ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  SUBSIDI MINYAK MASAK KURANGKAN IMPAK NEGATIF TURUN NAIK HARGA MINYAK SAWIT DI PASARAN DUNIA

Wednesday 20/01/2021



KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) amat prihatin dengan isu kenaikan harga minyak masak di pasaran tempatan yang berlegar di media sosial kebelakangan ini yang mengaitkannya dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM). Data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan bahawa sekitar 1 juta tan minyak sawit adalah untuk kegunaan pasaran minyak masak tempatan dengan pecahan 0.72 juta tan untuk yang bersubsidi dalam paket plastik 1 kilogram (kg). Manakala, selebihnya sebanyak 0.28 juta tan adalah tidak bersubsidi yang boleh didapati dengan botol 1 kg hingga 5 kg dan tin 17 kg.  

Dalam masa yang sama, Malaysia mengeksport sebanyak 24 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM64.8 bilion bagi tempoh dari Januari hingga November 2020. 

Sepanjang tahun 2019 hingga 2020, harga purata MSM di pasaran tempatan telah mencatatkan paras terendah pada Julai 2019 iaitu RM1,879.00 satu tan dan meningkat ke paras tertinggi iaitu RM3,620.50 satu tan pada Disember 2020. Harga MSM telah meningkat sebanyak 92.7 peratus atau RM1,741.50 satu tan berbanding paras terendah yang direkodkan pada tahun 2019. Harga minyak sawit dan produk berasaskan sawit adalah ditentukan oleh pasaran dunia melibatkan faktor-faktor seperti pemintaan dan penawaran minyak serta lelemak dunia serta pelbagai faktor lain.

Peningkatan harga MSM ini juga telah meningkatkan hasil kepada negara selain dapat membantu kira-kira 500,000 pekebun kecil sawit meningkatkan taraf sosioekonomi pada ketika ini. Kementerian berharap agar harga pasaran sawit dunia akan terus kekal tinggi bagi tahun 2021 supaya rakyat dapat menikmati manfaat daripada kenaikan harga tersebut melalui pulangannya oleh Kerajaan. 

Walaupun harga MSM telah meningkat dengan ketara dalam tempoh antara Julai 2019 hingga Januari 2021, namun peningkatan harga minyak masak di pasaran tempatan adalah pada kadar rendah. Ini menunjukkan strategi subsidi yang dilaksanakan oleh Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengurangkan impak negatif akibat turun naik harga minyak sawit di pasaran dunia terhadap pengguna tempatan. Selain itu, pengguna mempunyai pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi 1 kg pada harga RM2.50 terutamanya bagi golongan B40.

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Putrajaya
20 Januari 2021

SUMBER: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: SITI HAJAR ZULKEFLE

Pegawai Komunikasi Strategik
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)
Tel: 03-88803381

E-mel: hajarzulkefle@mpic.gov.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.