ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  PELANCARAN GO DIGITAL ASEAN: KEMAHIRAN DIGITAL UNTUK MENANGANI KESAN EKONOMI COVID-19 DI MALAYSIA

Monday 25/01/2021



Inisiatif ini bertujuan untuk melatih 15,000 belia dan perusahaan mikro, kecil, sederhana di seluruh negara, dengan 50% wanita
 
KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- The Asia Foundation - dengan sokongan geran bernilai USD $3.3 juta daripada badan filantropi Google, Google.org - akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) untuk melatih sehingga 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan. Fokus program ini adalah untuk menutup jurang digital di seluruh ASEAN, selaras dengan visi yang ditetapkan oleh Agenda Tindakan ACCMSME berdasarkan Digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN melalui Pembangunan Kapasiti.
 
Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut untuk menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan untuk melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKS), dengan 50% daripadanya adalah wanita. Latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial, dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan.
 
YB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, yang melancarkan program di Malaysia berkata, "Kerjasama antara Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) dan The Asia Foundation, dengan sokongan Google.org, menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF). "
 
David D. Arnold, Presiden The Asia Foundation mengatakan, “Kami berbesar hati dapat mengaktifkan kolaborasi pertama seumpama ini - mengumpulkan kepakaran dan pendekatan daripada sektor kerajaan, perniagaan, dan NGO — untuk membantu merapatkan jurang digital. Di kampung dan di bandar-bandar kecil di rantau ini, pejabat tempatan The Asia Foundation akan memimpin rangkaian komuniti pelatih dan sukarelawan untuk membantu pemilik PKS dan pekerja guna tenaga tidak penuh (underemployed) ke dalam ekonomi digital.
 
"Perniagaan kecil adalah nadi ekonomi dan komuniti setiap negara. Keadaan yang sukar sekarang telah menguatkan desakan menyokong aspirasi digitalisasi mereka. Saya berbangga dapat menyokong The Asia Foundation dan ACCMSME, yang sama-sama berkongsi semangat kami untuk membantu perniagaan tempatan untuk berjaya, berkembang dan mencipta peluang untuk ekonomi tempatan." jelas Marc Woo, Pengarah Urusan Google Malaysia.
 
Sejajar dengan ekonomi digital ASEAN yang terus berkembang, Kerajaan Malaysia juga banyak mempromosikan digitalisasi sebagai salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaan, terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19. Namun, kerajaan tidak dapat melakukan usaha ini sendirian dan akan memerlukan sokongan serius oleh perusahaan ini sendiri. Menurut hasil tinjauan Post-COVID-19 yang dilakukan oleh MEDAC pada bulan Ogos 2020, lebih banyak yang perlu dilakukan oleh PKS dari segi usaha digitalisasi agar Malaysia menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang sedang berkembang. Dari 2,118 responden perniagaan, 45.76% telah mengadopsi e-dagang manakala hanya 19.02% yang menggunakan teknologi dan digitalisasi. Selanjutnya, Kajian Indeks Kesediaan Digital Maxis bertarikh 23 November 2020 juga melaporkan bahawa hanya purata 42% PKS yang bersedia untuk digitalisasi.
 
Kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan integrasi digital ini di rantau ini akan membantu merapatkan jurang literasi digital dan boleh membawa peluang dan ganjaran baru bagi PKS di Malaysia dan ASEAN.
 
Ucapan yang dirakam oleh Menteri, serta wakil dari Google.org dan The Asia Foundation, dipaparkan di laman web Go Digital ASEAN Malaysia - go-digital.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaksanaan program di Malaysia, sila e-mel vani@startupmalaysia.org atau zuraidah@startupmalaysia.org.
 
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI
25 JANUARI 2021

 
Sumber: The Asia Foundation Malaysia
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Vani
E-mel: vani@startupmalaysia.org
 
Nama: Zuraidah
E-mel: zuraidah@startupmalaysia.org
 
Nama: Qistina Kamarudin
Tel: (+6) 017-280-3054
 
--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.