ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  MAJLIS FORUM BICARA AD-DEEN SEMPENA ULANGTAHUN KE-17 IKIMFM

Thursday 09/08/2018



KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan Majlis Forum Bicara Ad-Deen sempena Ulangtahun IKIMfm ke-17 pada 9 Ogos (Khamis) 27 Zulkaedah 1439H bertempat di IKIM.

Pada 6 Julai 2018 yang lalu, Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) telah meraikan ulangtahun ke-17 penubuhannya.  IKIMfm telah dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Julai 2001 dan merupakan satu-satunya stesen radio berkonsepkan pendekatan Islami yang beroperasi selama 24 jam sehari setiap hari ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Siaran IKIMfm menggabungkan program yang bersifat ilmu disamping hiburan yang mendidik jiwa. IKIMfm turut menyajikan pelbagai maklumat melalui siaran berita yang disiarkan lima kali sehari selain liputan khas program anjuran IKIM dan agensi kerajaan juga laporan khas yang diterbit dan disiarkan pada setiap Jumaat di dalam siaran berita jam 8.00 pagi. Sekitar 90% program IKIMfm dipersembahkan dalam bahasa Melayu manakala selebihnya dalam bahasa Arab dan Inggeris.

Anggaran rasmi oleh pihak GfK (Malaysia) iaitu sebuah syarikat pengkaji (survey) antarabangsa, yang terkini telah mencatatkan bahawa seramai 1.157 juta pendengar di Semenanjung Malaysia mengikuti radio Islami ini. Jika mengambil kira  keseluruhan pendengar termasuk di Sabah dan Sarawak dan pendengar yang mendengar menerusi radio dalam talian dijangkakan IKIMfm didengari oleh hampir dua juta pendengar.
 
Sempena ulangtahun ke-17 ini, IKIMfm terus mengikat pendengar untuk terus bersama kami dengan memantapkan program-program sedia ada dan ditambah dengan kemunculan program-program baharu yang menjadikan IKIMfm terus unggul menjadi pilihan utama pendengar setianya. Dengan kematangan usia 17 tahun, IKIMfm juga mengorak langkah mendekati pendengar melalui pelbagai cara bukan hanya penerbitan program di radio malah penganjuran acara luar seperti Karnival Mahabbah IKIMfm dan lain-lain.

PENCAPAIAN 17 TAHUN IKIMfm

Sepanjang tempoh 17 tahun ini juga, IKIMfm telah berjaya dianugerahkan pelbagai anugerah dan penghargaan, di antara pencapaiannya termasuklah beberapa penyampai iaitu En. Mohd Erwan Johari dan Datin Mona Jasman telah terpilih sebagai pemenang bagi kategori Penyampai Radio Terbaik dalam Majlis Anugerah Media Islam Negara, begitu juga program Forum Bicara Ad-Deen ini telah terpilih sebagai Program Bual Bicara Radio Terbaik dalam majlis anugerah yang sama. Selain itu Anugerah Seri Angkasa bagi kategori Pelakon Drama Radio Lelaki terbaik, Anugerah Media Kesihatan dan banyak lagi.

Kejayaan ini tidak lain adalah hasil daripada kerjasama semua pihak terutama rakan-rakan di IKIMfm dengan komitmen tinggi yang diberikan oleh para penyumbang daripada kalangan pendakwah, ilmuan, motivator dan pakar-pakar yang menjadi tunjang utama pengisian program di IKIMfm.

IKIMfm DAN TEKNOLOGI SEMASA

Sesuai dengan teknologi ICT semasa yang sentiasa berkembang IKIMfm sentiasa berusaha memperkemaskan strategi penyiarannya dengan memperkasakan strategi Online dengan melancarkan aplikasi radio streaming terkini kepada pengguna telefon pintar Android dan iOS. Aplikasi terbaharu ini bukan sahaja membolehkan pendengar mengikuti siaran IKIMfm dengan lebih baik dimana-mana sahaja bahkan pengguna juga boleh mendapat pelbagai info berkaitan IKIMfm, program, para penyampai  dan sebagainya. Antara yang menarik menerusi aplikasi ini ialah pengguna boleh mengetahui maklumat 10 lagu terakhir yang telah disiarkan di IKIMfm. Selain itu juga pengguna aplikasi ini boleh mendengar kembali program-program terpilih yang telah bersiaran di IKIMfm menerusi khidmat podcast yang disediakan. Aplikasi IKIMfm ini boleh dimuat turun di Google Play Store bagi pengguna Android dan Apple App Store bagi pengguna iPhone.

Trend semasa pendengar kini yang cenderung kepada program-program radio yang bersifat interaktif juga menuntut IKIMfm memperkasakan penggunaan media sosial sebagai medium interaktif bersama pendengar. Terkini, pendengar boleh menggunakan aplikasi WhatsApp untuk bertanya soalan atau memberi pendapat dalam program yang bersiaran. IKIMfm juga telah mula menyiarkan sebahagian besar program-program terbitannya menerusi Facebook Go Live dimana pendengar boleh penonton siaran langsung program yang sedang bersiaran dan berpeluang memberikan komen atau bertanya soalan. Siaran Facebook Go Live ini juga memberi peluang kepada pendengar yang terlepas mendengar siaran langsung sesuatu program untuk mendengar kembali program-program tersebut di Facebook fanpage IKIMfm .

IKIMfm DAN PENERBITAN BUKU

Peranan IKIMfm dalam usaha menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat tidak terhenti setakat menerbit dan menyiarkan program-program semata-mata. Untuk itu, IKIMfm telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku hasil daripada pengisian program di radio oleh para penyumbang. Projek penerbitan buku ini telah dilaksanakan dengan menjalinkan kerjasama pintar dengan syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd yang sehingga kini telah berjaya menghasilkan penerbitan lima buah buku iaitu buku Lasik Untuk Jiwa, Rahsia Menjemput Kebahagiaan oleh Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad, Buku Segelas Air Segenggam Kopi Siapa Pun Kita, Kita Semua Berpotensi Menjadi Juara oleh Dato’ Ustaz Badli Shah Alauddin, Laba Di Sebalik Bala oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi, buku Golden Rule Untuk Kebahagian Suami Isteri oleh Ustaz Mohamad Abdullah Al-Amin, buku Tahsin Ibadah 130 Soal Jawab Feqah oleh Allahyarham Ustaz Mohd Fadzli A-Yamani dan buku Kisah-Kisah Hebat Dakwah Nabi Musa A.S.

IKIM dengan kerjasama pihak Galeri Ilmu Sdn Bhd akan menerbitkan satu lagi buku hasil daripada program Inspirasiku yang disiarkan di IKIMfm setiap Selasa jam 8.30 pagi. Buku yang akan menceritakan kehebatan dan ketokohan tetamu-tetamu yang pernah diundang dalam program ini antaranya Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Allahyarham Datuk Maznah Abdul Hamid, Allahyarham Azmil Mustafa dan ramai lagi diharap mampu memberikan inspirasi kepada para pembaca.

PENUTUP

IKIMfm berperanan sebagai salah satu medium untuk IKIM memperluaskan sebaran kefahaman Islam kepada masyarakat akan terus diperkasakan peranannya sesuai dengan tiga teras yang dibawa oleh YB Menteri iaitu Rahmatan lil-‘Alamin, Maqasid al-Shar’iyyah dan Fiqh Malizi melalui siarannya. Semoga dengan usianya yang kini menjangkau 17 tahun, IKIMfm terus mampu untuk memenuhi keperluan pendengarnya dan akan terus menjadi pilihan utama pendengar yang menginginkan pengisian siaran radio yang mendidik dan menghibur jiwa.

Sumber : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Unit Perhubungan Korporat 
Tel : 03-6204 6329/ 03-6204 6330/ 03-6204 6331

Nama : Pn. Zawiah / Pn. Wan Zahidah 
Tel : 019-333 4253 / 019-276 8003

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.