Bercakap mengenai kolaborasi ini, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, “Program ini dibangunkan dengan tujuan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan PKS Bumiputera mengguna pakai teknik dan teknologi pertanian moden ke dalam perniagaan berasaskan pertanian mereka. Setiap permohonan yang berjaya akan mendapat manfaat kemudahan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh maksimum pembayaran balik sehingga 10 tahun.”
“Skop pembiayaan ini meliputi CAPEX dan perbelanjaan CAPEX, namun tidak terhad kepada input benih, baja, bahan infrastruktur, dan relevan untuk tujuan projek pertanian pintar dan amalan pertanian moden yang boleh meningkatkan pengeluaran hasil dengan kualiti yang lebih tinggi,” tambah Tengku Ahmad Badli Shah.
Menurut Tengku Ahmad Badli Shah lagi, “Pembiayaan ini juga boleh digunakan untuk tujuan pembelian mesin berteknologi tinggi seperti automasi penuaian, traktor autonomi, pembenihan dan merumput, dan dron yang boleh membantu meningkatkan produktiviti perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan mereka.”
“Agrobank sentiasa menyokong penuh inisiatif sebegini, selaras dengan agenda jaminan bekalan makanan negara dan penerapan amalan teknologi revolusi industri 4.0 (IR 4.0) ke dalam sektor pertanian Malaysia.”
Tambah beliau, suntikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke dalam perusahaan berasaskan pertanian dan agromakanan ini, bukan sahaja dapat menjamin peningkatan kualiti dan kuantiti pengeluaran, malah akan dapat terus meningkatkan taraf hidup para pengusaha, dan sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Dato’ Md Silmi Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU berkata, “Statistik Bank Dunia menganggarkan Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) industri Pertanian negara-negara ASEAN pada tahun 2020 bernilai USD 3.08 trilion, yang merupakan 11% dari keseluruhan KDNK ASEAN secara keseluruhannya. Industri antara yang terawal ini perlu diadaptasikan dengan perkembangan teknologi semasa agar ianya kekal berdaya maju kerana kewujudannya adalah kunci kepada kelangsungan jaminan makanan dan kehidupan sejagat.
TERAJU sebagai pembolehcara strategik agenda pemerkasaan Bumiputera menyambut baik kolaborasi bersama Agrobank untuk mempelopori pembiayaan ESG yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk mengalakkan pertanian jitu atau precision farming yang merupakan penyelesaian mutakhir kepada pertanian secara konvensional.
Pertanian konvensional terdedah kepada pelbagai ancaman seperti perubahan cuaca, pemanasan global serta bencana alam. Sebaliknya, pertanian jitu membuka gerbang teknologi pertanian yang kurang dibatasi oleh ancaman melalui penggunaan teknologi untuk penggunaan sumber secara optimal dengan pulangan yang lumayan.
Pertanian jitu memerlukan teknologi baru seperti GPS, dron, alat pengesan, satelit dan sistem teknologi maklumat yang dapat membantu petani meningkatkan produktiviti dan kecekapan serta keadaan optimal seperti masa yang baik untuk menanam benih tanaman, jumlah baja yang betul, serta meramal jumlah tuaian hasil tanaman secara tepat.
“Sudah tiba masanya pengusaha Bumiputera mengorak langkah seperti pengusaha-pengusaha di Thailand, Australia, Jepun dan Taiwan yang menggunakan teknologi untuk memberikan jaminan tuaian dan hasil yang memberangsangkan serta merebut peluang kedudukan geografi kerana rantau Asia adalah pasaran makanan terbesar dunia. Pasaran makanan Asia telah mengalami kenaikan dari 42% pada tahun 2014 kepada 50% pada tahun 2020 dengan anggaran perbelanjaan produk makanan bernilai USD 4.4 trilion dalam jangkamasa 10 tahun akan datang.”
Dato’ Md Silmi Abd Rahman juga berkata “Naskah Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dibangunkan oleh TERAJU telah mensasarkan sektor Pertanian dan Komoditi sebagai salah satu Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA). Sasaran pencapaian penciptaan nilai untuk KEGA ini untuk tempoh sepuluh tahun akan datang adalah pada RM25.06 bilion.”
Lima objektif utama KEGA Pertanian dan Komoditi:
1. Mengembangkan produk pertanian baharu bernilai tambah tingi
2. Menjamin pegangan dalam pasaran premium
3. Melindungi jaminan makanan Malaysia
4. Memperkukuh dan menyepadukan rantaian nilai pertanian
5. Memanfaatkan komoditi bernilai tinggi
Pembiayaan ini mensasarkan minimum 30 syarikat yang berkelayakan. Melalui pembiayaan ini, sasaran peningkatan kapasiti adalah melalui peningkatan jualan atau pendapatan keuntungan sebanyak 10% sepanjang pelaksanaan program ini.
Amalan nilai berorientasikan ESG semakin mendapat perhatian dengan didorong peningkatan kesedaran prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam kalangan PKS Bumiputera dengan matlamat untuk meningkatkan produktiviti dan menjadi lebih berdaya saing.
Mengenai Agrobank Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dilaksanakan menerusi 207 rangkaiannya sehingga tahun 2021 yang merangkumi 140 cawangan, 32 kiosk, 19 pusat perdagangan dan 16 rangkaian perbankan.
Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.
www.agrobank.com.my *VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham. Mengenai TERAJU 2021 Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai organisasi strategik yang berperanan untuk meneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Kini, fungsi TERAJU telah diperluaskan sebagai penyelaras utama Agenda sosioekonomi Bumiputera bertrajektori tinggi, melalui tindakan intervensi strategik, inisiatif dan program berlandaskan bidang keutamaan dalam Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). TERAJU berperanan menggalakan penyertaan Bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi ke arah menghasilkan ekosistem pembangunan Bumiputera yang mampan, dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif.
TERAJU turut dipertanggungjawabkan memacu aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan sosial dan kelestarian bagi menghasilkan persekitaran yang selesa dan dinamik, serta mengangkat martabat Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi.
www.teraju.gov.my dan
www.tpb2030.gov.my Unit Komunikasi Korporat TERAJU: Siti Rozalina Mohd Noor | 0192384262 |
siti.rozalina@teraju.gov.myNurul Hidayah Mohd Jamel | 0133695159
|nurulhidayah.jamel@teraju.gov.myNurul Ainaa Mazlan | 0102396969 |
nurulainaa@teraju.gov.my SUMBER: Agrobank
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Shahreen Rahim
Ketua Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1660 / +6012-943 6217
E-mel: shahreen.rahim@agrobank.com.my
Nama: Rasheffa Abdul Rashid
Eksekutif, Perhubungan Awam
Jabatan Komunikasi Korporat, Agrobank
Tel: 03-2731 1650 / +6019-272 9907
E-mel: rasheffa@agrobank.com.my
--BERNAMA