ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  PENUTUPAN MAWAR MEDICAL CENTRE

Friday 15/02/2019



KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian ingin merujuk kepada tindakan aktiviti penguatkuasaan yang telah diambil ke atas Mawar Medical Centre yang terletak di Seremban, pada 14 Februari 2019. Tindakan penguatkuasaan tersebut diambil dengan waran, setelah pihak Mawar Medical Centre gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis tersebut mempunyai lesen untuk beroperasi. Lesen Mawar Medical Centre telah dibatalkan pada 14 Disember 2018.

Mawar Medical Centre juga didapati telah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk memastikan semua pesakit dialisis daripada Mawar Medical Centre mendapat rawatan selanjutnya di hospital swasta atau pusat hemodialisis swasta lain yang berlesen selaras dengan ketetapan Peraturan 320(c), Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Lain) 2006. 

Malah, Kementerian mendapati pihak Mawar Medical Centre telah menampal notis di premis tersebut, yang memaklumkan antara lain hanya akan menyediakan rawatan dialisis sehingga 14 Februari 2019 sahaja dan menasihatkan semua pesakit untuk membuat perancangan sendiri (own arrangement) bagi mendapatkan rawatan dialisis di hospital atau kemudahan jagaan kesihatan  yang lain. 

Kementerian ingin menjelaskan bahawa Kementerian amat prihatin dan telah mengambil pelbagai langkah untuk membantu menyelesaikan isu pelesenan yang dihadapi Mawar Medical Centre susulan peletakkan jawatan semua kecuali seorang doktor pakar yang berkhidmat di premis tersebut pada 5 November 2018. Antara langkah yang dimaksudkan termasuk 8 sesi perjumpaan bersama pengurusan dan wakil pihak Mawar Medical Centre dari bulan November 2018 sehingga Januari 2019.

Kementerian ingin menegaskan penutupan Mawar Medical Centre ini tidak melibatkan 13 cawangan pusat hemodialisis yang lain yang dilesenkan di bawah Pusat Hemodialisis Mawar (PHM).  Pihak PHM boleh mengemukakan permohonan pindahan hakmilik lesen bagi 13 cawangan tersebut kepada mana-mana badan bukan berasaskan keuntungan yang lain secara berasingan supaya bantuan kewangan dan subsidi pesakit-pesakit hemodialisis tidak terjejas.

Bagi memastikan kesinambungan proses rawatan hemodialisis pesakit Mawar Medical Centre, Kementerian telah mengenalpasti pusatpusat hemodialisis alternatif yang akan digunakan untuk menyambung rawatan pesakit-pesakit tersebut. Kementerian akan mengambil segala inisiatif untuk memastikan proses penempatan pesakit ke pusat-pusat alternatif akan berjalan dengan lancar.
 
Sekian, terima kasih.
 
YB DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
14 FEBRUARI 2019


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-8883 3675/019-3265122 

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.