ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  FASA KEDUA PERMOHONAN TECHNOLOGY START-UPS FUNDING RELIEF FACILITY (TSFRF) AKAN DIBUKA BERMULA 8 JUN 2020

Monday 01/06/2020



· Sebanyak 49 permohonan pembiayaan di bawah program TSFRF telah diterima daripada syarikat pemula teknologi sepanjang fasa pertama permohonan

· Fasa kedua permohonan akan dibuka selama dua minggu bermula 8 Jun 2020 hingga 21 Jun 2020


KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) hari ini mengumumkan penutupan fasa pertama permohonan bagi program pembiayaan Technology Start-Ups Funding Relief Facility (TSFRF) berjumlah RM100 juta, yang telah dibuka sejak 18 Mei 2020 sehingga 31 Mei 2020 yang lalu. Sepanjang tempoh tersebut, MDV telah menerima sebanyak 49 permohonan di bawah program pembiayaan TSFRF ini, dengan dana pembiayaan dipohon yang berjumlah di antara RM1 juta hingga RM2.5 juta, daripada syarikat dalam pelbagai sektor teknologi termasuk ICT, E-dagang, Lojistik, Teknologi Kewangan (Fintech), Big Data, Perubatan, aplikasi berkaitan hartanah, dan kenderaan elektrik (EV).

Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri berkata, “Memandangkan dana di bawah program pembiayaan ini masih berbaki, fasa kedua permohonan akan dibuka selama dua minggu bermula 8 Jun 2020 sehingga 21 Jun 2020. Jurang masa di antara kedua fasa ini adalah bagi memberi laluan kepada jawatankuasa saringan khusus TSFRF untuk menjalankan proses saringan ke atas setiap permohonan yang diterima bagi memastikan MDV dapat memenuhi jangka waktu pemprosesan yang lebih singkat di bawah program pembiayaan ini dan memastikan pembayaran dapat dilakukan tepat pada masanya bagi permohonan yang berjaya.”

Kesemua permohonan akan disaring berdasarkan tiga kriteria utama iaitu kedudukan strategik syarikat dalam segmen/sektor yang berkaitan; potensi perkembangan syarikat di peringkat serantau/global; serta kedudukan syarikat yang kompetitif. Antara faktor yang akan diambil kira di bawah tiga kriteria utama ini adalah Pengurusan, Sokongan Pelabur Modal Teroka, Pendapatan dan Pertumbuhan Pendapatan, Nilai Perusahaan, Peluang Pasaran, dan Daya Saing. Apabila proses saringan oleh jawatankuasa saringan TSFRF ini telah selesai, setiap permohonan juga perlu melalui proses penilaian kredit oleh MDV.

“Sejumlah besar syarikat yang telah membuat permohonan di bawah program pembiayaan TSFRF ini adalah syarikat yang mempunyai asas yang kukuh dan model perniagaan yang berdaya maju dengan hasil pendapatan purata syarikat sekitar RM100 ribu hingga RM700 juta dan penilaian syarikat di antara RM5 juta hingga RM500 juta,” jelas Nizam. “Walau bagaimanapun, disebabkan oleh keadaan ekonomi dan perniagaan semasa, syarikat-syarikat ini memerlukan sokongan aliran tunai segera bagi memastikan perniagaan mereka dapat terus bertahan serta berkembang, dan bagi tujuan inilah program pembiayaan TSFRF ini telah diwujudkan.”

Program pembiayaan TSFRF yang ditawarkan dalam bentuk modal kerja dan pembangunan perniagaan ini bermatlamat untuk menyediakan bantuan aliran tunai segera, berpatutan dan bersasar kepada syarikat pemula teknologi yang disokong oleh syarikat modal teroka atau agensi kerajaan, yang terjejas oleh keadaan ekonomi semasa dan sedang menghadapi kekangan kewangan. Program ini menyasarkan pembiayaan bagi 40 sehingga 60 syarikat pemula teknologi untuk menangani masalah kekangan kecairan yang dihadapi melalui penawaran kemudahan modal kerja bagi mengurangkan isu-isu aliran tunai pada masa hadapan. Kemudahan ini ditawarkan dengan kadar faedah sebanyak 3.5% setahun ke atas jumlah pinjaman tertunggak.

Lanjutan daripada pengumuman oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhomat Khairy Jamaluddin, berhubung program pembiayaan TSFRF ini, MDV telah menerima pelbagai pertanyaan oleh syarikat pemula teknologi. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkenal dan mempromosikan program pembiayaan ini, MDV telah menganjurkan beberapa sesi webinar bagi syarikat-syarikat teknologi yang berpotensi untuk memohon, antaranya melalui kerjasama dengan beberapa agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Agensi Inovasi Malaysia (AIM), Scaleup Malaysia, Invest Penang dan Malaysia Venture Capital & Private Equity Association (MVCA), termasuklah penganjuran satu sesi webinar terbuka yang disiarkan melalui platform FB Live MDV.

Untuk maklumat lanjut berhubung TSFRF, sila layari laman web MDV di www.mdv.com.my

Mengenai MDV – Pembiaya Teknologi Negara

MDV merupakan anak syarikat milikan penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan mandat khusus untuk membantu pembangunan sektor teknologi di Malaysia melalui pembiayaan berjangka atau pusingan bagi projek dan kontrak teknologi. Peranan strategik MDV dalam ekosistem pembiayaan teknologi di Malaysia ditakrifkan oleh pendekatannya kepada pembiayaan yang berbeza daripada institusi kewangan lain. Kelebihan MDV adalah dalam membantu membiayai syarikat-syarikat berasaskan teknologi baru yang sukar memperoleh pembiayaan daripada institusi kewangan tradisional kerana model perniagaan mereka yang baru, ketiadaan rekod prestasi operasi dan ketiadaan cagaran. Dengan pembangunan teknologi dan digital yang semakin pesat, serta usaha berterusan Malaysia dalam menjadi sebuah negara maju, MDV akan kekal memainkan peranan penting khususnya dalam pembiayaan bidang teknologi baru dan dalam mencapai visinya sebagai Pembiaya Teknologi Negara.

SUMBER: Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Amelia Ong Abdullah
Senior Assistant Vice President, PR & Communications
Malaysia Debt Ventures Berhad
Tel: 03 – 2617 2841
E-mel: amelia@mdv.com.my


--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.