ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Mei 15, 2024 -Rabu

 
  PENDEKATAN INOVATIF DAN KREATIF DI PROTON CETUS PENJIMATAN KOS BERJUMLAH RM107.5 JUTA

Thursday 08/07/2021



PETALING JAYA, 8 Julai (Bernama) -- Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) telah berjaya mencapai penjimatan kos sebanyak RM107.5juta hasil dari aktiviti penambahbaikan proses ke arah peningkatan kualiti semenjak PROTON mula beroperasi dari tahun 1983.
 
Menurut Tuan Haji Ramli Ahmad, Ketua Jabatan CIMO, “Dari tahun 2008 sehingga tahun 2020, pencapaian ini merupakan impak dari inisiatif peningkatan kualiti produk, pengurangan masa menunggu dalam proses kerja, penggunaan mesin secara optimum melalui penyelenggaraan yang berkesan, pengurangan pembaziran dalam proses penghantaran, dan penambahbaikan persekitaran bagi mengurangkan kemalangan di tempat kerja”.
 
Usaha ini membuktikan bahawa PROTON mampu   menghasilkan kereta nasional berkualiti tinggi setanding dengan kereta jenama luar dan mendokong aspirasi negara menjadi sebuah negara perindustrian serta meningkatkan kemahiran rakyat di dalam bidang teknologi tinggi.
 
“PROTON telah menjalankan aktiviti penambahbaikan bagi tujuan mengenalpasti masalah di peringkat awal dan mengemukakan penyelesaian masalah tersebut sejak tahun 1985 lagi. Pada peringkat permulaan, ia hanya disertai oleh kakitangan bahagian pengeluaran, namun pada tahun 2018 program ini telah diperluaskan kepada seluruh kakitangan PROTON termasuk kakitangan anak syarikat di bawah PROTON. Seterusnya aktiviti-aktiviti ini diperkembangkan lagi sebagai Aktiviti Kumpulan Kecil atau Small Group Activities (SGA) di bawah Program Proton Production Way (PPW). Di samping itu, PROTON turut melaksanakan aktiviti-aktiviti lain seperti Autonomous Maintenance, Job Observation dan Green 5S yang menjadi pelengkap kepada PPW. Bagi mencapai objektif dan meningkatkan keberhasilan program PPW, semua aktiviti ini dikelola dan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Continuous Improvement Management (CIMO) yang bertanggungjawab menjalankan kempen kualiti bagi meningkatkan kesedaran melalui latihan di kalangan pekerja secara menyeluruh menurutnya lagi.
 
PROTON telah berkongsi kejayaan dan amalan terbaik dalam proses penambahbaikan inovasi melalui pendekatan Kaizen dan aktiviti kecil berkumpulan (ICC). Menurut Puan Hajah Roziana Othman, Pengarah Bahagian Pembangunan Kecemerlangan Organisasi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), “Program Perkongsian Amalan Terbaik anjuran MPC ini dijalankan secara atas talian dan dihadiri oleh 192 peserta dari pelbagai sektor bermula April yang lalu. Perkongsian ini telah memberi inspirasi dan motivasi kepada semua peserta untuk menanda aras inisiatif penambahbaikan kualiti, produktiviti, keselamatan dan pengurangan kos menggunakan metodologi penyelesaian masalah secara sistematik”. 
 
PROTON telah mula menyertai Konvensyen Team Excellence anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sejak 2010. Sehingga tahun lepas, sebanyak 120 kumpulan telah bertanding di Konvensyen Team Excellence di mana 10 kumpulan telah berjaya menerima pelbagai anugerah di peringkat nasional. Penyertaan dalam konvensyen ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan pembudayaan inovasi, kualiti dan produktiviti bagi membantu pekerja meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan bakat dengan lebih tangkas. 
 
Kini, semua pekerja berkebolehan menggunakan pendekatan problem-solving bagi menyelesaikan isu ketidakcekapan dan pembaziran di PROTON dengan pelaksanaan idea penambahbaikan yang inovatif dan kreatif seterusnya dapat meningkatkan motivasi mereka di mana pekerja diberi ganjaran atas komitmen yang ditunjukkan. 
  
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC):
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ialah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menjalankan aktiviti bagi peningkatan produktiviti, kualiti dan daya saing. Visi utama MPC ialah menjadi peneraju dalam meningkatkan produktiviti ke arah daya saing global yang kompetitif dan berinovasi.

Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: NORLIANA MAHMUD
Tel: 019-3889702
E-mel: norliana@mpc.gov.my

--BERNAMA

 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.