ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  MENCARE MEMBENTANGKAN DATA TERKINI MENGENAI KESEDARAN DAN INISIATIF LELAKI TENTANG PEMERIKSAAN PAYU DARA

Tuesday 23/04/2019



Kerajaan negeri Selangor, NCWO dan Pfizer bekerjasama untuk mendapatkan sokongan kaum lelaki dalam menentang kanser #1 di kalangan wanita
 
• 100% daripada lelaki yang disoal selidik mengatakan mereka akan mengajak wanita tersayang untuk mendapatkan pemeriksaan kanser payu dara.  
 
SELANGOR, 23 April (Bernama) -- Kajian oleh Global Cancer Observatory pada tahun 2018 mendapati 23,218 kes kanser baru yang dilaporkan di kalangan wanita Malaysia dan 7,593 daripada kes yang dilapor adalah kes kanser payu dara[i]. Menurut laporan dari Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia tahun 2007 – 2011, kanser payudara melibatkan 32.1% dalam jumlah penyakit kanser wanita di Malaysia. Keseluruhan risiko seumur hidup adalah satu dalam 30, ini bermaksud dalam setiap 30 orang wanita, seorang akan dijangkiti kanser payudara sepanjang hayatnya.[ii]
 
Bagi menggalakkan lebih ramai wanita untuk mendapatkan pemeriksaan kanser dengan lebih kerap, Pfizer Malaysia bersama-sama dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan kerajaan negeri Selangor telah melancarkan MenCare – satu program untuk mendidik para lelaki untuk menjadi pemangkin pemeriksaan kanser payu dara dengan sokongan semua lelaki tidak kira dari golongan bapa, abang, pakcik, adik ataupun rakan sekerja.
 
Kempen MenCare dilancarkan pada tahun 2006 bersama dengan sebuah manual latihan bertujuan untuk mengajar NGO kesihatan dan kaum lelaki tentang 5 fasa dalam proses membuat keputusan mengenai kanser payudara. Pada tahun-tahun berikutnya, pelbagai bengkel dan seminar latihan telah dijalankan di seluruh negara untuk NGO kesihatan, kaum lelaki dan para pelatih bagi tujuan menyebarkan misi MenCare kepada masyarakat umum. Kerjasama dan kolaborasi bersama dengan hospital-hospital dan kedai-kedai buku juga telah digerakkan, sebelum bermulanya kerjasama bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk memberi sokongan kepada Program Pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL).
 
Kaji Selidik MenCare 2019
Sebagai salah satu langkah untuk menyokong program MammoSEL, satu kaji selidik telah dijalankan yang disasarkan kepada kaum lelaki untuk melihat tahap sokongan kepada wanita tersayang mereka dalam mendapatkan pemeriksaan payu dara, serta mengenalpasti faktor-faktor yang mungkin menghalang mereka melakukannya.
 
Hasil kaji selidik berkenaan telah dikemukakan pada hari ini untuk terus mendidik kaum lelaki bagi terus menyokong wanita mendapatkan pemeriksaan kanser payu dara pada skala yang lebih besar, bukan sahaja di Selangor tapi di seluruh Malaysia
 
Lebih separuh daripada 556 responden lelaki yang disoal tidak mengetahui tentang perkhidmatan mammogram percuma yang ditawarkan kerajaan negeri Selangor. Ini menunjukkan perlunya kerjasama berterusan di antara Pfizer Malaysia, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan kerajaan negeri Selangor.
 
Kekurangan pengetahuan, perasaan takut dan juga faktor kos merupakan cabaran terbesar yang menghalang kaum lelaki daripada menyokong wanita untuk sentiasa berjaga-jaga dan mendapatkan pemeriksaan payu dara dengan kerap. Namun begitu, setelah diberitahu bagaimana kadar kelangsungan hidup pesakit kanser payu dara boleh ditingkatkan dengan pengesanan awal, mereka semua bersetuju yang pemeriksaan tahunan perlu dilakukan.
 
Pergerakan MenCare
“Hasil daripada kaji selidik MenCare menampilkan informasi penting untuk menolong dalam perjuangan melawan kanser payu dara di Malaysia,” kata Y.B Puan Dr Siti Mariah Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga.
 
“Sokongan pihak lelaki boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup wanita yang sedang bertarung dengan kanser. Sebagai tanda sokongan terhadap kempen MenCare, kami mengadakan program hari ini di perkarangan pejabat supaya semua staf lelaki kami dapat melibatkan diri.  Saya cukup gembira untuk melihat MenCare diserap sebagai sebahagian daripada Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) dan saya mengajak rakyat Selangor untuk mengunjungi karnival berkenaan bagi mendapatkan lebih banyak informasi tentang kempen ini dan mendaftar untuk MammoSEL,” kata beliau.
 
Sementara itu, Dato’ Ramani Gurusamy, wakil daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) berkata di dalam ucapan pembukanya, “Kaum lelaki memainkan peranan penting sebagai penyokong pemeriksaan awal kanser payu dara.   Data terbaru daripada kaji selidik MenCare seharusnya digunakan sebagai tapak permulaan untuk membaiki statistik terhadap pengetahuan tentang kanser payu dara di kalangan lelaki Selangor, sekaligus meningkatkan pengaruh dan kepentingan sokongan lelaki dalam inisiatif mendapatkan pemeriksaan mammogram yang kerap.”
 
“Saya bangga melihat pertumbuhan kempen MenCare dengan kerjasama bersama dengan kerajaan negeri Selangor dan NCWO. Kami telah menyokong kempen ini sejak tahun 2006 dan ia merupakan contoh terbaik komitmen Pfizer terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia. Kami mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri Selangor yang telah menyokong MenCare dan usaha mereka untuk merapatkan lagi jurang pengetahuan kita dalam perjuangan menentang kanser payu dara di Malaysia,” kata Azwar Kamarudin dari Pfizer Malaysia
 
Muat turun gambar dari acara di sini: https://we.tl/t-tYXHdRTibe
 
Tentang Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO)
NCWO ditubuhkan pada 25 August 1963 untuk bertindak sebagai sebuah badan penyelaras dan penasihat perundingan bagi meningkatkan status para wanita dan menyokong penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara. NCWO mempunyai 125 rakan sekutu yang bertindak sebagai organisasi bebas dan berdaya maju yang mengerakkan program-program mereka sendiri serta menyediakan tenaga kerja dan menunjukkan solidariti terhadap NCWO.
 
NCWO merupakan pemangkin perubahan dalam pelbagai bidang aktiviti di seluruh negara. Sama ada dalam isu pemberian gaji samarata, kedudukan wanita dalam isu perceraian, isu penjagaan kanak-kanak, pembahagian harta dalam kes perceraian, atau pelantikan wanita untuk membantu Jabatan Hal Ehwal Islam di dalam Negeri, NCWO telah menjadi penyokong yang paling berkesan dan efektif untuk wanita di negara kita.
 
Tentang MenCare
MenCare merupakan satu inisiatif oleh NCWO Malaysia dengan kerjasama daripada Pfizer. It bertujuan unutuk mengajar kaum lelaki tentang kanser payu dara dan impaknya terhadap institusi kekeluargaan, serta mengajak mereka untuk turut menolong dalam mengekalkan kesihatan payu dara isteri, dan ahli keluarga wanita lain. 
 
Issued by: Hexa-Communications 
On behalf of: Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. 
 

Sumber: Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Teoh Seet Heng
Tel: +6017 308 3644
Emel: seet.teoh@hexa-comms.com
 
Nama: Julianna Ahmad
Tel: +6012 314 6115
Emel: julianna.ahmad@hexa-comms.com
 
--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.