ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  SITUASI TERKINI WABAK POLIO DI SABAH

Friday 10/01/2020



KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 8 Disember 2019 yang telah memaklumkan kejadian satu kes disahkan dijangkiti virus polio di Sabah yang melibatkan seorang bayi lelaki warganegara Malaysia berumur tiga (3) bulan dari Tuaran, Sabah. Pesakit masih dirawat di Bilik Isolasi hospital dengan bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan stabil. Berikutan daripada itu, KKM telah meningkatkan liputan imunisasi kepada kanak-kanak, memperkukuhkan survelan acute flaccid paralysis (AFP) dan survelan virus polio dalam persekitaran khususnya air kumbahan serta pendidikan kesihatan bagi mempertingkatkan pengetahuan mengenai penyakit polio, kepentingan imunisasi dan kebersihan diri serta persekitaran.
 
Hasil daripada tindakan KKM mempergiatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan, terdapat dua kes AFP baharu yang disyaki polio telah dikesan. Sampel najis bagi kedua-dua pesakit ini selanjutnya telah dihantar ke World Health Organization Polio Regional Reference Laboratory (WHO Polio RRL) di Melbourne, Australia untuk ujian pengesahan dan genetic sequencing. Pada 9 Januari 2020, isolat virus bagi kedua-dua kes ini telah disahkan positif virus polio oleh WHO Polio RRL. Kedua-dua pesakit polio ini adalah seperti berikut:

i. Seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 11 tahun yang menetap di Kinabatangan, Sabah. Kanak-kanak ini tidak pernah mendapat sebarang imunisasi. Beliau telah mengalami demam pada 17 November 2019 dan telah mendapatkan rawatan di klinik. Pada 1 Disember 2019, beliau dimasukkan ke hospital setelah mengadu sakit di bahagian belakang dan tidak boleh berjalan. Pesakit kini boleh berjalan dengan bertongkat.
ii. Seorang kanak-kanak lelaki bukan warganegara berumur 8 tahun yang menetap di Sandakan, Sabah. Kanak-kanak ini tidak pernah menerima sebarang imunisasi. Pada 9 Disember 2019, beliau telah mengalami demam dan tiga (3) hari kemudian tidak boleh berjalan. Beliau masih dirawat dengan bantuan pernafasan di hospital.

Dengan pengesahan dua kes polio baharu ini, jumlah kes polio yang disahkan adalah sebanyak tiga (3) kes. Kesemua pesakit masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Ujian makmal WHO Polio RRL di Australia juga mendapati bahawa virus polio yang menjangkiti ketiga-tiga kes ini mempunyai perkaitan genetik dengan kes polio di Filipina. 
 
Siasatan rapi telah dijalankan bagi mengenalpasti punca jangkitan kedua-dua kes baharu ini sebaik sahaja dikenalpasti sebagai AFP. Sehingga kini, seramai 705 orang penduduk di kawasan tempat tinggal kedua-dua kanak-kanak tersebut telah diperiksa dan tiada kes AFP lain yang dikesan. Seramai 65 orang kanak-kanak didapati cicir imunisasi polio dalam kawasan tempat tinggal kes-kes terbabit dan telah diberi suntikan vaksin polio menggunakan vaksin kombinasi lima serangkai (DTaP-IPV//HiB).
 
Aktiviti kawalan wabak polio di seluruh negeri Sabah juga sedang giat dilaksanakan. Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020) yang menyasarkan semua kanak-kanak berumur bawah lima (5) tahun di seluruh Sabah telah dimulakan pada 27 Disember 2019. Mereka diberikan dua (2) dos vaksin polio secara titis (oral polio vaccine – OPV). Vaksin ini akan membina imuniti dalam usus untuk membunuh virus polio sekiranya kanak-kanak tersebut dijangkiti, sekaligus memastikan virus ini tidak terus menular dalam komuniti.
 
Hasil Mesyuarat Penyelarasan Wabak Polio di Sabah yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 31 Disember 2019, adalah diputuskan agar Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM membentuk sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Pusat dan Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri bagi menangani wabak polio ini. Mesyuarat juga bersetuju agar kerjasama rentas sempadan seperti dengan Kementerian Kesihatan negara Filipina dan kolaborasi dengan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Children’s Fund, UNICEF) terus diperkukuhkan bagi memastikan liputan imunisasi kepada kanak-kanak Filipina yang berada di Sabah dapat dipertingkatkan. Selain daripada itu, advokasi kepada masyarakat termasuk kepada ibu bapa, perlu dipertingkatkan agar lebih peka terhadap kepentingan imunisasi. Mesyuarat juga bersetuju agar pemantauan pengambilan imunisasi seawal di peringkat taska lagi perlu dijalankan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dengan pengambilan vaksin yang lengkap seperti yang disarankan oleh KKM.  
 
KKM ingin menyeru kepada semua masyarakat di Sabah terutama ibu bapa agar memastikan seperti berikut:
 
i. Anak-anak berumur bawah lima (5) tahun menerima dua dos vaksin OPV semasa kempen ini dijalankan di daerah masing-masing;
ii. Imunisasi rutin di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan perlu diteruskan dan diambil mengikut jadual yang ditetapkan;
iii. Menjaga kebersihan diri termasuk mandi menggunakan air terawat, cuci tangan selepas ke tandas dan sebelum makan serta sebelum menyediakan makanan untuk kanak-kanak;
iv. Menggunakan tandas yang bersih dan sempurna dengan tidak membuang air besar terus ke dalam air/sungai/laut. Lampin pakai buang perlu dibuang di tempat yang sanitari;
v. Jangan mandi dalam sungai atau air yang disyaki terdapat najis manusia di dalamnya dan tidak menggunakan airnya untuk membersihkan peralatan memasak; 
vi. Sentiasa menjaga kebersihan persekitaran agar makanan dan minuman tidak tercemar dengan najis. Masak makanan dan air ke tahap suhu yang selamat sebelum dimakan. Peralatan makanan dan minuman bayi perlu sentiasa bersih dan dinyahkuman sebelum digunakan;
vii. Menggalakkan semua kanak-kanak berumur 6 bulan ke bawah diberi susu badan sepenuhnya bagi mengurangkan kemungkinan pencemaran silang ketika penyediaan botol susu; dan
viii. Segera dapatkan rawatan awal di klinik atau hospital berdekatan sekiranya terdapat tanda-tanda dan gejala penyakit polio.
 
Orang ramai adalah diminta agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM dan hendaklah sentiasa memberikan kerjasama dalam semua aktiviti yang dilaksanakan. KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia dan semua Kementerian dan Agensi yang terlibat akan terus meningkatkan kerjasama dalam membendung wabak polio ini daripada terus menular. 
 
Sekian, terima kasih.
 
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 JANUARI 2020

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: BAHARUDIN BIN MOHAMAD
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 dan 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.