Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  PCG MEMBERI TUMPUAN TERHADAP PERTUMBUHAN SEGMEN BAHAN KIMIA KHUSUS

Thursday 06/07/2023



Table
Ketua Pegawai Operasi (Bahan Kimia Khusus), Dr. Debbie Chiu Yuen-Yuen 
 
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) sedang memperkukuhkan portfolio bahan kimia khususnya melalui pembentukan bahagian Kimia Khusus dalam sebahagian usahanya bagi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri petrokimia. Untuk menerajui dan memacu bahagian baharu ini, PCG telah melantik Dr. Debbie Chiu Yuen-Yuen sebagai Ketua Pegawai Operasi (Bahan Kimia Khusus), bersama pasukan pengurusan yang kukuh bagi menguruskan dan mengemudikan perancangan strategik yang kritikal, ke arah menyokong aspirasi jangka panjang PCG dalam bahan kimia khusus.
 
“Trajektori pertumbuhan pasaran bahan kimia khusus pada peringkat global dijangka berterusan, dan kami berbangga untuk memperkukuhkan kehadiran dengan penubuhan bahagian baharu ini, dan ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan bahan kimia khusus kami sejajar dengan strategi serampang kedua kami. Seluruh PCG mengalu-alukan Dr. Debbie untuk menerajui bahagian baharu ini kerana kami yakin dengan pengetahuan teknikal kimia dan pengetahuan aplikasinya yang luas, selain mempunyai visi yang tepat dalam merealisasikan aspirasi pertumbuhan bahan kimia khusus kami,” kata Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof, Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG.
 
Dr. Debbie membawa bersamanya pengalaman hampir 30 tahun dalam industri kimia dengan pengetahuan luas dalam salutan, polimer khusus, penyimpanan tenaga, bahan untuk peralatan dan penyelesaian gentian. Beliau juga mempunyai pengalaman kepimpinan dalam penggabungan dan pengambilalihan, transformasi perniagaan, pengembangan pasaran, dan sebagainya.
 
“PCG mempunyai aspirasi yang jelas dan cita-cita yang tinggi dalam perniagaannya, dan  bahan kimia khusus memainkan peranan besar untuk mencapai matlamat kami. Saya berbesar hati mengetuai pasukan baharu ini dan berharap dapat memberikan impak positif dengan memaksimumkan tawaran semasa kami dan memanfaatkan peluang pertumbuhan untuk syarikat,” kata Dr. Debbie.
 
Sebagai sebahagian daripada strategi dua serampangnya, PCG telah mengenal pasti penjurusan ke arah bahan kimia khusus sebagai penyumbang utama dalam pertumbuhan syarikat yang mampu melindungi perniagaan  daripada ketidakstabilan industri minyak dan gas yang lebih luas.
 
Syarikat telah mencapai kemajuan yang ketara dalam usaha pertumbuhan segmen ini, terutamanya dengan pengambilalihan penting Perstorp Group, peneraju global dalam bahan kimia khusus mampan yang berpangkalan di Sweden, dan akan mengembangkan kehadirannya melalui pengukuhan kedudukannya dalam pasaran Asia Pasifik. Portfolio bahan kimia khusus PCG membawa pelbagai jenis produk termasuk silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia, resin dan salutan, cecair tereka bentuk, pemakanan haiwan dan salutan termaju ke pasaran.
PCG berharap untuk mengembangkan kehadiran bahan kimia khususnya dan menjurus kepada aliran hasil baharu dengan penubuhan bahagian baharu ini yang mempunyai lebih kurang 2,000 pekerja.
 
Dikeluarkan oleh
PETRONAS Chemicals Group Berhad

SUMBER: PETRONAS Chemicals Group Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Yogeswari Thangavelu 
Tel: (6) 017 2000919
Emel: yogeswari.thangavel@petronas.com

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.