ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 23, 2024 -Selasa

 
  MBSB BANK DAN PTPTN WUJUDKAN KERJASAMA STRATEGIK UNTUK TRANSAKSI E-WALLET

Thursday 06/10/2022



Table

YBhg. Datuk Nor Azam M.Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank dan Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.


PETALING JAYA, 6 Okt (Bernama) -- MBSB Bank Berhad (‘MBSB Bank’) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (‘PTPTN’) menandatangani Memorandum Persefahaman (‘MoU’) hari ini bertempat di Menara MBSB Bank, PJ Sentral. 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib manakala PTPTN pula diwakili oleh Ketua Eksekutif, Ahmad Dasuki Abdul Majid. 

Kolaborasi strategik ini akan memfokuskan kepada penyediaan kemudahan transaksi digital untuk para pelanggan membuat simpanan dan bayaran balik pinjaman menerusi e-Wallet MBSB. Pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dan peminjam PTPTN akan dapat menikmati kemudahan untuk membuat simpanan atau pembayaran balik pinjaman dengan mudah menerusi e-Wallet MBSB Bank.

Memorandum Persefahaman yang dimeterai oleh MBSB Bank dan PTPTN ini turut bertujuan untuk mewujudkan kerjasama bagi menjalankan kolaborasi strategik dalam pembudayaan simpanan pendidikan, pengurusan kewangan, program-program promosi dan pemerkasaan komuniti.  

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib, “Kami ingin meluaskan penggunaan dompet digital kami kepada pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dengan menyediakan perkhidmatan simpanan dan pembayaran balik pinjaman PTPTN melalui e-Wallet MBSB Bank. Bagi memudahkan lagi mereka, pendeposit Simpan SSPN boleh membuat simpanan ke dalam akaun Simpan SSPN melalui e-Wallet MBSB Bank tanpa perlu membuka akaun simpanan dengan MBSB Bank.”

Tambah Datuk Nor Azam lagi, “e-Wallet MBSB Bank merupakan dompet digital aplikasi mudah alih patuh syariah yang pertama di Malaysia yang ditawarkan oleh MBSB Bank.”

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menjelaskan, “PTPTN sentiasa menyambut baik kerjasama dengan agensi Kerajaan mahupun swasta bagi memperkasakan perkhidmatan dalam talian berbentuk hujung ke hujung (E2E). Objektif kami adalah untuk terus menambah baik perkhidmatan PTPTN kepada masyarakat melalui teknologi pendigitalan dan kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MBSB Bank sebagai satu lagi usaha positif ke arah memperkasakan PTPTN yang lebih dinamik dan cemerlang.”

“Saya amat berharap dengan pemeteraian MoU ini akan merancakkan bidang-bidang kerjasama yang sedia ada antara kedua-dua pihak di samping menjana kerjasama baharu yang bakal memberikan impak dan manfaat kepada kesejahteraan masyarakat.” tambah beliau lagi.

Kolaborasi ini diharapkan dapat menyemai lebih kesedaran menabung dan mendidik literasi kewangan secara digital yang baik dalam kalangan masyarakat. e-Wallet MBSB Bank boleh dimuat turun ke semua telefon pintar melalui applikasi Apple Store dan Google Play. Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.mbsbbank.com

Selaras dengan usaha berterusan untuk memperkukuhkan ekosistem digital, MBSB Bank turut mengumumkan laman web ‘M Journey Virtual Branch’ yang baharu. Ia kini sedia dilawati dan direkabentuk untuk lebih interaktif, mesra pengguna dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Untuk pengalaman perbankan secara maya yang lengkap, mudah lagi menarik, sila layari https://mjourney.mbsbbank.com.

Mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 1997. PTPTN memulakan operasi pada 1 November 1997 dan bertanggungjawab menguruskan pinjaman untuk tujuan pendidikan tinggi dan mengutip pembayaran balik pinjaman; menyediakan skim simpanan dan menguruskan deposit bagi tujuan pendidikan tinggi; serta melaksanakan sebarang fungsi lain yang diamanahkan kepada PTPTN oleh mana-mana undang-undang bertulis. 

Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) adalah merupakan satu skim atau instrumen simpanan yang diwujudkan khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi. Di bawah Simpan SSPN ini terdapat dua produk iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. 

Mengenai MBSB Bank

MBSB Bank Berhad (MBSB Bank), merupakan sebuah Bank Islam sepenuhnya di Malaysia yang menyediakan kemudahan perbankan patuh syariah kepada pelanggan runcit, PKS dan korporat. Sebagai tambahan kepada senarai komprehensif produk pinjamannya, MBSB Bank, melalui keupayaan digitalnya, memperluaskan saluran pengedarannya melalui perkhidmatan dalam talian seperti perbankan mudah alih dan cawangan maya. Bank itu juga menawarkan produk standard industri seperti e-dompet MBSB Bank, yang merupakan e-dompet patuh syariah pertama negara. Pada masa yang sama,

MBSB Bank menyasarkan untuk membawa impak positif dan mampan kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar dengan mengguna pakai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dalam operasinya serta menyediakan pinjaman hijau kepada pelanggannya. Melangkah ke hadapan, bank itu bersedia untuk mencapai pencapaian utamanya, iaitu menjadi institusi kewangan Islam yang matang sepenuhnya menjelang tahun 2025, atau sebagai jenama Journey25 (J25).

SUMBER: MBSB Bank Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Hasliza Abdul Latiff
Jabatan Komunikasi Korporat & Pemasaran
Bahagian Komunikasi Korporat
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Tel: 019 3542388
E-mel: hasliza@ptptn.gov.my 

Nama: Nik Surina Suria Nik Abdullah
Jabatan Pemasaran & Komunikasi Strategik
Bahagian Perkhidmatan Korporat
MBSB Bank Berhad
Tel: 013 367 6488
E-mel: niksurina@mbsbbank.com 

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.