ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  SYOR TERKINI KKM BERHUBUNG DOS PENGGALAK DAN RAWATAN ANTIVIRAL PAXLOVID

Thursday 12/05/2022



KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan syor terkini oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) berkenaan pemberian dos penggalak seperti berikut:

1. Individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.
2. Individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.
3. Remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti pesakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos primer selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin COVID-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama telah terbukti boleh mendapat perlindungan optima daripada jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian.

Namun disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity) terutamanya kepada individu di dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan yang teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

KKM juga ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela.

Seterusnya, KKM juga ingin memaklumkan bahawa penggunaan ubat antiviral Paxlovid telah dimulakan sejak 15 April 2022 bagi merawat pesakit COVID-19. Sehingga 9 Mei 2022, seramai 173 orang pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhya serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan.

Untuk makluman, ubat Paxlovid telah dibekalkan untuk rawatan pesakit COVID-19 di 512 buah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan 78 buah hospital kerajaan.

Setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana. Kriteria pesakit COVID-19 yang akan diberi keutamaan adalah seperti berikut:

· Berumur 18 tahun dan ke atas;
· Jangkitan COVID-19 Kategori 2 dan 3
· Tidak memerlukan terapi oksigen
· Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk seperti berikut:
- Pesakit Diabetes
- Pesakit Darah tinggi
- Individu dengan masalah buah pinggang
- Pesakit Asma/paru-paru kronik
- Pesakit jantung
- Pesakit kanser

Ubat ini perlu dimulakan segera dalam tempoh lima (5) hari sejak mula bergejala untuk keberkesanan yang optimum untuk mengurangkan risiko komplikasi jangkitan yang lebih teruk.

Pesakit COVID-19 dalam kumpulan yang dinyatakan di atas boleh hadir ke CAC di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian sebelum boleh dimulakan dengan rawatan Paxlovid. Senarai CAC di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan boleh dirujuk pada Lampiran 1 dan Lampiran 2.

KKM terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat- ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Kesihatan Malaysia
12 Mei 2022


Sila klik di sini untuk  Lampiran 1 & Lampiran 2

Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.