ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 20, 2024 -Sabtu

 
  255 ORANG PETUGAS HAJI PERUBATAN BANTU PENGOPERASIAN IBADAH HAJI 1443H/2022M

Tuesday 17/05/2022



KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar sejumlah 255 orang petugas perubatan merangkumi 128 petugas yang telah berpengalaman menyertai operasi sebelum ini dan 127 petugas baharu. Kumpulan petugas perubatan ini terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti Perubatan, Farmasi, Jururawat, Pembantu Perawatan Kesihatan dan Penjagaan Spiritual bagi membantu Tabung Haji (TH) melancarkan perjalanan ibadah haji pada tahun ini.

Seperti tahun-tahun terdahulu, petugas perubatan KKM akan membantu mengendalikan kes-kes berkaitan perubatan yang dihadapi oleh Jemaah Haji selain turut mengoperasikan fasiliti kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.

Susulan daripada risiko penularan COVID-19, KKM juga pada tahun ini turut membekalkan sebanyak sekurang-kurangnya 3,000 patient course ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat Jemaah Haji yang dijangkiti semasa berada di tanah suci.

Ubat antiviral ini akan diberikan kepada jemaah haji positif COVID-19 yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid. Selain rawatan ubat Paxlovid, langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkatkan bagi mengawal penularan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

Justeru, bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia pada tahun ini, Kerajaan telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta yang merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan.

Dalam pada itu, KKM juga ingin menyarankan kepada semua bakal Jemaah haji, terutamanya bagi individu yang berumur 60 tahun dan ke atas dan individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, untuk mengambil peluang mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci. Langkah ini bagi memberikan perlindungan optima daripada jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian.

Berikut adalah syor terkini oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) berkenaan pemberian dos penggalak kedua seperti yang diumumkan sebelum ini:

1)      Individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

2)     Individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.  

Pun begitu, KKM ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela. 

Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji kepada sejuta jemaah haji dari semua negara setelah 2 tahun ia ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Seperti negara-negara lain, kuota haji yang ditawarkan kepada Malaysia pada tahun ini dihadkan kepada hanya 45% daripada kuota pada tahun 2019 iaitu 14,306 orang jemaah berbanding 31,600 orang. 

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Lembaga Tabung Haji atas kerjasama yang diberikan terutamanya berkaitan dengan pemilihan Petugas Haji Perubatan. Diharapkan dengan ketersediaan petugas perubatan KKM ini, para jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadah mereka dengan sempurna tanpa menghadapi sebarang masalah kesihatan.

KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Kesihatan Malaysia

13 Mei 2022


Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Mahendran Subramaniam
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: 03-8883 3675 /016-3087120

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.