ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 24, 2024 -Rabu

 
  HALAL MALAYSIA KEDAH 2019 SEMPENA PROGRAM DESA HARAPAN MAMPU CAPAI MATLAMAT KE ARAH MENINGKATKAN SOSIO-EKONOMI SETEMPAT

Monday 15/07/2019



LANGKAWI, Kedah, 15 Julai (Bernama) -- Halal Industry Development Corporation (HDC) agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kedah telah menganjurkan program  “Halal Malaysia Kedah 2019” di Langkawi, Kedah baru-baru ini pada 13 Julai 2019. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Muhamad Arof Bin Darus, Pegawai Daerah Langkawi  bagi mewakili YB Dato’ Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Program Halal Malaysia merupakan inisiatif HDC diadakan sempena Program Desa Harapan anjuran Kementerian Luar Bandar dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bertujuan untuk membangunkan komuniti  setempat dalam industri Halal khususnya di sektor  Pelancongan Mesra Muslim dan Perhotelan. Komponen Program Halal Malaysia Kedah 2019 adalah:

· Seminar Kesedaran Halal – bagi sektor pelancongan, golongan belia  daripada pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi 
· Program Cilik HDC - pelajar dari tahun 4, 5 dan 6 dari Sekolah Kebangsaan Temoyong, Langkawi
· Program Latihan Pematuhan Terbaik Bagi Halal Industri  - Pekerja Hotel

Pegawai Daerah Langkawi, Tuan Haji Muhamad Arof Bin Darus berkata, Daerah Langkawi terkenal dengan industri pelancongan dan perhotelan.

“Setakat ini terdapat kira-kira hanya 5 buah hotel dari keseluruhan 212 hotel di Langkawi mempunyai persijilan Halal (dapur). Sasaran kami, agar lebih ramai pemain industri terutamanya dari sektor perhotelan memperolehi persijilan Halal Malaysia dan mempraktikkan konsep Mesra Muslim.

Selain dari itu, penggunaan Modul Mesra Shariah yang dikeluarkan oleh SIRIM bagi sektor perhotelan di Langkawi akan diperluaskan dengan adanya program ini.  Ini kerana buat masa ini tiada hotel di Langkawi yang menggunakan modul bagi pengiktirafan Hotel Mesra Shariah. Dengan adanya  pengiktirafan ini,  ianya dapat menarik lebih ramai lagi jumlah pelancong Muslim ke Langkawi.

“10 buah hotel/homestays telah dikenalpasti oleh pihak LADA untuk dijadikan Hotel Mesra Muslim di Langkawi, seterusnya mempromosikan konsep tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong,” tambah beliau. 

Program ini dilihat sebagai satu usaha kerajaan untuk mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi Rakyat dan Negara menerusi pembangunan usahawan tempatan serta meningkatkan penglibatan usahawan dalam industri halal. Ia adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan peneraju Halal Global dengan memberi ruang kepada masyarakat  berkecimpung samaada  dalam perniagaan Halal, menjadi pekerja mahir ‘Halal Talent’ ataupun menjadikan Halal sebagai gaya hidup seharian.

Seramai 200 peserta yang mengambil bahagian dalam Seminar Kesedaran Halal hari ini terdiri daripada pemain industri khususnya dari sektor pelancongan, dan golongan belia daripada pelajar kolej dan institusi pengajian tinggi akan mendapat ilmu pengetahuan dan pendedahan berkenaan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan dalam Industri Halal.

Program Pematuhan Terbaik yang akan diadakan pada 15 & 16 Julai, merupakan latihan amalan halal terbaik dengan memberikan pengetahuan intensif mengenai keperluan Halal bagi peserta dalam usaha mereka untuk menghasilkan kualiti yang tinggi produk Halal untuk pasaran makanan Halal global yang sedang berkembang. Seramai 20 peserta dari sektor perhotelan telah dipilih untuk menyertai  latihan ini. Seterusnya, peserta akan melalui proses saringan di mana 10 hotel akan dpillih untuk menjalani ‘pre-assessment’  bagi membantu syarikat/hotel mendapat sijil Halal Malaysia. Proses ini membolehkan HDC menawarkan kursus  ‘Halal Executive Program’  untuk mereka yang layak menjadi Eksekutif Halal  bertauliah kerana ini merupakan keperluan wajib untuk sesebuah syarikat untuk mendapatkan sijil Halal Malaysia. 

Bagi Program Cilik HDC yang akan diadakan pada 16 Julai pula, Sekolah Kebangsaan Temoyong Langkawi telah dipilih untuk mengambil  bahagian di mana seramai 300 pelajar dari darjah 4,5 dan 6 akan menghadiri program pengenalan konsep Halal thoyiban. Ianya membolehkan kanak-kanak diterapkan dengan konsep gaya hidup Halal dari usia muda. 
 
MENGENAI HALAL INDUSTRY DEVELOPMENT CORPORATION SDN BHD (HDC) 
Halal Industry Development Corporation (HDC) ditubuhkan pada 18 September 2006  berperanan untuk mengendalikan dan memantau keseluruhan pembangunan industri Halal Malaysia baik di dalam mahupun pasaran luar negara. HDC adalah agensi di bawah naungan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA).
 
HDC adalah pendekatan holistik Malaysia terhadap permintaan produk dan perkhidmatan Halal dunia yang semakin meningkat. Objektif utama HDC adalah adalah sebagai penggerak utama bagi industri Halal Malaysia untuk berkembang dengan pengenalan piawaian Halal dalam produk dan perkhidmatan yang boleh digunapakai di serata pelusuk dunia. Kini, dianggarkan terdapat lebih daripada 1.8 billion Muslim di seluruh dunia manakala dianggarkan juga pasaran global Halal kini adalah dalam lingkungan USD 2.3 trillion yang meliputi pelbagai sektor.
 
Dalam usaha untuk memperkasakan industri Halal dan para pelabur tempatan dan luar negara dalam lapangan antarabangsa berteraskan Halal – HDC menawarkan sokongan menyeluruh bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menceburi bidang industri ini. Kepakaran HDC adalah bersumberkan keterlibatan Malaysia sendiri dalam arena perniagaan Halal baik di dalam mahupun luar negara. Sila layari www.hdcglobal.com untuk maklumat lanjut. 

Sumber: Halal Industry Development Corporation (HDC) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT,SILA HUBUNGI: 
Nama: Norsida Ahmad
Perhubungan Awam & Media 
Tel: +6012 3249703
Emel:  norsida.ahmad@hdcglobal.com 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.