ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA: STATUS SEMASA KLUSTER KES MALARIA DI POS LENJANG, KUALA LIPIS, PAHANG

Monday 15/07/2019



 
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pada 11 Julai 2019, satu kejadian kluster empat (4) kes disahkan malaria telah dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Lipis daripada Klinik Kesihatan Betau. Kesemua kes melibatkan kanak-kanak Orang Asli yang berumur 4 hingga 10 tahun yang berasal dari dua buah kampung iaitu masing-masing dua (2) kes dari Kampung Pagar dan Kampung Serdang. Kesemua kes telah dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lipis dan diberi rawatan. Punca jangkitan sedang disiasat oleh PKD Kuala Lipis kerana kawasan ini tidak melaporkan kes malaria sejak 8 tahun lepas, di mana kes terakhir dilaporkan pada tahun 2011.
 
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah mengaktifkan Bilik Gerakan Wabak pada 12 Julai 2019 dan aktiviti kawalan serta tindakan pengesanan kes (Active Case Detection) dilaksanakan oleh Pasukan PKD Kuala Lipis di Kampung Pagar dan Kampung Serdang. Sejumlah 393 slaid darah telah diambil dari penduduk di kedua-dua kampung tersebut untuk ujian mikroskopi. Hasil pemeriksaan awal slaid tersebut, pihak PKD telah menemui 11 kes lagi jangkitan malaria di Kampung Serdang. Bermula dari 11 Julai hingga 15 Julai 2019, telah terdapat 15 kes dilaporkan daripada dua kampung ini. Kesemua kes telah didiagnosa mengalami malaria jangkitan Plasmodium vivax dan telah dimasukkan ke hospital untuk diberi rawatan serta dalam keadaan stabil.
 
Pihak PKD juga telah menjalankan aktiviti kawalan malaria dengan menjalankan aktiviti semburan racun serangga pada dinding (Indoor Residual Spraying) dan edaran kelambu berubat di lokaliti terlibat. Pada ketika ini, pasukan PKD sedang meneruskan aktiviti pengesanan kes dan aktiviti kawalan vektor.
 
Penduduk di lokaliti tersebut telah diberi pendidikan kesihatan untuk mengambil langkah pencegahan jangkitan dengan menggunakan pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan repelen bagi mengelakkan gigitan nyamuk. Di samping itu, penduduk disarankan untuk tidur di dalam kelambu berubat dan elakkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam atau berhampiran kawasan hutan pada waktu malam.
 
Kementerian Kesihatan Malaysia sedang memantau kejadian kluster kes malaria ini dan kerjasama daripada masyarakat awam amat diperlukan bagi memastikan kejadian jangkitan penyakit malaria ini dapat dikawal sebaiknya.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 
15 Julai 2019
 
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

--BERNAMA

 
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.