ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 09, 2024 -Khamis

 
  SITUASI TERKINI PENYAKIT BERKAITAN JEREBU DI MALAYSIA

Monday 23/09/2019



KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam, 22 September 2019 yang menunjukkan 24 stesen berada pada bacaan tahap sederhana, 42 stesen berada pada bacaan tahap tidak sihat dan satu (1) stesen mempunyai bacaan tahap sangat tidak sihat. 

Pada Minggu Epid (ME) 38 (15 hingga 21 September 2019) terdapat 17 kawasan merekodkan status IPU Sangat Tidak Sihat (Kulim Hi-Tech, Balik Pulau, Minden, Taiping, Johan Setia, Klang, Shah Alam, Petaling Jaya, Putrajaya, Batu Muda, Nilai, Tangkak, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan Kuching) berbanding tiga (3) kawasan pada ME 37 (8 hingga 14 September 2019) iaitu Samarahan, Kuching dan Johan Setia. Tiada kawasan merekodkan status IPU Bahaya pada ME 37 walau bagaimanapun pada ME 38 terdapat satu (1) kawasan merekodkan status IPU Bahaya iaitu Sri Aman.

KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu di 33 buah Fasiliti Sentinel Jerebu KKM iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran
pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection - URTI). Terdapat peningkatan penyakit asma sebanyak 3.5 % (1,222 kepada 1,265 kes) pada ME 38 (15 hingga 21 September 2019) berbanding dengan purata ME 27 hingga ME 36 (30 Jun hingga 7 September 2019). Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 51.4% (266 kepada 403 kes) pada tempoh masa yang sama. Manakala penyakit URTI menunjukkan penurunan sebanyak 9.6 % (8,258 kepada 7,465 kes). 

KKM menasihatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu. 

Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu, orang ramai boleh melayari laman sesawang KKM di alamat http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.

Orang ramai disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU. 

Sila klik di sini untuk Lampiran
 
DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

23 September 2019 

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Baharudin Bin Mohamad
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 /  017-2635008 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.