Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN ANTARA LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA DENGAN LABUAN FSA, PERBADANAN LABUAN DAN DBKK

Thursday 27/07/2023



KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA), Perbadanan Labuan (PL) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah dimeterai dengan jayanya di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, Sabah. MoU berkenaan telah disempurnakan oleh pengurusan tertinggi agensi-agensi yang terlibat iaitu YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Bin Sairi (Ketua Pegawai Eksekutif HASiL), YB Senator Tan Sri Anifah Bin Aman (Pengerusi PL), YBrs. Tuan Nik Mohamed Din Bin Nik Musa (Ketua Pengarah Labuan FSA) dan YBhg. Datuk Norliza Awang Alip (Mayor DBKK).

Majlis Penandatanganan MoU ini telah melakar sejarah baharu kerana buat julung kalinya MoU dimeterai antara HASiL dengan tiga (3) agensi dalam majlis yang sama bagi menjalin kerjasama dalam aspek perkongsian maklumat ke arah meningkatkan keberkesanan pentadbiran cukai berdasarkan fungsi masing-masing, sekali gus meningkatkan pematuhan kepada perundangan percukaian negara.

Menerusi kerjasama ini, tumpuan akan diberikan kepada padanan data dan perkongsian maklumat syarikat, perniagaan atau individu terkini yang terdapat dalam rekod Labuan FSA, PL serta DBKK. Ia juga melibatkan pemberian nombor fail cukai pendapatan oleh HASiL bagi setiap permohonan pendaftaran lesen perniagaan (trading licence) dalam Borang Pendaftaran Perniagaan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melibatkan pemohon individu dan syarikat. HASiL akan memastikan setiap pendaftaran perniagaan di PBT yang di bawah seliaan PL, Labuan FSA dan DBKK akan mempunyai nombor rujukan cukai bagi tujuan kawalan dan  pemantauan percukaian perniagaan.

Mengulas lanjut tentang inisiatif ini, YBhg. Datuk Dr. Mohd Nizom Bin Sairi menjelaskan bahawa MoU ini merupakan strategi serampang dua mata dalam mengurangkan ketirisan cukai di samping meningkatkan kesedaran orang awam selaras dengan pendekatan kesedaran (Awareness), pendidikan (Education) dan perkhidmatan (Services) atau ringkasnya A.E.S yang dilaksanakan HASiL pada masa kini.

Turut hadir dalam majlis yang bersejarah ini ialah YBhg. Dato’ Che Nazli Binti Jaapar, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia, YBrs. Tuan Haji Rithuan Bin Haji Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, YBhg. Datuk Dr. Sotimin Bin Muhalip, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), YBhg. Datuk Abu Tariq Bin Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) merangkap Authority Members Labuan FSA, YBrs. Encik Hisham Bin Rusli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), YBhg. Datuk Hajam Bin Lajah Alam, Pengarah Negeri HASiL Sabah, YBrs. Encik Jaffree bin Ismail, Pengarah Pembangunan Perniagaan & Inovasi Labuan FSA, YBrs. Encik Fadzilah bin Hj. Mahmud, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) PL, YBrs. Puan Junainah binti Abbie, Ketua Pengarah DBKK, YBrs. Puan Rosnah binti Datu Tumai, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan DBKK serta pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi tersebut.

Semoga dengan pelaksanaan MoU ini, peranan HASiL, Labuan FSA, PL dan DBKK akan menjadi lebih rancak dalam meningkatkan kecekapan sistem  penyampaian perkhidmatan awam seterusnya menyumbang kepada kelestarian hasil negara.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
 
a)         Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b)         HASiL Live Chat; dan
c)         Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public 

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

 
Tarikh: 27 Julai 2023

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Hasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA


 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.