ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 08, 2024 -Rabu

 
  AGRO TECHNO PARK PEMINDAHAN ILMU KEPAKARAN UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK) UNTUK MANFAAT KOMUNITI

Wednesday 30/06/2021



JELI, 30 Jun (Bernama) -- Demi merealisasikan strategi pemindahan ilmu kepakaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada masyarakat, UMK mengorak langkah ke hadapan dengan mewujudkan Agro Techno Park (ATP) sebagai platform yang mampu memacu sektor pertanian sekaligus menjana ekonomi berasaskan asas tani.
 
ATP adalah inisiatif UMK untuk menerapkan kemahiran keusahawanan dan teknikal kepada warga UMK serta masyarakat setempat untuk menceburi bidang keusahawanan di dalam sektor pertanian yang bertujuan meningkatkan sumber pendapatan universiti dan ekonomi setempat.
 
Pengarah ATP UMK, Dr. Ch'ng Huck Ywih berkata, penubuhan ATP adalah sebagai platform terbaik dalam meningkatkan lagi penjanaan pendapatan dengan memberi penumpuan dalam bidang pertanian dan operasi urus tadbirnya adalah di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah.
 
Beliau berkata, secara keseluruhan ATP mempunyai kawasan seluas 120 ekar yang terdiri daripada dua (2) kawasan pertanian iaitu ATP UMK Bachok dan ATP UMK Kampus Jeli. 
 
"Peranan yang dimainkan oleh Agro Techno Park ialah membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi semua fakulti di UMK dan usaha ini sudah dilaksanakan sejak lO tahun kebelakangan ini dengan menyediakan kemudahan tapak atau infrastruktur bagi tujuan penyelidikan kepada pelajar dan pensyarah di UMK.
 
“Selain itu, ATP juga merancang dan membangunkan infrastruktur pertanian untuk rujukan kepada pelajar, staf dan masyarakat secara Showcase of Agricultural Technology, memberi bantuan khidmat nasihat dan latihan teknikal dalam bidang pertanian," katanya.
 
Dr. Ch’ng merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT) berkata, pada masa kini ATP UMK Kampus Jeli telah membangunkan tapak Germplasm Durian terbesar di Kelantan. 
 
Katanya, perasmian tapak Germplasm Durian ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Tuan Hj. Mohd Saripudin Tuan Ismail pada Oktober tahun 2020. 
 
"Tapak ini telah dibangunkan dengan plot komersial durian dari pelbagai variati durian seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI dan akan dikomersialkan pada masa hadapan untuk tujuan penjanaan pendapatan universiti.
 
"Pihak ATP juga telah berjaya menanam sebanyak 31 varieti germplasm durian seperti Musang King, D200 Duri Hitam, D175 Udang Merah, D168 IOI (Hjh. Hasmah), D164 Ang Rak dan Iain-lain," katanya.
 
Projek ini berpotensi menjadikan UMK sebagai satu pusat rujukan dan penyelidikan utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia kepada agensi-agensi dan penyelidik-penyelidik lain. 
 
Sementara itu, Dr. Ch’ng berkata, UMK turut membangunkan komponen pertanian yang lain seperti tanaman sayur-sayuran menggunakan sistem NFT (Nutrient Film Technique) dan sistem fertigasi, nurseri penjualan pokok dan tumbuhan hiasan, serta ternakan kambing, lembu, itik penelur dan burung puyuh. 
 
Katanya, penanaman sayur-sayuran menggunakan teknologi NFT ini adalah suatu kaedah dimana tanaman yang mempunyai akar tanaman tumbuh pada lapisan air baja yang tipis dan sentiasa mengalir sehingga tanaman dapat memperolehi cukup air, baja tanaman dan oksigen. 
 
“Kaedah ini mampu meringgankan kerja penyelenggaraan proses penanaman berbanding dengan kaedah tanaman di atas tanah yang melibatkan membajak tanah, merumpai, menyiram dan membaja.
 
“Walaupun kos asas penggunaan teknologi NFT ini agak tinggi dan memerlukan kemahiran tinggi, namun pulangan yang tinggi, cepat dan meringankan proses penyelenggaraan menyebabkan ia telah dipilih sebagai satu kaedah penanaman sayuran yang semakin popular di Malaysia,” katanya.
 
Tambah Dr. Ch’ng, ATP turut mengusahakan tanaman Rock Melon menerusi sistem fertigasi yang mampu meningkatkan penyerapan dan penggunaan sumber nutrien oleh tanaman dengan lebih efisien serta dapat mengurangkan risiko larut resap nutrien yang biasa berlaku jika ditanam di atas tanah.
 
Selain itu, ATP menternak baka kambing terbaik dan berkualiti iaitu spesis baka Boer, Jamnapari dan Sannen. 
 
Koleksi ternakan kambing pembaka berkualiti sekali lagi menjadikan Agro Techno Park satu ladang yang istimewa dan mampu menyediakan peluang untuk tujuan kajian pelajar UMK untuk tujuan pembelajaran. 
 
Di samping itu, Agro Techno Park UMK juga dengan berbesar hati dapat bekerjasama dengan Fakulti Industri Asas Tani UMK dalam pembangunan sistem IoT (Internet of Things) untuk tujuan tanaman dan ternakan kambing. 
 
Sistem IoT yang terdapat di dalam kandang kambing mampu mengawal suhu dalam kandang dengan membuka kipas-kipas dalam kandang secara automatik apabila suhu sekeliling menjadi panas.
 
 Penggunaan sistem ini mampu membantu dalam pengoperasian pembekalan air dan cahaya kepada kambing-kambing dalam kandang. 
 
Agro Techno Park UMK juga menyediakan tapak untuk pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah. 
 
Menurut Dr. Ch’ng, satu kajian penyelidikan padi juga telah dijalankan di atas plot penyelidikan ATP untuk mengkaji kesan hasil inovasi baja dalam mempertingkatkan keberkesanan pembebasan dan penyerapan nutrien oleh tumbuhan padi. 
 
“Plot-plot ini mampu memberi peluang kepada para pelajar untuk mengadakan hands-on secara kendiri supaya mereka dapat menerap dan mengaplikasikan ilmu teknikal di bidang pertanian yang sebenar selain daripada proses pembelajaran secara teori dalam kelas.
 
“Selepas sesi tanaman, pelajar-pelajar dikehendaki menjual hasil tanaman mereka atau memproses hasil tanaman mereka kepada produk baru untuk penjanaan pendapatan.
 
"Ini membolehkan pelajar mendalami ilmu keusahawanan dan inovasi dengan lebih lanjut, selaras dengan konsep UMK yang berteraskan keusahawanan,” katanya.
 
Sumber: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel: 0199811719
E-mel: adzwan@umk.edu.my

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.