOM Ventures Sdn Bhd, serta Ekonomi Digital: Yayasan Steinbeis Malaysia Membantu Perniagaan Sarawak Memasuki Pasaran E-dagang Global oleh Yayasan Steinbeis Malaysia, selain daripada bengkel anjuran kumpulan kerja NCII AIM tentang bagaimana syarikat-syarikat tempatan  boleh memacu inovasi dan mempercepat pertumbuhan menerusi Indeks Inovasi Korporat Malaysia (NCII).

Bengkel-bengkel mengenai peluang-peluang serantau juga diadakan oleh pakar-pakar dan pembuat dasar yang berkaitan dari Belanda yang bertajuk Belanda: Peluang Serantau Berasaskan Bio dan Simposium Tenaga Korea yang disampaikan oleh wakil dari syarikat-syarikat tenaga, teknologi dan penyedia perkhidmatan sektor tenaga dari Korea dengan kerjasama Kedutaan Republik Korea di Malaysia.

Mengenai Agensi Inovasi Malaysia

Agensi Inovasi Malaysia (AIM) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan menerusi Akta Parlimen yang diwujudkan bagi memulai penjanaan kekayaan menerusi pengetahuan, teknologi dan inovasi, serta merangsang dan membangunkan ekosistem inovasi di Malaysia dalam menuju Wawasan 2020.

Matlamat utama AIM ialah untuk:
- Menjana pendapatan tambahan bagi menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
- Menyediakan pekerjaan tambahankepada tenaga kerja Malaysia
- Menginspirasi dan melahirkan generasi baru usahawan-usahawan inovatif
- Memudahkan evolusi syarikat-syarikat Malaysia menjadi pemain utama global

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.innovation.my
 
Mengenai MIDA

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah agensi promosi utama kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mengawasi dan memacu pelaburan ke sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia. Bermula pada tahun 1967 dengan 37 kakitangan, MIDA telah berkembang menjadi organisasi yang kukuh dan dinamik dengan lebih daripada 700 kakitangan. Dengan beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA hari ini mempunyai 12 pejabat serantau dan 23 pejabat antarabangsa. MIDA menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini dan terus menjadi rakan strategik kepada perniagaan dalam merebut peluang-peluang yang timbul daripada revolusi teknologi zaman ini. Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.mida.gov.my/
 
Mengenai Strategi Biomas Nasional (NBS) 2020

Strategi Biomas Nasional (NBS) 2020 telah dilancarkan pada November 2011 untuk menilai bagaimana Malaysia boleh menjana lebih keuntungan daripada industri minyak sawitnya melalui penggunaan biomas sebagai permulaan. Sebagai kesan kepada kerjasama rapat Kerajaan Malaysia dengan syarikat-syarikat sektor swasta serta institut penyelidikan tempatan dan luar negara dan akademia. Strategi ini menggariskan pelan tindakan dan peluang dalam rantaian nilai biomas  yang bakal menghasilkan tambahan RM 30 bilion KDNK, 66,000 pekerjaan, 12% pengurangan Karbon dan pelaburan bernilai RM 25 bilion.

Sementara strategi ini pada awalnya berfokus kepada industri minyak kelapa sawit kerana industri ini merupakan penyumbang terbesar biomas di Malaysia, skop NBS 2020 turut merangkumi segala jenis sumber biomas seperti getah, kayu-kayan, dan sekam. Dalam versi 2.0 NBS 2020 yang telah diumumkan pada 2013, skop yang ditambah adalah sektor perhutanan dan tanaman terpilih di tanah terasing sebagai sumber mentah untuk nilai hiliran yang lebih tinggi dan menjawab kepada ketersediaan sumber, kos pengangkutan, dan potensi bekalan hiliran.

Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.nbs2020.gov.my/
 
Mengenai 1MBAS

Unit jawatankuasa bertindak di bawah Agensi Inovasi Malaysia, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk memperkasa pelaksanaan Strategi Biomas Nasional 2020. Untuk menyokong objektif ini, IMBAS menyediakan bantuan bersepadu dan sokongan kepada semua pihak berkepentingan biomas di seluruh rantaian nilai.

SUMBER : Malaysia Investment Development Authority (MIDA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama : Haliza Ahmad 
Corporate Communications
Tel : 019 675 7147 
Emel : haliza@innovation.my

Nama : Saiful Mahadhir 
Tel : 019 673 6134
Emel: saiful.mahadhir@innovation.my

Nama : Ibnu Mohamad 
Tel : 013 257 5520 
Emel : mohamad.ibnu@innovation.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.