ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA 4 OGOS 2020

Tuesday 04/08/2020



KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- 

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 16 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,684 kes (96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 4 Ogos 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat satu (1) kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,002 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 193 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan bahawa satu (1) kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini.

Adalah dimaklumkan bahawa tiada kes positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

HANYA SATU (1) KES BAHARU DILAPORKAN HARI INI

Sebulan sudah berlalu sejak Negara kita telah melaporkan satu (1) kes harian COVID-19 iaitu pada 1 Julai 2020 lepas. Sekali lagi, kita melihat penurunan kes harian kepada hanya satu (1) kes. KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana pencapaian ini sememangnya adalah hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing. KKM berharap masyarakat akan terus mengamalkan normal dan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Setiap lapisan dan kumpulan masyarakat diseru agar dapat meneruskan usaha menurunkan kes COVID-19 di Negara kita dengan mengamalkan penjarakan fizikal yang selamat (physical distancing) iaitu sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain, menjaga kebersihan diri terutamanya kebersihan tangan, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelakkan bertutur dengan jarak yang dekat.

Penularan semula jangkitan COVID-19 di Malaysia boleh berlaku sekiranya kita leka dan mengambil mudah saranan, arahan serta amaran Kerajaan. Justeru, masyarakat perlu terus mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 pada setiap masa bagi memastikan kita terus berjaya dalam memerangi wabak COVID-19.

BERITA PALSU YANG TULAR TENTANG SARINGAN COVID-19 BAGI PELAJAR DAN IBUBAPA YANG BERAYA DI DAERAH KUBANG PASU, KEDAH

KKM ingin merujuk kepada berita palsu yang tular melalui media sosial mengenai arahan bagi ibubapa dan pelajar yang telah bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah untuk menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan yang berdekatan. Ingin dimaklumkan bahawa pihak KKM tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi sepertimana yang tular dan ianya merupakan satu berita palsu.

Seperti yang diumumkan oleh KKM, individu yang perlu menjalani saringan COVID-19 adalah:

1. Mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19;
2. Penduduk yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran iaitu di:

· Radius 1 kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu);
· Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu);
· Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu);
· Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap);

3. Mereka yang berkait rapat dengan kedai makan yang terbabit dalam Kluster PUI Sivagangga, misalnya:
· Pelanggan atau orang yang singgah makan; atau
· Berurusan dengan kes indeks kluster ini atau dengan pekerja-pekerja di kedai makan tersebut dari 13 Julai 2020 sehingga 27 Julai 2020;
4. Mereka yang mempunyai gejala demam atau gejala saluran pernafasan.

Individu-individu seperti di atas perlu segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19. KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menangani isu ini bagi memastikan arahan yang dikeluarkan adalah selari dan sahih.

Pihak KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai. Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung isu berita palsu seperti di atas mahupun isu lain berkaitan COVID-19, orang awam boleh menghubungi talian CPRC Kebangsaan, KKM di talian hotline: 03-88810200, 03-88810600, 03-88810700 dan emel cprc@moh.gov.my. Maklumat lanjut yang sahih mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia; https://t.me/cprckkm.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan aduan atau maklumat kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di:
· Talian 03-8911 5103; atau
· Layari sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

Orang ramai juga diseru supaya tidak menular sebarang berita palsu atau berita yang diragui kesahihannya.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Masyarakat haruslah sentiasa waspada dan terus amalkan nasihat-nasihat yang sering ditekankan oleh KKM sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian. Antara nasihat-nasihat tersebut adalah seperti berikut:

· Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
 
· Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
o Elakkan bersalaman / bersentuhan;
o Amalkan etika batuk dan bersin;
o Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
o Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung;
o Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:
· S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
· Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
· P : Penjarakan fizikal (physical distancing) diamalkan pada setiap masa iaitu sekurang-kurangnya 1 meter.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


4 Ogos 2020 @ 5.00 petang.

Lampiran 1

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008


--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.