ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 16, 2024 -Selasa

 
  KENYATAAN BERKAITAN PELUPUSAN PEGANGAN KHAZANAH DALAM MALAYSIAN SHOAIBA CONSORTIUM

Monday 15/07/2019



KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kami merujuk kepada beberapa laporan media mengenai pelupusan 40% kepentingan kami dalam Malaysian Shoaiba Consortium Sdn Bhd (“Konsortium”). Berikut adalah penjelasan kami berkaitan pelupusan tersebut: 

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) telah melaksanakan pelaburan bersama dengan Malakoff Corp Berhad (“Malakoff”) dan Tenaga Nasional Berhad (“TNB”) pada tahun 2005 menerusi Konsortium berkenaan dalam usaha menyokong kemasukan Malaysia ke pasaran pengeluar bebas air dan tenaga di Arab Saudi. Dengan siap dan beroperasinya projek tersebut sepenuhnya, Khazanah telah berjaya mencapai objektif komersial yang ditetapkan bagi pelaburannya dalam Konsortium tersebut. Selari dengan perjanjian pemegang saham Konsortium berkenaan, Khazanah telah menawarkan 40% pegangannya kepada rakan kongsi sedia ada. Malakoff seterusnya telah menerima tawaran tersebut yang sekali gus membolehkan Khazanah melupuskan pegangannya dan memperoleh keuntungan yang baik pada nilai yang berdasarkan aliran tunai masa depan projek berkenaan.

Khazanah menilai semua peluang pelupusan berpandukan sasaran kewangan dan strategik yang ditetapkannya. Sesuatu aset itu boleh dipertimbangkan untuk dilupus sebaik sahaja matlamat pelaburan serta pulangan yang disasarkan telah dicapai, seperti mana pelupusan kepentingannya dalam Konsortium ini. Sebarang pelupusan juga bergantung kepada keadaan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pihak yang mengambil alih aset tersebut. 

Menurut mandatnya yang telah diperbaharui, Khazanah mengendalikan dua dana berbeza iaitu dana komersial dan dana strategik. Secara amnya, dana komersial menumpukan kepada mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatan Khazanah untuk manfaat negara. Dana strategik pula memberi tumpuan kepada pelaburan domestik strategik, terutamanya dalam bidang infrastruktur. 

Seperti mana pelupusan lain, hasil yang diperolehi oleh Khazanah daripada pelupusan kepentingannya dalam Konsortium tersebut akan dilaburkan semula berdasarkan objektif yang ditetapkan bagi dua dana kendaliannya, atau digunakan untuk membayar balik hutangnya yang sedia ada. Bagi tahun 2019, setakat ini, Khazanah telah melaksanakan pelaburan baharu berjumlah kira-kira RM1.4 bilion serta telah melunaskan kira-kira RM6.4 bilion daripada keseluruhan hutangnya, sejajar dengan strategi yang ditetapkan. Khazanah menjangkakan akan melaksanakan beberapa lagi pelaburan baharu pada separuh kedua tahun 2019, berdasarkan beberapa peluang pelaburan yang sedang dipertimbangkan. 

Tentang Khazanah Nasional Berhad
Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) adalah dana kekayaan berdaulat Malaysia yang diamanahkan untuk meningkatkan kekayaan jangka panjang negara melalui objektif komersial dan strategik yang berbeza. Objektif komersial Khazanah adalah untuk membangunkan aset kewangan dan mempelbagaikan sumber pendapatan negara, sementara objektif strategiknya pula adalah untuk memegang aset strategik yang membawa manfaat ekonomi jangka panjang. Khazanah dipandu oleh falsafah pelaburannya yang menekankan kepada pencapaian pulangan kewangan yang dilaraskan dengan risiko yang sesuai, menjana pulangan mampan serta mengintegrasikan pertimbangan pelaburan yang beretika dan bertanggungjawab. Untuk maklumat lanjut mengenai Khazanah, sila layari www.khazanah.com.my. 

Sumber: Khazanah Nasional Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Mohd Raslan Md Sharif
Tel: +603 2034 0000
Emel: raslan.sharif@khazanah.com.my

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.