|
|
|
 |
|
|
KEMPEN KESEDARAN THALASSAEMIA 'NOWYOUSEEME' 2021
Wednesday 15/09/2021
PUTRAJAYA, 15 Sept (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah bersama- sama Ketua Pengarah Pendidikan, YBhg Datin Sri Hajah Nor Zamani binti Abdol Hamid dan Pengarah REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Mr Pablo Ortola Martinez hari ini telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan dan Penutup Kempen Kesedaran Thalassaemia 2021 atau lebih dikenali sebagai Kempen ‘NowyouSEEme 2021’. Majlis ini telah dilangsungkan secara virtual dalam talian sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.
YBhg Dato’ Mohd Shafiq menjelaskan, Kempen ‘NowyouSEEme 2021’ yang telah berlangsung selama 5 bulan adalah hasil kerjasama tiga pihak iaitu REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan. Kempen ini adalah kesinambungan daripada kolaborasi penganjuran sambutan Hari Thalassaemia Kebangsaan pada tahun 2018 antara REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited dengan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, kempen yang mendokong konsep ‘daripada murid kepada murid’ ini telah memperlihatkan keberkesanan murid sebagai duta kesihatan. Sungguhpun murid dan guru menghadapi kesukaran dalam melakukan aktiviti kerana tidak dapat membuat perjumpaan secara bersemuka, namun peluang menggunakan pelbagai jenis media komunikasi telah digunakan sebaik-baiknya bagi menyampaikan informasi tentang Thalassaemia.
Beliau turut mengakui bahawa penyampaian maklumat Thalassaemia sebagai penyakit genetik yang boleh dicegah dan bukan penyakit berjangkit oleh individu yang tiada pendidikan khusus dalam bidang perubatan bukanlah tugas yang mudah. Namun, bahan-bahan pendidikan yang disajikan di dalam portal ‘NowyouSEEme’ telah diakui sangat membantu murid dan warga sekolah memahami setiap informasi yang penting dan mampu diterjemahkan dengan baik.
Sejumlah 2 jenis risalah, 18 buah poster yang mengandungi pelbagai informasi, 9 sisipan video, dan 3 buah komik tentang Thalassaemia telah dimuat naik ke dalam portal ‘NowyouSEEme’ sepanjang kempen dijalankan. Bahan-bahan ini telah memberi manfaat kepada 161,928 pengguna portal yang berdaftar seterusnya telah digunakan dalam pelbagai bentuk media sosial dan komunikasi seperti Facebook, Instagram, Twitter, dan Youtube.
Dato’ KSU selanjutnya menyeru agar rakyat Malaysia mengambil inisiatif dan langkah yang sewajarnya dalam usaha membendung penyakit Thalassaemia. Kempen ‘NowyouSEEme 2021’ dilihat telah menjadi pemangkin kesedaran kepada harapan pesakit Thalassaemia untuk lebih diambil peduli oleh segenap lapisan masyarakat. Individu yang telah disahkan memiliki baka Thalassaemia melalui ujian saringan dan pengesahan, perlu bersikap lebih terbuka dalam menyatakan sejarah kesihatan anda kepada bakal pasangan hidup anda.
Menurut ‘Annual Report of the Malaysian Thalassaemia Registry 2019’ sebanyak 8,178 pesakit berdaftar telah mendapat rawatan di hospital. Sejak tahun 2015, didapati bahawa kelahiran bayi dengan Thalassaemia semakin menurun. Pada tahun 2019, hanya tiga (3) kelahiran baru bayi dengan Thalassaemia dilaporkan. Pesakit Thalassaemia HbE/β adalah yang tertinggi, iaitu 2,878 orang (35.19%) daripada keseluruhan pesakit Thalassaemia pada 2019.
Pesakit Thalassemia major memerlukan peruntukan kira-kira RM3 juta seorang bagi rawatan selama 30 tahun. Memandangkan kos rawatan yang tinggi, usaha pencegahan penyakit Thalassaemia mesti dilaksanakan bagi memastikan bilangan pesakit Thalassaemia baharu berkurangan. Pada tahun 2020, sebanyak RM2,797,400 telah diperuntukkan untuk aktiviti saringan Thalassaemia termasuk ujian pengesanan dan pengesahan Hb Analysis. Manakala RM2,020,200 telah diagihkan untuk ujian molekular bagi pengesahan Thalassaemia.
Program Saringan Thalassaemia yang dilaksanakan di sekolah dalam kalangan murid Tingkatan 4 membolehkan murid mengetahui status Thalassaemia mereka. Menurutnya lagi, sejak 2016 hingga 2018, seramai 689,460 orang pelajar Tingkatan 4 telah menjalani ujian saringan di sekolah. Daripada jumlah tersebut, seramai 31,716 orang pelajar telah dikesan sebagai Pembawa Thalassaemia.
Sehingga kini data terkumpul masih menunjukkan seorang dalam setiap 20 orang yang disaring adalah pembawa baka Thalassaemia.
Justeru katanya lagi, kerjasama pelbagai pihak seperti ini wajar diteruskan dalam usaha menyampaikan maklumat dan meningkatkan literasi orang awam khususnya murid sekolah tentang penyakit Thalassaemia serta kepentingan mengetahui status Thalassaemia masing-masing.
Kementerian Kesihatan Malaysia 15 September 2021
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: Nama: YBrs Dr Don Ismail b. Mohamed Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Kesihatan Sekolah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia Tel: +60 17-227 2704 E-mel: drdonismail@moh.gov.my
--BERNAMA
|
|
|
|
|
|