KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) -- Negeri Sabah merupakan destinasi seterusnya dalam siri jelajah Sesi Libat Urus Pelaksanaan Sistem e-Invois anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) yang telah berjaya menghimpunkan hampir 200 orang peserta terdiri daripada para pengamal percukaian, badan profesional dan media Zon Sabah bertempat di Hotel Sutera Pacific, Kota Kinabalu Sabah.
YBrs. Encik Hisham bin Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) dalam ucapannya berkata, pelaksanaan e-invois ini mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan oleh HASiL selain memberikan manfaat berganda kepada pembayar cukai dari segi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, memudahkan urusan penyimpanan rekod dan mengurangkan kos pematuhan cukai mereka.
Dalam konteks percukaian, pelaksanaan e-invois ini dapat memperkemas dan memperkasakan sistem percukaian negara, meningkatkan ketelusan cukai
(tax transparency) di samping menyediakan penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat seterusnya menyokong hasrat kebanyakan negara ke arah pendigitalan pentadbiran cukai (
digitalisation of tax administration).
Ia juga dapat mewujudkan transaksi perniagaan yang lebih telus sekali gus membantu kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan (
shadow economy) yang menyebabkan berlakunya ketirisan hasil cukai negara.
Sebanyak 3 sesi libat urus mengenai pelaksanaan e-invois telah diadakan sebelum ini iaitu di Lembah Klang pada 22 Mei 2023, di Zon Utara pada 09 Jun 2023 dan di Zon Sarawak pada 26 Jun 2023 yang lalu. Adalah diharapkan dengan penganjuran 4 sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois ini dapat memberi gambaran yang jelas mengenai hasrat pihak kerajaan untuk menambah baik sistem percukaian negara dan mendorong kepada peningkatan tahap pematuhan cukai dalam kalangan pembayar cukai di Malaysia.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public