ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 25, 2024 -Khamis

 
  UOB MALAYSIA MEMBANTU PERALIHAN NEGARA KE ARAH TENAGA LEBIH BERSIH DENGAN MENYOKONG LOJI JANAKUASA YANG BERI KESAN LEBIH RENDAH TERHADAP ALAM SEKITAR

Thursday 15/04/2021



Bank memainkan peranan aktif melalui pembiayaan projek gas asli dan solar bagi memenuhi permintaan tenaga secara mampan di Malaysia
 
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Berlandaskan permintaan tenaga elektrik yang semakin meningkat di Malaysia, UOB Malaysia bersedia membantu peralihan negara ke arah pencapaian tenaga lebih bersih dengan menyokong loji janakuasa yang memberi kesan lebih rendah terhadap alam sekitar. Dalam usaha meningkatkan campuran kapasiti tenaga negara, Bank komited untuk menyokong pembangunan projek yang menggunakan sumber tenaga yang cekap, seperti gas asli dan tenaga boleh diperbaharui.
 
Penjanaan kuasa di negara ini dijangka meningkat pada kadar purata 3.2 peratus setiap tahun sehingga mencapai 47.8 gigawatt menjelang akhir 2028¹. Kawasan Lembah Klang mempunyai permintaan tenaga elektrik paling tinggi di Semenanjung Malaysia. Kekurangan dalam bekalan semasa bermakna kawasan ini sangat bergantung pada penghantaran kuasa jarak jauh dari kedua-dua wilayah Utara dan Selatan Semenanjung.
 
Puan Ng Wei Wei, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong, UOB Malaysia, berkata, “Wilayah tengah sedang melihat kadar pertumbuhan penggunaan tenaga elektrik yang lebih tinggi, dengan itu, terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti melalui pembinaan loji janakuasa yang lebih cekap dan lebih mampan. Ke arah matlamat ini, UOB Malaysia komited untuk menyokong projek yang akan membantu negara melakukan peralihan ke gas asli dan tenaga boleh diperbaharui.
 
UOB Malaysia adalah pembiaya bersama dalam kemudahan Pembiayaan Berjangka-i Komoditi Murabahah untuk loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan berkapasiti 1,200 megawatt di Pulau Indah, Selangor, seperti yang diumumkan baru-baru ini. Projek ini merupakan usaha sama antara Worldwide Holdings Berhad dan Korea Electric Power Corporation. Apabila siap pada 2024, loji janakuasa ini dijangka dapat memenuhi permintaan di kawasan Lembah Klang dengan cara yang lebih mampan. Ini kerana loji janakuasa gas asli mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi dan berupaya mengeluarkan karbon dioksida 50 hingga 60 peratus lebih rendah setiap jam kilowatt berbanding loji arang batu yang biasa².   
 
Puan Ng berkata, “Kami amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada konsortium pembiayaan untuk pelan pembangunan tenaga yang utama di Selangor. Pelan ini akan menjana lebih banyak tenaga bagi penduduk di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.” 
 
Tenaga solar menerajui campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui di Malaysia
Sumber tenaga gas dan haba dijangka akan terus membentuk sebahagian besar campuran penjanaan tenaga negara sepanjang tempoh tujuh tahun akan datang³. Namun demikian, UOB Malaysia percaya bahawa negara akan terus meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam campuran kapasiti tenaga sehingga 20 peratus menjelang 2025, terutamanya untuk tenaga solar.
 
Unjuran ini disokong oleh pengumuman mengenai pembinaan loji janakuasa baharu di bawah program Solar Berskala Besar (LSS) 4 oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia baru-baru ini. Solarvest Holdings Berhad, rakan kongsi kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dalam program U-Solar UOB Malaysia, adalah salah satu syarikat pembida LSS4 yang berjaya⁶. UOB Malaysia juga menyokong dua projek loji tenaga solar – Loji Janakuasa Sinar Kamiri yang terletak di Sungai Siput, Perak dan Loji Janakuasa Kenyir Gunkul yang terletak di Dungun, Terengganu – di bawah program LSS sebelum ini.
 
Puan Ng berkata, “Walaupun sumber tenaga gas dan haba akan terus memenuhi permintaan tenaga elektrik negara dengan ketara, namun pembinaan projek loji tenaga solar mempunyai masa depan yang cerah. Kami yakin bahawa projek loji tenaga solar di bawah program LSS, termasuk daripada Solarvest di bawah pembidaannya yang berjaya, akan mempercepat lagi usaha Malaysia dalam mencapai sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui.
 
“Melalui program U-Solar kami dan pembiayaan bagi loji tenaga solar Sinar Kamiri dan Kenyir Gunkul, kami berhasrat untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau yang lebih luas di seluruh negara. Ini selaras dengan komitmen kami membentuk masa depan yang mampan untuk perniagaan, kehidupan dan sara hidup dan juga komuniti yang lebih baik apabila kami menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi, sosial dan alam sekitar jangka panjang negara.”
 
Untuk maklumat lanjut mengenai U-Solar, sila layari www.UOBgroup.com/U-Solar.
 
Mengenai United Overseas Bank (Malaysia) Bhd
 
United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia), anak syarikat United Overseas Bank Limited (UOB) yang berpangkalan di Singapura, telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1951. UOB Malaysia menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan komersial dan peribadi melalui cawangan-cawangan, anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat bersekutu: pinjaman komersial, perbankan pelaburan, perkhidmatan perbendaharaan, perkhidmatan perdagangan, pengurusan tunai, pinjaman perumahan, kad kredit, pengurusan kekayaan, dan bankasurans.
 
UOB adalah sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Sejak penubuhannya pada 1935, UOB telah berkembang secara organik dan melalui beberapa pengambilalihan strategik. UOB menerima penarafan di antara bank terkemuka dunia: Aa1 oleh Moody's dan AA- oleh Standard & Poor's dan Fitch Ratings. Di Malaysia, UOB Malaysia telah menerima penarafan institusi kewangan AAA/ Stabil/P1 dari RAM Ratings. 
 
Sepanjang lebih lapan dekad, generasi kakitangan UOB telah mengamalkan semangat keusahawanan, dengan menumpu pada pewujudan nilai jangka panjang dan komitmen yang teguh untuk melakukan segala yang diperlukan bagi pelanggan dan rakan sekerja kami.
 
Kami ingin menjadi pembekal perkhidmatan kewangan yang prihatin dan kami komited untuk melakukan perubahan dalam kehidupan pemegang berkepentingan kami serta komuniti di mana kami beroperasi. Kami berdedikasi bukan sahaja untuk membantu pelanggan menguruskan kewangan mereka dengan bijak dan mengembangkan perniagaan mereka, UOB juga teguh dalam menyokong pembangunan sosial, terutamanya dalam bidang seni, kanak-kanak dan pendidikan.
 
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uob.com.my.
 
¹ Sumber: Unjuran Global Market Insights Fitch Solutions, 19 Mac 2021
² Sumber: Laporan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat 2018
³ Sumber: Global Data, 16 Mei 2019
⁴ Sumber: Program Industri Bekalan Elektrik 2.0 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia yang dilancarkan pada 2019
⁵ U-Solar adalah ekosistem industri solar pertama di Asia yang membawa bersama pemain industri dan pengguna untuk memacu pembangunan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.
⁶ Sumber: Pengumuman Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 15 Mac 2021

SUMBER: UOB Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBINGI: 
Nama: Nizam Arop
Strategic Communications and Brand
Tel: 03-9195 2786/ 017-333 6329
E-mel: nizam.arop@uob.com.my

Nama: Averlyn Lim
Strategic Communications and Brand
Tel: 03-9195 2793 / 018-229 9168
E-mel: averlyn.limsl@uob.com.my

--BERNAMA



 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.