ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  SITUASI TERKINI PENYAKIT BERKAITAN JEREBU DI SARAWAK

Monday 23/09/2019



KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di mana Bahagian Sri Aman, Sarawak telah melebihi 300 dengan status kualiti udara pada tahap “Bahaya” mulai 17 September 2019 dan terkini melebihi 400 iaitu tahap “Sangat Bahaya” sejak jam 8.00 pagi 20 September 2019. Sementara itu, Bahagian-Bahagian lain di Sarawak yang terlibat adalah Kuching yang mengalami kualiti udara “Sangat Tidak Sihat” dengan IPU melebihi 200 bermula pada 14 September 2019 manakala Bahagian Samarahan, Sibu dan Sarikei bermula pada 19 September 2019 dan berterusan sehingga kini. 

KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection - URTI) di 15 buah fasiliti sentinel jerebu KKM di Negeri Sarawak. Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 18.9% (258 kepada 307 kes) pada minggu epid (ME) 37 (8 hingga 14 September 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 September 2019). Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 80.4% (63 kepada 114 kes) pada tempoh masa yang sama dan penyakit URTI menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5% (1,788 kepada 1,868 kes).

Bagi Bahagian Sri Aman, melalui Klinik Kesihatan Sri Aman, terdapat penurunan penyakit asma sebanyak 9.6% (34 kepada 31 kes) pada ME 37 berbanding  dengan purata ME 27 hingga ME 36. Walaubagaimanapun, bagi penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 22.4% (5 kepada 6 kes) pada tempoh masa yang sama dan penyakit URTI menunjukkan peningkatan sebanyak 7.7% (66 kepada 71 kes). 

Bagi Bahagian Kuching, melalui Klinik Kesihatan Jalan Masjid dan Klinik Kesihatan Tanah Puteh, terdapat penurunan penyakit asma sebanyak 4.3% (61 kepada 58 kes) pada ME 37 berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36. Begitu juga bagi penyakit konjuntivitis, terdapat penurunan sebanyak 20.2% (16 kepada 13 kes) pada tempoh masa yang sama dan penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 12.7% (487 kepada 425 kes). 

Bagi Bahagian Samarahan, melalui Klinik Kesihatan Samarahan, terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 32.1% (5 kepada 7 kes) pada ME 37 berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36. Walaubagaimanapun bagi penyakit konjuntivitis, terdapat penurunan sebanyak 25.9% (3 kepada 2 kes) pada tempoh masa yang sama dan penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 30% (34 kepada 24 kes). 

Bagi Bahagian Sarikei, melalui Klinik Kesihatan Sarikei, terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 81.8% (10 kepada 18 kes) pada ME 37 berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36. Begitu juga bagi penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 109.3% (4 kepada 9 kes) pada tempoh masa yang sama dan penyakit URTI menunjukkan peningkatan sebanyak 21.7% (247 kepada 301 kes). 

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menasihatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu seperti: 

1. Kurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dan cuba berada di dalam bangunan. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu; 

2. Selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100; 

3. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan; 

4. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter / purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar; 

5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman; 

6. Banyak minum air (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari) bagi mengekalkan tahap hidrasi badan; 

7. Gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) apabila melakukan aktiviti luar rumah; 

8. Kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada jerebu; 

9. Awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana golongan ini lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu dan hendaklah datang ke klinik dengan segera jika penyakit bertambah teruk; 

10. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berdingin hawa hendaklah menghidupkan alat pendingin hawa dengan mod kitaran dalam dan menutup tingkap; 

11. Pemandu kenderaan dinasihatkan untuk menyalakan lampu bagi pemanduan selamat; dan 

12. Datang ke fasiliti kesihatan terdekat bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya jika mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru. Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183

KKM sentiasa bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari
semasa ke semasa. 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

20 September 2019 

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 /  017-2635008 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.