Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 24 (11 JUN - 17 JUN 2023)

Tuesday 27/06/2023



KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,808 kes berbanding 2,608 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 200 kes (7.7%). Dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 tahun 2023. 

Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-24 adalah sebanyak 54,139 kes berbanding 21,688 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 32,451 (149.6%). Manakala sejumlah 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022. 

Bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini terus meningkat dengan sebanyak 110 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 95 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Daripada 110 lokaliti hotspot yang dilaporkan, 84 lokaliti berada di Selangor, 14 lokaliti di WPKL & Putrajaya, masing-masing empat (4) lokaliti di Kedah serta Pulau Pinang, tiga (3) lokaliti di Sabah serta satu (1) lokaliti di Perlis.   

Bagi survelan chikungunya sebanyak dua (2) kes telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 137 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,381 sampel darah dan 69 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Pemantauan di Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan mendapati jumlah kes demam denggi adalah tinggi dan berpotensi untuk terus meningkat jika tiada tindakan pencegahan dilakukan oleh semua pihak termasuk ahli masyarakat. Sebagai langkah proaktif, periksa setiap bekas di dalam dan di luar rumah serta pastikan tiada takungan air untuk nyamuk Aedes membiak. Pastikan barang lusuh yang tidak terpakai contohnya tayar terpakai, baldi terpakai, tong cat terpakai dan lain-lain dilupuskan secara berhemah. Pastikan longkang dan saliran air hujan tidak tersumbat oleh sampah sarap sehingga menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat Aedes bertelur. 

Di samping itu lakukan semburan aerosol di dalam rumah terutama pada pagi dan waktu senja bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa. Pakai bahan repelan nyamuk apabila melakukan aktiviti luar rumah semasa waktu puncak gigitan iaitu pukul 5 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 8 malam. Pesakit denggi juga diminta untuk menggunakan bahan repelan nyamuk agar mengurangkan risiko penyebaran demam denggi kepada keluarga dan orang terdekat melalui gigitan nyamuk. Dapatkan maklumat terkini denggi di aplikasi iDengue atau melalui pautan laman sesawang iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/. Ambil peduli bahaya denggi, jika tidak maut menanti. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.   

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
27 Jun 2023  

Lampiran Gambarajah

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.