ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Oktober 18, 2021 -Isnin

 
  MEMACU PENDIGITALAN MAMPAN DALAM PERTANIAN - AGROBANK OPTIMIS BANTU USAHAWAN RANGKA SEMULA MODEL PERNIAGAAN

Thursday 14/10/2021



Table
Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Esekutif Agrobank


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kecanggihan serta revolusi teknologi dan digitalisasi semakin pantas berkembang lantas telah mengubah lanskap pembangunan sektor pertanian bagi meningkatkan kecekapan dan hasil sektor ini. Mula beradaptasi dengan teknologi, usahawan agro kini lebih berani menceburi bidang pendigitalan bagi meningkatkan hasil dan produktiviti pertanian serta pada masa yang sama memenuhi keperluan pengguna sasarnya menerusi platform e-dagang.
 
Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank bersama Afiq Nazary, Ketua Pegawai Eksekutif My Fundaction dan Bikesh Lakhmichand, Ketua Pegawai Eksekutif / Rakan Pengasas 1337 Ventures berkongsi pengalaman mereka dalam sektor pertanian dan pendigitalan menerusi sesi webinar Agrobank yang dikenali sebagai Agro Talk, bagi membincangkan topik ‘Entrepreneurship in Malaysia – Redesigning Business Models for the Digital Economy’. Perbincangan tersebut telah dikendalikan oleh Karamjit Singh, Pengasas / Ketua Pegawai Eksekutif Digital News Asia yang dianjurkan secara maya di Facebook Live Agrobank pada Selasa, 12 Oktober 2021.
 
“Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) dengan fokus untuk membangunkan sektor pertanian di Malaysia, Agrobank menawarkan akses kewangan yang holistik serta perkhidmatan melangkaui perbankan kepada pelbagai segmen komuniti pertanian. Bagi membangunkan rantaian nilai pertanian, Agrobank turut menyokong agenda negara bagi memodenkan sektor ini melalui pelbagai dana yang diterima daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti pemodenan perkapalan untuk komuniti nelayan.”
 
“Untuk makluman, Agrobank kini di dalam fasa Pelan Perniagaan Strategik 2021 – 2025. Menerusi pelan pembangunan ini, kami berhasrat untuk memastikan kelangsungan sektor pertanian menerusi penyelesaian pembiayaan kewangan yang komprehensif dan pada masa yang sama menyokong pembangunan teknologi serta penerapan amalan pertanian moden. Ini dapat dilihat menerusi penglibatan Agrobank melalui kerjasama strategik bersama Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) bagi menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10 juta bertujuan menyokong 200 usahawan sektor pertanian bagi meningkatkan amalan teknologi IR4.0 untuk sektor ini,” kata Khadijah. 
 
Tambah beliau, “Pelbagai kerjasama dengan agensi dan penyedia teknologi dalam program akselerator menerusi aktiviti sandbox telah dirancang. Ini merupakan antara pelan perniagaan kami, dan kami berhasrat untuk memberikan impak yang positif dan bukan sahaja menerusi pembiayaan tradisional malah pada masa yang sama, kami akan bekerjasama dengan rakan strategik Bank bagi menyokong agenda kerajaan dalam memodenkan sektor pertanian.”
 
Afiq Nazary yang telah menceburi bidang keusahawanan ketika di tahun akhir pengajiannya di New Zealand turut berkongsi pandangan mengenai digitalisasi.  Katanya, “Kita perlu berbalik kepada asas ketika berbicara tentang pengalihan rangka model perniagaan peruncitan ke model perniagaan e-dagang. e-dagang bukanlah sesuatu yang biasa dilakukan oleh semua terutamanya bagi PKS dan pengusaha mikro yang telah menggunakan kaedah konvensional.” 
 
“Saya adalah seorang yang percaya tentang pengalaman pelanggan (customer experience) dan oleh itu, kita perlu menetapkan beberapa tanda aras ketika berbicara tentang pelanggan. Apabila kita mengkaji tentang segmen pelanggan, sebahagian besar pengguna akan pergi ke kedai untuk merasai sendiri produk yang ingin dibeli. Pengalaman sebegini sebenarnya sangat menarik minat bagi segmen pelanggan tertentu.”
 
“Apabila usahawan ingin menceburi model perniagaan e-dagang, mereka perlu mempraktikkan kaedah omnichannel bagi memastikan pengalaman pengguna ketika membeli di kedai adalah lebih kurang sama dengan pembelian menerusi platform e-dagang. Kita perlu memastikan bahawa pengalaman pengguna menerusi e-dagang adalah sesuatu yang baik sama seperti pengalaman ketika mereka membeli di kedai biasa. Saya percaya bahawa urusan pembelian yang efisien dan lancar adalah sangat penting. Ketika seseorang usahawan itu ingin memulakan dan mengadaptasi e-dagang dalam perniagaan mereka, mereka perlu memastikan keperluan asas pengguna difahami. Ini bagi memastikan platform e-dagang tersebut adalah mudah untuk dinavigasi dan diakses pengguna bergantung kepada pelanggan sasaran mereka,” kata Afiq. 
 
Berkongsi tentang pengalaman beliau, Bikesh Lakhmichand berkata, “Pelanggan kini lebih mengetahui apa yang mereka perlukan.  Anda tidak lagi perlu untuk mendedahkan mereka tentang sesuatu perkara kerana pada kebiasaannya mereka telah membuat kajian tentang produk yang diinginkan serta mereka juga tahu apa yang mereka mahukan. Oleh itu, sebagai seorang usahawan, ada perlu melengkapkan diri dengan teknologi digital dan sentiasa ada apabila mereka memerlukan anda. Sekiranya mereka ingin mencari sesuatu namun tidak menemui solusinya, anda sebagai seorang usahawan harus dipersalahkan kerana tidak mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik. Oleh itu, anda harus memastikan diri anda dilengkapi dengan strategi pendigitalan.”

“Kini, semuanya boleh dipantau dan memiliki komponen teknologi. Sekiranya anda melihat industri perikanan, pada ketika ini kaedah penjagaan dan memberi makan dalam sektor perikanan dapat dikawal menerusi sensor IOT. Pada dasarnya, kita mampu mengetahui bila, bagaimana dan berapa kerap untuk kita memberi makanan kepada ikan bagi mendapatkan hasil yang optimum. Tidak ada perkara yang tidak boleh ditambah baik dengan teknologi dan oleh itu, peranan anda sebagai seorang PKS adalah untuk mempelajari teknologi yang ada yang bersesuaian dengan perniagaan anda. Sekiranya anda tidak bersedia untuk itu, inilah masanya untuk anda menjalinkan kerjasama dengan rakan strategi yang boleh membantu anda untuk mencapai objektif perniagaan anda,” tambahnya. 
 
Walaupun pandemik yang melanda telah memberikan kesan yang negatif kepada ekonomi global, namun ekonomi digital telah terbukti berperanan dalam mengubah cabaran serta corak perniagaan kepada peluang yang baharu bukan sahaja di dalam negara malah di peringkat global.  
 
Ketiga-tiga ahli panel juga bersetuju bahawa usahawan yang telah menggunakan teknologi internet sebelum ini mempunyai kelebihan untuk merancang dan memajukan pembangunan perniagaan mereka; justeru, kemampuan untuk memanfaat dan mengadaptasi perniagaan ke arah pendigitalan adalah perlu untuk memastikan perniagaan dapat bertahan dalam krisis yang sedang dihadapi serta secara tidak langsung mampu mempersiapkan usahawan untuk menghadapi cabaran di masa hadapan.
 
Sesi temubual penuh Agro Talk ini boleh ditonton di saluran rasmi Agrobank di YouTube - AgrobankTV dan Facebook rasmi Agrobank. 

Mengenai Agrobank
Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
 
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian.  Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian.  Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna. 
 
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dilaksanakan menerusi 206 rangkaiannya sehingga tahun 2020 yang merangkumi 138 cawangan, 33 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan. 

Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.

www.agrobank.com.my
 
*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.

Dikeluarkan oleh Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank

 
Sumber: Agrobank

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Shahreen Rahim 
Ketua Bahagian Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Korporat
Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217 
E-mel: shahreen.rahim@agrobank.com.my
 
Nama: Syarifah Syameen Syed Johari
Eksekutif Kanan, Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Korporat
Agrobank
Tel: 03-2731 1652 / +6012-310 1766
E-mel: syameen@agrobank.com.my 


--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2021 MREM . All rights reserved.