ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KESIAPSIAGAAN DAN RESPONS KKM DALAM MENGHADAPI POTENSI PENULARAN PENYAKIT VIRUS EBOLA (EVD) DI REPUBLIK DEMOKRATIK CONGO

Saturday 20/07/2019



KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai kenyataan Mesyuarat International Health Regulations (2005) Emergency Committee mengenai penularan Penyakit Virus Ebola (Ebola Virus Disease - EVD) di Republik Demokratik Congo pada 17 Julai 2019, yang telah membuat keputusan mengisytiharkan kejadian wabak penyakit ini di Republik Demokratik Congo sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC). Walau bagaimanapun, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang larangan atau sekatan untuk pergi ke negara yang terlibat. Negara yang dijangkiti juga tidak dikenakan sebarang sekatan perjalanan dan perdagangan (travel and trade) di peringkat antarabangsa.

KKM memandang serius mengenai kejadian wabak EVD yang dilaporkan oleh pihak WHO ini. Bermula pada tahun 2014, selepas WHO mengisytiharkan wabak Ebola di negara Afrika Barat sebagai PHEIC, KKM sentiasa memperkukuhkan pemantauan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini. Antara langkah dan kesiapsiagaan yang dilaksanakan adalah:

a. Pemakluman berkaitan EVD dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi kepada anggota KKM termasuk di pintu masuk antarabangsa;

b. Memberi penekanan mengenai pengurusan kes yang disyaki dengan menggunakan garispanduan pengurusan EVD di Malaysia kepada semua anggota KKM;

c. Republik Demokratik Congo adalah negara yang tersenarai berisiko untuk transmisi penyakit demam kuning (Yellow Fever). Saringan kesihatan bagi pelawat dari negara tersebut telah sedia ada dijalankan di pintu masuk antarabangsa. Justeru, aktiviti saringan kesihatan ini akan diperkukuhkan lagi bagi mengesan gejala jangkitan EVD;

d. Penumpang atau anak kapal yang disyaki mempunyai gejala EVD akan dirujuk ke hospital yang dikenalpasti bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut;

e. Kes Person Under Investigation (PUI) EVD akan dilaporkan kepada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan, melalui Pejabat Kesihatan Pintu Masuk, Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk pemantauan dan tindakan selanjutnya;

f. Mempertingkatkan pengetahuan berkaitan EVD kepada masyarakat dan pelawat; dan

g. KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan penyakit EVD di Malaysia.

Situasi kejadian penyakit ini akan terus dipantau oleh KKM dan sebarang perkembangan daripada pihak WHO akan dimaklumkan dari masa ke semasa. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.