ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 18, 2024 -Khamis

 
  KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI BERHUBUNG KAWALAN BERSEPADU ULAT BUNGKUS

Wednesday 18/04/2018


Datuk Seri Mah Siew Keong bersama para pekebun kecil sawit Sg Suli, Teluk Intan semasa pelancaran bantuan kawalan bersepadu ancaman ulat bungkus.



KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Serangan ulat bungkus dilihat semakin serius di kawasan penanaman sawit terutamanya di kawasan kebun sawit yang dimiliki oleh pekebun-pekebun kecil persendirian. Kesan serangan ini boleh menyebabkan kerugian hasil sawit pada kadar 33 hingga 47 peratus yang mampu menjejaskan pendapatan negara secara amnya dan memberi impak kepada peneroka serta pekebun kecil di mana mereka bergantung harap sepenuhnya kepada hasil sawit untuk menyara kehidupan seharian dan keluarga.
 
Serangan ulat bungkus yang serius biasanya mengambil masa sehingga dua tahun untuk dipulihkan sepenuhnya melalui kawalan secara bersepadu. Berikutan impak yang serius itu, ulat bungkus telah diwartakan sebagai makhluk perosak berbahaya di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 pada 15 November 2013.
 
Menurut data yang direkodkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), hampir 28,051 hektar kawasan pekebun kecil telah diserang ulat bungkus. Justeru, bagi pekebun kecil sawit persendirian di mana pengeluaran hasil sawit yang terjejas akibat serangan ulat bungkus, mereka akan dibantu oleh MPOB melalui pelaksanaan Pengurusan Perosak Bersepadu (Integrated Pest Management) (IPM). IPM ini melibatkan semburan racun biologi menggunakan bakteria Bacillus Thruingiensis (BT) secara semburan udara, dan ianya tidak berbahaya kepada manusia, serangga bukan sasaran serta alam sekitar. Semburan udara BT ini dilakukan dengan menggunakan kapal terbang dan drone di kawasan tanaman sawit yang mengalami serangan.
 
SERANGAN ULAT BUNGKUS DI SG. SULI, TELUK INTAN, PERAK

Kawasan serangan ulat bungkus di kawasan pekebun kecil sawit khususnya di Sg. Suli telah bermula sejak tahun 2013 dengan keluasan kawasan serangan 537 hektar. Spesis ulat bungkus yang menyerang kawasan ini adalah spesis Metisa plana, di mana kitaran hidup ulat bungkus ini adalah lebih kurang tiga bulan dan setiap ulat bungkus betina mampu menghasilkan 100 hingga 300 biji telur pada satu-satu masa. 

Pemasangan perangkap feromon asli juga telah dipasang di kawasan pekebun kecil Sg. Suli pada tahun 2018 sebagai salah satu langkah kawalan biologi untuk mengurangkan populasi ulat bungkus semasa di peringkat kepompong. Sebanyak 300 tanaman bermanfaat, Turnera sp. telah diserah dan ditanam secara bergotong royong bersama pekebun kecil sawit Sg. Suli bermula tahun 2013 sehingga kini.
 
Situasi serangan ulat bungkus ini perlu ditangani segera dengan strategi amalan pertanian yang baik dan implementasi pengurusan perosak bersepadu.
 
Kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM12.4 juta kepada pekebun-pekebun kecil persendirian di seluruh Malaysia melalui MPOB bagi tujuan kawalan bersepadu ulat bungkus. Kerjasama semua pihak dan agensi adalah diperlukan bagi menangani kemerebakan ulat bungkus yang semakin serius. Strategi dan langkah kawalan yang sedang dijalankan ini, diharapkan mampu mengurangkan masalah ulat bungkus dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan industri sawit negara.


SUMBER : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Mohd Hilmi Mohd Ali

Pegawai Komunikasi Stratergik I
Unit Komunikasi Korporat (UKK)
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC)
Tel : 03-8880 3322 / 03-8880 3325
Faks : 03-8887 8205 
Emel : pro@mpic.gov.my / mohdhilmi@mpic.gov.my ​

--BERNAMA
 

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.