ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mac 29, 2024 -Jumaat

 
  LAPORAN PENYATA JAWATANKUASA PILIHAN KHAS MENIMBANG RANG UNDANG-UNDANG KAWALAN PRODUK TEMBAKAU DAN MEROKOK 2022

Thursday 06/10/2022



KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada 5 Oktober 2022 telah membentangkan laporan penyata yang mengandungi butiran prosiding serta rumusan dan syor JKPK bagi menambah baik RUU ini.
 
Secara keseluruhannya, JKPK ini telah bermesyuarat sebanyak lima (5) kali dengan semangat bipartisan yang matang dan harmoni bagi memperhalusi peruntukan-peruntukan di dalam RUU. Ahli-ahli JKPK juga secara konsensus telah bersetuju dengan laporan penyata serta cadangan pindaan-pindaan yang perlu dibuat ke atas RUU ini.
 
Perkara-perkara yang telah dibangkitkan dan diperhalusi sepanjang mesyuarat berlangsung antaranya adalah berhubung isu keperlembagaan, keperluan suatu akta baharu bagi mengawal selia produk merokok dan aktiviti melibatkan produk merokok dan perbincangan ke atas had penguatkuasaan serta penalti bagi kesalahan di dalam RUU seperti mana yang termaktub dalam terma rujukan JKPK. 

Suatu kertas Pindaan Dalam Jawatankuasa yang mengandungi 23 pindaan ke atas RUU akan dikemukakan sewaktu menyambung semula perbahasaan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 pada sidang Dewan Rakyat kali ini. Pindaan-pindaan yang dicadangkan ini melibatkan Tajuk Panjang, fasal 1, 2, 5, 13, 17, 21, 24, 26, 27, 28, 29, 30, 31, 33, 34, 35, 38, 49, 53, penambahan fasal baharu 54 dan pernomboran semula fasal 54 dan 55. 

Bacaan pertama dan kedua RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 telah dibuat pada 27 Julai dan 1 Ogos yang lalu. Seterusnya satu usul bagi merujuk RUU kepada JKPK Menimbang RUU telah dibuat pada 2 Ogos dan dipersetujui oleh Dewan Rakyat. 

JKPK Menimbang RUU ini dianggotai oleh 13 orang Ahli Dewan Rakyat yang dinamakan oleh parti masing-masing iaitu:

a) Yang Berhormat Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan sebagai Pengerusi (Ahli Parlimen Rembau);

b) Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim (Ahli Parlimen Baling);

c) Yang Berhormat Dato’ Mohd Nizar bin Haji Zakaria (Ahli Parlimen Parit);

d) Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina binti Othman Said (Ahli Parlimen Pengerang);

e) Yang Berhormat Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin (Ahli Parlimen Masjid Tanah);

f) Yang Berhormat Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari (Ahli Parlimen Pasir Mas);

g) Yang Berhormat Tuan Lukanisman bin Awang Sauni (Ahli Parlimen Sibuti);

h) Yang Berhormat Dr. Kelvin Yii Lee Wuen (Ahli Parlimen Bandar Kuching);

i) Yang Berhormat Tuan Sivarasa a/l K. Rasiah (Ahli Parlimen Sungai Buloh);

j) Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor); 

k) Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Ahli Parlimen Tuaran);

l) Yang Berhormat Datuk Ignatius Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang); dan 

m) Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Dr. Mahathir (Ahli Parlimen Jerlun). 

Menerusi konsensus yang dicapai oleh Ahli Dewan Rakyat daripada blok Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai JKPK ini, diharapkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain dapat turut bersama memberikan sokongan ke atas RUU ini apabila perbahasannya disambung semula untuk diputuskan demi
kepentingan kesihatan awam di negara ini. 

JKPK ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat yang telah memberikan kerjasama dengan mengemukakan pandangan serta cadangan yang berkaitan mengenai RUU ini. Sekalung penghargaan juga kepada Parlimen Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas sumbangan yang diberikan untuk memastikan fungsi dan peranan JKPK ini dilaksanakan berlandaskan kepada terma rujukan selaras dengan tujuan penubuhannya. 

KHAIRY JAMALUDDIN
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
MERANGKAP PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS

6 OKTOBER 2022

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: +603-8883 3470

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.