ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  LARANGAN PENJUALAN PRODUK ACNOTIN SECARA DALAM TALIAN

Thursday 13/12/2018



KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) mengambil maklum tentang penjualan ubat terkawal produk Acnotin yang dijual secara dalam talian sama ada melalui media sosial seperti Facebook atau melalui platform e-dagang seperti yang dilaporkan dalam media massa.
 
Untuk makluman, semua pembekalan ubat-ubatan yang mengandungi racun adalah tertakluk kepada Akta Racun 1952. Bahan aktif Acnotin iaitu Isotretinoin dikelaskan sebagai Racun Kumpulan B di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952. Bagi pembekalan ubat-ubatan mengandungi racun Kumpulan B, Ahli Farmasi berlesen hanya boleh membekalkan ubat-ubat tersebut kepada pesakit melalui preskripsi yang sah yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar, pengamal pergigian berdaftar atau pegawai veterinar. Walau bagaimana pun, Isotretinoin mempunyai kesan sampingan TERATOGENIK dan boleh menyebabkan kecacatan kelahiran. Oleh itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) telah memutuskan bahawa ubat ini hanya boleh dipreskrip dan digunakan oleh doktor pakar dalam bidang dermatologi. Mana-mana penjualan Acnotin atau produk-produk yang mengandungi Isotretinoin secara dalam talian adalah dilarang sama sekali dan tidak sah di sisi undang-undang. 
 
Bagi menangani isu penjualan tersebut, KKM telah menubuhkan satu jawatankuasa ‘task force’ yang berfungsi untuk melakukan ‘Internet-activity analysis’ termasuk memantau dan menyiasat mana-mana aktiviti penjualan produk farmaseutikal secara dalam talian termasuklah produk Acnotin. 

Bermula 2017 hingga November 2018, sebanyak 50 laman sesawang dan media sosial berkaitan penjualan produk Acnotin telah disaring, dipantau dan diambil tindakan di seluruh Malaysia seperti sekatan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Facebook, Google, pembekal domain dan web hoster. Selain itu, KKM juga turut memantau platform e-dagang melibatkan penjualan produk Farmaseutikal yang tidak berdaftar, dicampur racun dan juga kosmetik yang mengandungi racun untuk tujuan jualan di platform-platform ini telah dikenalpasti dan diambil tindakan dalam tempoh tersebut. 
 
KKM telah mengambil inisiatif mengadakan aktiviti dialog bersama-sama dengan pihak yang berkepentingan termasuklah pengendali platform e-dagang. Sejak 2017 hingga November 2018, sebanyak 34 dialog telah diadakan bagi memastikan semua pengendali platform e-dagang mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan. Senarai ubat-ubatan serta kata kunci yang digunakan telah diedarkan kepada pihak pengurusan platform e-dagang untuk diambil tindakan sekatan. Selain itu, senarai penjual yang menjual ubat-ubatan ini juga diedarkan kepada pihak pengurusan platform e-dagang untuk disenaraihitam.
 
KKM turut menjalankan Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat secara dalam talian bertujuan untuk memberi pendidikan kepada orang ramai tentang bahayanya pembelian ubat melalui cara tersebut. Aktiviti ini melibatkan hebahan mesej kesedaran menerusi aplikasi Whatsapp, membuat posting di dalam akaun Facebook rasmi KKM dan Program Perkhidmatan Farmasi, mewujudkan laman khas www.pharmacy.gov.my/waspada-belian-ubat-online.html, penulisan berkenaan bahaya pembelian ubat di dalam portal SEBENARNYA.MY dan Public Service Announcment (PSA) kepada semua media elektronik melalui bantuan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan SKMM. 
 
Tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan produk farmaseutikal yang melanggar undang-undang memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta dan bukannya usaha daripada KKM sahaja bagi memastikan tindakan tersebut berkesan. Orang ramai termasuk pihak media digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. 
 
Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk yang meragukan di pasaran. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
 
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH 
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 
12 DISEMBER 2018


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-8883 3675/019-3265122

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.