ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 39 (25 SEPTEMBER - 1 OKTOBER 2022)

Thursday 06/10/2022



KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-39 tahun 2022, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah 1,460 berbanding 1,533 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 73 kes (4.8%). Sebanyak dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-39 tahun 2022.

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 43,544 kes berbanding 19,886 kes bagi tempoh sama tahun 2021 iaitu peningkatan sebanyak 23,658 kes (119%), Manakala sebanyak 26 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 13 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2021. (Lampiran A & C).

Jumlah lokaliti hotspot denggi terus meningkat dengan sebanyak 55 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 48 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Daripada 55 lokaliti hotspot tersebut, 33 (60%) lokaliti berada di Negeri Selangor, 16 (29%) lokaliti di Sabah dan enam (6) (11%) lokaliti di WPKL & Putrajaya. (Lampiran B & D).

Survelan chikungunya merekodkan sebanyak tiga (3) kes pada minggu ke- 39 dengan kesemua kes dilaporkan dari Negeri Selangor. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 649 kes (Lampiran E). Bagi survelan zika, sebanyak 1,488 sampel darah dan 15 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, fasa Peralihan Monsun yang bermula dari 3 Oktober 2022 sehingga awal November 2022 akan menyebabkan hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan tiada bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di sekeliling rumah termasuk di kawasan kebun-kebun komuniti. Lupuskan barang lusuh atau yang tidak digunakan di tempat pembuangan yang ditentukan. Bagi kawasan di dalam rumah, periksa alas mesin penapis air, lapik pinggan, lapik pasu dan pastikan tiada air bertakung. Persekitaran bersih, Aedes tersisih. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia
6 Oktober 2022

Sila klik di sini untuk lampiran

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA
 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.