ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 26, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA: SITUASI TERKINI RABIES DI SARAWAK

Sunday 19/08/2018



KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan. Pesakit adalah seorang lelaki, petani berbangsa Iban, berumur 49 tahun yang tinggal di Bahagian Sri Aman, Sarawak.
 
Beliau pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada Januari 2018 dan tidak mendapatkan rawatan selepas itu. Pada 11 Ogos 2018, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Serian kerana mengalami demam dan sesak nafas. Di dalam wad, pesakit menunjukkan tanda-tanda hidrofobia dan lemah badan. Pesakit kemudiannya telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Ogos 2018. Beliau kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit (Infectious Disease Ward) dan dalam keadaan kritikal.
 
Anjing peliharaan pesakit ini bebas bercampur dengan anjing liar dan telah mati seminggu selepas menggigit beliau. Walau bagaimanapun, tiada pengesahan dapat dibuat bagi punca kematian anjing tersebut. 
 
Anjing ini juga pernah mengigit seorang penduduk dari kampung yang sama dalam bulan Januari 2018. Mangsa gigitan ini telah dikenal pasti dan telah diberikan suntikan vaksin anti-rabies pada 16 Ogos 2018. Beliau dalam keadaan sihat dan akan dipantau oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk tempoh enam (6) bulan.

Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017 sehingga 16 Ogos 2018 adalah 12 kes; di mana 10 kes telah meninggal dunia, satu kes (1) kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan satu (1) kes terbaru masih dalam rawatan.
 
Sehingga 16 Ogos 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 33 buah kawasan di lima (5) Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies; iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (6 kawasan), Samarahan (3 kawasan), Sarikei (2 kawasan) dan Sri Aman (1 kawasan). 
 
KKM ingin menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:
• Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
• Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
• Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
• Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
• Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
• Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.
  
KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.
  
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 Ogos 2018

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT,SILA HUBUNGI:
Nama : Khairul Nizawati binti Amat Mustajab
Penolong Pegawai Perhubungan Awam 
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat

Tel : 03-8883 3675 / 019-3265122

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.