ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

April 19, 2024 -Jumaat

 
  KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA PEMBEKALAN VAKSIN INFLUENZA DAN UBAT ANTIVIRAL OSELTAMIVIR

Wednesday 15/01/2020



KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memperjelaskan tentang pembekalan vaksin influenza dan ubat antiviral Oseltamivir berikutan makluman awal yang telah diberikan sebelum ini.

Vaksin influenza diberikan sebagai langkah pencegahan untuk memberi perlindungan kepada individu daripada dijangkiti virus influenza. Vaksin influenza hanya ditawarkan di fasiliti KKM sebagai sebahagian daripada regimen rawatan golongan pesakit yang berisiko tinggi mendapat komplikasi jangkitan termasuk kematian apabila dijangkiti virus influenza dan pemberiannya adalah berdasarkan kepada penilaian klinikal daripada pakar yang merawat pesakit tersebut. Vaksin ini juga turut diberikan kepada golongan anggota barisan hadapan KKM yang terdedah kepada jangkitan semasa mengendalikan pesakit. Orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza boleh mendapatkan suntikan tersebut di fasiliti kesihatan swasta.

Sehingga kini, terdapat enam (6) produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia. Jumlah keseluruhan kuantiti yang telah dibawa masuk untuk pasaran Malaysia sepanjang tahun 2019 bagi keenam-enam produk vaksin tersebut adalah sebanyak 638,388 dos. Daripada jumlah keseluruhan bekalan ini, hanya 10% merupakan bekalan ke fasiliti kesihatan KKM.

Pola permintaan terhadap vaksin influenza didapati telah meningkat secara mendadak pada akhir tahun 2019 dan awal tahun 2020. Pihak pembekal telah mengagihkan sejumlah 40,000 dos vaksin influenza ke hospital dan klinik swasta pada 7 Januari 2020, sehingga menyebabkan baki stok dalam simpanan pihak pembekal habis buat masa ini. Pihak KKM telah dimaklumkan bahawa sejumlah 99,470 dos lagi akan dibawa masuk pada bulan Januari 2020.

Manakala itu, ubat Oseltamivir pula adalah ubat antiviral yang digunakan untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus Influenza. Di Malaysia, terdapat pelbagai jenama Oseltamivir yang berdaftar antaranya Tamiflu, Fluhalt, Osmivir dan Starflu. Pemberian ubat antiviral dapat mengurangkan simptom serta komplikasi penyakit. Walaubagaimanapun, penggunaan antiviral perlu digunakan secara rasional bagi mengelakkan kerintangan antimikrobial (antimicrobial resistance) yang menyebabkan rawatan tidak berkesan. Pesakit disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan. Doktor akan memberi rawatan yang bersesuaian selepas penilaian ke atas keadaan semasa pesakit dijalankan.

Bagi fasiliti KKM, Oseltamivir ini dibekalkan di bawah syarikat konsesi yang telah diarahkan untuk menyimpan stok yang mencukupi (stockpile). Sehubungan itu, tiada masalah bekalan di fasiliti KKM walaupun permintaan telah meningkat empat (4) kali ganda untuk bulan Disember 2019.

Memandangkan terdapat permintaan yang mendadak di fasiliti kesihatan swasta, lima (5) pembekal sedia ada yang berdaftar tidak dapat menampung permintaan tersebut. Bagi mengatasi masalah ini, KKM telah memberikan kelulusan khas Ketua Pengarah Kesihatan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal alternatif. Setakat ini KKM telah meluluskan hampir 1.1 juta kapsul/tablet bagi tempoh Disember 2019 hingga Januari 2020 untuk memenuhi permintaan fasiliti kesihatan swasta. Kuantiti ini dianggarkan dapat merawat sejumlah 110,000 orang pesakit.

KKM sentiasa komited dalam memastikan bekalan ubat-ubatan sentiasa mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN

14 JANUARI 2020

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Baharudin bin Mohamad 
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : 03-88834536 / 017-2635008

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.