ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  BIMB HOLDINGS BERHAD UMUM PBZT KUMPULAN RM321.8 JUTA BAGI SUKU PERTAMA 2020

Friday 29/05/2020



SOROTAN UTAMA

• Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (“PBZT”) Kumpulan meningkat 0.7% kepada RM321.8 juta.
• Pulangan Ekuiti Bersih (“ROE”) sebanyak 14.6%.
• Bank Islam merekodkan PBZT bernilai RM221.5 juta.
• Takaful Malaysia melaporkan PBZT berjumlah RM114.2 juta.

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- BIMB Holdings Berhad ("BHB") melaporkan PBZT Kumpulan bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020 (“1Q20”) sebanyak RM321.8 juta, mewakili peningkatan 0.7% atau RM2.2 juta.

Bagi tempoh tersebut, keuntungan bersih boleh diagih kepada para pemegang saham naik 3.3% atau RM6.7 juta kepada RM209.2 juta.

Kumpulan juga mencatatkan Pulangan Ekuiti (“ROE”) tahunan selepas cukai sebanyak 14.6%. Oleh itu, aset bersih sesaham Kumpulan juga mengukuh kepada RM3.40 setakat 31 Mac 2020 berbanding RM3.34 pada 31 Disember 2019.

Perbankan Islam

Kumpulan Bank Islam (“Bank Islam” atau “Bank”) mencatatkan PBZT bernilai RM221.5 juta pada 1Q20, naik 0.8% berbanding tempoh sama 2019. Pencapaian yang lebih baik ini sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan dalam aktiviti perniagaan.

Pembiayaan aset bersih tahun-ke-tahun (“Y-o-Y”) berkembang RM4.4 bilion atau 9.5% untuk mencecah RM50.4 bilion pada akhir Mac 2020. Manakala, pendapatan berasaskan dana dilaporkan lebih rendah akibat beberapa semakan semula penurunan Kadar Keuntungan Semalaman daripada 3.25% pada tempoh sama tahun sebelum kepada 2.50% bagi 1Q20.

Pada akhir Mac 2020, akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada kedudukan RM55.5 bilion dengan pertambahan Y-o-Y sebanyak RM1.7 bilion
atau 3.1%. Komposisi jumlah akaun semasa dan simpanan serta akaun pelaburan transaksi (“CASATIA”) berada pada aras sihat iaitu 35.9% daripada jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan.

Jumlah pembiayaan terjejas kasar setakat 31 Mac 2020 berada pada tahap RM427.1 juta berbanding RM443.4 juta yang dicatatkan setakat 31 Mac 2019.

Kedudukan modal Bank juga kekal sihat untuk terus menyokong pertumbuhan perniagaan dengan Jumlah Nisbah Modal 19.3% setakat 31 Mac 2020.

Sektor perbankan negara dijangka berdepan persekitaran operasi yang amat mencabar ekoran penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (“PKP”), di samping harga minyak mentah yang tidak menentu. Kualiti aset mungkin terkesan, dipengaruhi oleh pembiayaan yang terjejas. Sungguhpun demikian, pelan bantuan moratorium enam (6) bulan bagi pembayaran semula pembiayaan yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (“BNM”) akan mengurangkan impak negatif kredit jangka terdekat kualiti aset. Pemodalan institusi perbankan akan stabil dengan pertumbuhan pembiayaan yang lebih lemah mengekang perluasan aset risiko berwajaran. Bank-bank juga akan terus memegang kecairan yang mencukupi untuk bertahan terhadap kejutan kecairan, sementara kos kredit yang lebih tinggi berserta margin yang lebih sempit akan memberi tekanan terhadap keuntungan bank-bank ini. Pada masa yang sama, pelaburan berterusan dalam usaha transformasi digital akan meningkatkan kos operasi.

Selain itu, BNM juga telah mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (“OPR”) sebanyak tiga kali pada tahun ini, iaitu sebanyak 25 mata asas (“bps”) pada bulan Januari, 25 bps pada Mac dan penurunan seterusnya sebanyak 50 bps pada Mei, mengurangkan OPR kepada 2.00%. Penurunan kadar 100 bps bagi separuh pertama 2020 akan memberikan tekanan kepada margin pendapatan dan keuntungan keseluruhan institusi perbankan. Sebagai tambahan, moratorium 6 bulan terhadap pembayaran semula pembiayaan akan menyebabkan peruntukan one-off sejajar dengan MFRS9 yang akan diserap oleh bank-bank. Sungguhpun demikian, penurunan kadar dan moratorium terhadap pembayaran semula pembiayaan bertujuan untuk mengurangkan kesan buruk COVID-19 terhadap ekonomi. Pemampan modal kukuh yang dimiliki institusi perbankan bersama kecukupan modal, kecairan dan standard pengurusan risiko akan memperkukuhkan daya tahan menyeluruh sistem kewangan negara.

Dalam keadaan seperti ini, Bank Islam peka akan pelbagai cabaran yang dihadapi para pelanggan kami. Dengan Tumpuan Pelanggan sebagai fokus, kemudahan Penjadualan & Penstrukturan Semula (“R&R”) kami adalah salah satu inisiatif yang dijalankan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan individu dan perniagaan Bank Islam. Program berkenaan bertujuan membantu para pelanggan yang memerlukan kelonggaran kewangan. Di bawah inisiatif ini, pelanggan dibenarkan membuat bayaran semula pembiayaan pada nilai yang lebih rendah, sekali gus membolehkan mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih baik.

Bank juga menawarkan Kemudahan Bantuan Khas PKS (“SSRF”) untuk membantu mengurangkan kesukaran aliran tunai jangka pendek yang dialami oleh syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”). Inisiatif ini bertujuan membantu kelangsungan Ekonomi Sebenar dengan mengekalkan pekerjaan dan memastikan aktiviti ekonomi berterusan dalam persekitaran semasa yang tidak menentu. Sebagai tambahan usaha kami untuk membantu mengekalkan dan memastikan pemerkasaan ekonomi serta kekayaan pelanggan, Bank Islam menyediakan “SME-I Gain”, satu akaun pelaburan semasa transaksional (“TCIA”) yang memberikan pulangan sehingga 2.0% kepada pelanggan PKS. Tawaran bagi produk pelaburan ini dibuka sehingga Jun 2020.

Ketika kes-kes COVID-19 menunjukkan kadar jangkitan yang kian mendatar, wujud harapan bahawa pembukaan semula ekonomi akan berlaku dan boleh menggiatkan kembali aktiviti-aktiviti ekonomi.

Dengan Kemakmuran Lestari menjadi tema hala tuju strategik bukan sahaja kepada Bank tetapi juga kepada komuniti, Bank Islam telah menjadikan prinsip Pengantaraan Berasaskan Nilai (“VBI”) sebagai nadi model perniagaan. Bank Islam juga memastikan langkah-langkah yang diambil adalah mematuhi garis panduan BNM, memberi penekanan dalam melindungi daya tahan kewangan pengguna, memastikan kelangsungan ekonomi sebenar, memberi tumpuan terhadap pelaburan mampu milik serta terus memberi sokongan kepada barisan hadapan dan komuniti kurang berkemampuan. Inisiatif-inisiatif Bank terus menggambarkan komitmen kami ke arah meningkatkan rangkuman kewangan bagi memastikan pembangunan untuk semua dan tiada pihak yang terpinggir dalam usaha membina sebuah negara yang makmur dan dihormati.

Takaful

Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (“Takaful Malaysia”) merekodkan RM114.2 juta bagi 1Q20, lebih tinggi berbanding RM113.3 juta pada 1Q19. Peningkatan dalam keuntungan sebahagian besar disumbangkan oleh perbelanjaan rizab yang lebih rendah, sejajar dengan pengurangan pengeluaran daripada produk-produk perubatan Kumpulan.

Takaful Malaysia merekodkan pendapatan operasi RM913.0 juta bagi 1Q20, lebih rendah berbanding RM918.2 juta pada 1Q19. Penurunan tersebut juga sebahagian utamanya disebabkan penjanaan jualan lebih rendah daripada perniagaan Takaful Keluarga.

Perniagaan Takaful Keluarga menjana sumbangan perolehan kasar bernilai RM496.3 juta bagi 1Q20, lebih rendah berbanding RM502.9 juta pada tempoh sama tahun sebelum disebabkan jualan yang lebih rendah daripada produk manfaat pekerja. Bagi 1Q20, perniagaan Takaful Am juga merekodkan sumbangan perolehan kasar sebanyak RM202.0 juta berbanding RM204.2 juta pada 1Q19. Sebahagian besar daripada sumbangan berkenaan adalah daripada kelas kebakaran dan motor.

Sungguhpun sentimen perniagaan kekal waspada pada tahun 2020, industri Takaful dijangka berupaya mengatasi penyedia insurans konvensional dengan mengambil kira permintaan kukuh terhadap produk-produk Takaful. Bagi mengekalkan kedudukan peneraju pasaran, Syarikat akan meneruskan strategi-strategi inovatifnya menerusi pelaksanaan strategi digital, pengenalan penyelesaian dalam talian, perluasan keupayaan pengedaran, usaha sama strategik dengan bank-bank Islam terkemuka dan inisiatif kesedaran jenama.

Bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan tumpuan pelanggan, Syarikat akan meneruskan strategi digital membina ekosistem digital sepenuhnya. Sebagai perintis untuk mengubah perniagaan insurans/Takaful di Malaysia, syarikat akan meneruskan strategi digital dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (“AI”) melalui analisis data raya dan algoritma pembelajaran mesin bagi menguruskan risiko serta peluang dalam bidang pemasaran, taja jamin dan perkhidmatan pelanggan serta pemprosesan tuntutan.

AI akan digunakan untuk mengoptimumkan pemasaran bagi mencapai kesedaran jenama dan objektif pemasaran yang lebih kukuh, penajajaminan pintar bagi penilaian risiko yang lebih pantas dan keputusan peletakan harga yang tepat. Teknologi itu juga akan digunakan bagi mewujudkan hubungan pelanggan yang khusus bagi mencapai perkhidmatan pelanggan yang lebih baik, proses penilaian tuntutan perubatan dan motor yang lebih pantas dan tepat serta pengesanan penipuan.

Penularan pandemik COVID-19 dan impak ekonomi yang berkaitan telah memberikan cabaran yang besar serta ketidaktentuan. Takaful Malaysia bersedia untuk mengharungi keadaan pasaran dan landskap operasi yang amat berbeza selepas PKP memandangkan kebimbangan terhadap jaminan kerja kekal tinggi dan pelanggan akan menjadi lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka. Aktiviti ekonomi dijangka akan mengambil tempoh yang agak panjang untuk pulih.

Untuk maklumat lanjut berkenaan BHB, sila layari www.bimbholdings.com

Mengenai BIMB Holdings Berhad

BIMB Holdings Berhad (“BHB”) adalah Syarikat Pemegangan Kewangan Islam yang pertama yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. BHB diperbadankan di Malaysia pada 20 Mac 1997, dan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 16 September tahun yang sama. Anak-anak syarikat utama Kumpulan BHB merupakan pelopor dalam pelbagai perkhidmatan kewangan Islam termasuk perbankan, takaful, dagangan saham, dan lain-lain perkhidmatan berkaitan iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad dan BIMB Securities Sdn. Bhd.

Diterbitkan oleh: Komunikasi Korporat Kumpulan, BIMB Holdings Berhad

SUMBER: BIMB Holdings Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Wan Norkhairi Wan Samad
Ketua, Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel: 03-2782 1232 / 019-339 4491
Faks: 03-2781 2998
Emel: wnorkhairi@bankislam.com.my
Web: www.bankislam.com.my

Nama: Omar Atin
Penolong Timbalan Presiden, Perhubungan Awam,
Komunikasi Korporat Kumpulan
Tel.: 03-2781 2943 / 019-391 9144
Faks: 03-2781 2998
Emel: omar@bimbholdings.com
Web: www.bimbholdings.com

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.