Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  PENJELASAN BAGI PENGGANTIAN SEGERA KEKOSONGAN JAWATAN DOKTOR KONTRAK BERIKUTAN PELANTIKAN TETAP

Friday 23/06/2023



KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Selaras dengan kekosongan jawatan pada tahun 2023, seramai 4,914 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Jumlah ini merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan sebanyak 316 pegawai farmasi. Daripada jumlah ini, seramai 4,907 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala 7 pegawai perubatan telah menolak pelantikan tetap tersebut. 
 
Bagi memastikan pelaksanaan yang telus dan saksama, Kementerian Kesihatan memutuskan kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist. Pegawai pergigian dan pegawai farmasi telah dibenarkan untuk membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eDentist dan ePharmacist mulai 6 hingga 8 Jun 2023, manakala pegawai perubatan pula membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen dan mengikut lima (5) fasa pelaksanaan mulai 9 Jun 2023. Proses pemilihan ini telah memasuki Fasa 5 yang berakhir 24 Jun 2023. 
 
Daripada 335 pegawai pergigian yang menyatakan setuju terima pelantikan tetap, seramai 330 pegawai telah berjaya melengkapkan pemilihan penempatan, manakala 5 pegawai tidak melengkapkan pemilihan penempatan selepas aplikasi ditutup. Bagi pegawai farmasi pula, seramai 308 daripada 316 pegawai telah berjaya memilih penempatan dalam aplikasi ePharmacist, manakala 8 pegawai lagi tidak memilih penempatan.
 
Bagi pegawai perubatan, hingga pelaksanaan Fasa 4, seramai 3,405 daripada pegawai telah memilih penempatan. Berdasarkan perjawatan yang disediakan bagi Fasa 1 hingga Fasa 4, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia telah dipilih sepenuhnya, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai. Oleh yang demikian, kesemua kekosongan jawatan ini akan ditawarkan kepada calon simpanan.
 
Dalam urusan pengambilan tetap pada kali ini, KKM telah menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa. Antara alasan yang diberikan adalah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran.
 
Pelaksanaan pengambilan tetap ini akan menyebabkan pegawai lantikan kontrak (yang tidak disandarkan atas jawatan sebelum ini) perlu mengisi perjawatan tetap mengikut waran perjawatan berkuat kuasa. Berikutan pelaksanaan urusan ini, KKM menjangkakan akan berlaku kekurangan pegawai buat sementara di fasiliti kesihatan tertentu.  Justeru, Kementerian Kesihatan telah menyediakan langkah penyelesaian bagi menangani isu tersebut, antaranya menempatkan secara berperingkat pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ke fasiliti berkenaan mulai Julai 2023. Berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 Pegawai Perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember 2023. Oleh yang demikian, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan segera mulai Julai 2023, diikuti dengan seramai 1,150 pegawai lagi yang akan diagihkan pada Ogos 2023. Urusan seterusnya akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib. 
 
Sejajar dengan konsep Malaysia Madani, KKM sentiasa prihatin terhadap kelangsungan dan kesinambungan perkhidmatan di semua fasiliti kesihatan agar penyampaian perkhidmatan kesihatan dapat diberikan secara cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat. 
 
DR ZALIHA MUSTAFA
MENTERI KESIHATAN 

 
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: +603-8883 3470

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.