Disember 23, 2025 -Selasa

 
 
 

Khamis 05/10/2017

MUZAKARAH PAKAR "PENGUKUHAN INSTITUSI KEKELUARGAAN BERLANDASKAN MAQASID AL-SHARIAH"

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Muzakarah Pakar "Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Berlandaskan Maqasid Al-Shariah" pada ketetapan seperti berikut:

Hari/Tarikh : Rabu 11 Oktober 2017

Masa : 8.00 pagi - 4.45 petang

Tempat : Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Program
Sila klik disini


Pengenalan

Maqasid al-Shariah atau objektif shariah iaitu pemeliharaan iman, nyawa, aqal, keturunan dan harta sebenarnya boleh dicapai jika setiap individu memiliki keluarga yang bahagia dan kuat. Walau bagaimanapun malangnya institusi keluarga Islam di Malaysia kelihatan semakin rapuh dengan peningkatan perceraian dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, dicatatkan sebanyak 171,252 pasangan Islam telah bercerai sejak tahun 2014 sehingga Julai 2016 (Berita Harian, 14 November 2016).

Terdapat banyak punca yang membawa kepada perceraian pasangan Islam di Malaysia dan diantaranya termasuklah melakukan kesalahan melibatkan dadah, pasangan tidak menunaikan tanggungjawab, nafkah tidak mencukupi lantaran membazir dan tabiat boros, keganasan rumah tangga, ketidakadilan dalam berpoligami, manipulasi kewangan terhadap pasangan dan lain-lain.

Dalam hal ini usaha-usaha perlu diambil bagi menyelidiki dengan lebih mendalam permasalahan yang berlaku. Penyelesaian perlu dicari dan diusahakan untuk memperbaiki keadaan yang boleh mengukuhkan institusi kekeluargaan Islam dalam masyarakat kita. Antara lain mungkin boleh ditambahbaik lagi kesedaran tentang tanggungjawab kekeluargaan di kalangan ahli keluarga dan bimbingan pengurusan kewangan yang lebih berkesan kerana faktor kewangan berpotensi untuk menjadi diantara punca utama konflik rumah tangga.

Kearah isu dan permasalahan-permasalahan ini dapat diatasi, IKIM mengambil inisiatif menganjurkan sebuah Muzakarah Pakar tentang pengukuhan institusi kekeluargaan dalam ruang lingkup maqasid al-Shariah yang membabitkan pakar-pakar didalam bidang yang berkaitan isu-isu kekeluargaan.

Objektif

i. Untuk memberi kefahaman tentang kepentingan pengukuhan institusi keluarga bagi mencapai maqasid al-Shariah dalam konteks negara sejahtera;

ii. Untuk mengenal pasti masalah-masalah kritikal yang berkaitan dengan kekeluargaan Islam di Malaysia dari perspektif perundangan, sosiologi, psikologi dan ekonomi dalam mencapai maqasid al-Shariah; dan

iii. Untuk mencari jalan penyelesaian bagi permasalahan-permasalahan yang dapat dikenal pasti dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan Islam demi mencapai maqasid al-Shariah.


Sehubungan itu, anda dijemput untuk menghantar wartawan dan jurugambar/jurukamera bagi membuat liputan program tersebut.

Sumber : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Perhubungan Korporat IKIM
Nama : Pn. Zawiah
Tel : 03-6204 6329/012-333 4253

Nama : Pn. Wan Zahidah
Tel : 03-6204 6330 / 019- 276 8003

-BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.