CIMB perkenal cawangan pertama dengan ciri-ciri kelestarian bersepadu di IOI City Mall yang mengintegrasikan unsur-unsur mesra alam serta pendekatan sosial yang inklusif dalam reka bentuk dan operasinya untuk memupuk persekitaran perbankan yang lebih inklusif dan mampan. Digambarkan di majlis perasmian tersebut adalah Datuk Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi, CIMB Group (empat dari kiri); Dato’ Abdul Rahman Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group (lima dari kiri); Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan (tiga dari kiri), CIMB Group; Daniel Cheong, Ketua Perbankan Pengguna Malaysia, CIMB (tiga dari kanan), bersama (kiri-kanan) Aiha Zawiah Idris, Pengarah Serantau, Jualan & Pengedaran Pengguna; Albert Wong Gin Sang, Ketua, Jualan & Pengedaran Pengguna 1; Faridah Mohammad, Ketua, Jualan & Pengedaran Pengguna 2; and Maziani Othman, Pengurus Cawangan, CIMB IOI City Mall.Cawangan ini menunjukkan komitmen CIMB untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang lebih inklusif dan selesa untuk pelanggan yang mempunyai keperluan khas, dan pada masa yang sama turut mengurangkan impak kepada alam sekitar KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (secara kolektif “CIMB” atau “Bank”) telah memperkenalkan cawangan pertama dengan ciri-ciri kelestarian bersepadu di IOI City Towers @ IOI Resort City, Putrajaya, sebuah bangunan hijau yang disahkan oleh Indeks Bangunan Hijau (“GBI”). Cawangan ini adalah yang pertama dari CIMB yang mengintegrasikan unsur-unsur mesra alam serta pendekatan sosial yang inklusif merentasi reka bentuk dan operasinya, justeru membolehkan Bank mengurangkan impak alam sekitar dan memupuk persekitaran perbankan yang lebih inklusif.
Sejajar dengan agenda kewangan lestarinya, CIMB akan mengambil pendekatan yang mengutamakan prinsip ESG dalam mempromosikan rangkaian penyelesaian perbankan konvensional dan Islamik di cawangan tersebut. Tawaran yang disediakan oleh CIMB termasuk pembiayaan rumah hijau, pembiayaan kenderaan elektrik (EV), pembiayaan panel solar, produk pengurusan kekayaan berasaskan ESG, pembiayaan bagi golongan B40, dan juga deposit yang berfokuskan alam sekitar. Sebagai bank pertama di Malaysia yang menawarkan rangkaian penyelesaian kewangan lestari yang lengkap, CIMB komited untuk menjadikan gaya hidup yang mampan lebih mudah dicapai oleh pelanggan serta penuh ganjaran.
Cawangan CIMB IOI City Mall dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang telah disesuaikan untuk pengalaman perbankan yang lebih inklusif. Antaranya termasuk laluan keutamaan ATM yang memudahkan akses bagi pelanggan yang mempunyai keperluan khas, satu kemudahan yang disediakan buat kali pertama di seluruh rangkaian cawangan CIMB di Malaysia. Kemudahan lain yang disediakan termasuk perkhidmatan kerusi roda serta kaunter rendah untuk transaksi di kaunter.
Dalam menyokong komitmen CIMB berkenaan alam sekitar, cawangan ini turut mempunyai ciriciri yang boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau (“GHG”). Ciri-ciri ini termasuk penggunaan sistem penyejukan dan pencahayaan yang efisyen, bahan binaan mampan dengan kandungan kitar semula yang diperakui serta perabot pejabat lama yang digunakan semula.
Penyepaduan ciri-ciri kemampanan dalam rangkaian cawangan-cawangan CIMB akan menjadi tunjang utama pendekatan CIMB pada masa akan datang, selaras dengan komitmen CIMB untuk menerajui inisiatif operasi neutral karbon menjelang 2030. CIMB akan berusaha untuk memastikan cawangan-cawangan baharu akan direka bentuk untuk mengurangkan pelepasan serta impak kepada alam sekitar. Pada masa yang sama, pihak Bank akan meneruskan usaha untuk mengubahsuai dan menambahbaik cawangan yang sedia ada dengan pemasangan lampu dan juga sistem penyejukan yang cekap tenaga, serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna dan Digital Kumpulan, CIMB Group berkata, “Perbankan bukan sahaja tertumpu kepada sesuatu produk atau perkhidmatan, tetapi juga tentang memastikan kami prihatin dalam menjangka keperluan pelanggan dan memberikan mereka pengalaman perbankan yang terbaik pada setiap titik sentuh. Oleh sebab itu, kami berbangga untuk memperkenalkan cawangan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menunjukkan komitmen CIMB terhadap pendekatan sosial yang inklusif dan juga pengurangan impak terhadap alam sekitar.”
“Di CIMB, kami percaya sepenuhnya dalam memastikan bahawa semua anggota masyarakat, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas, dapat mengakses perkhidmatan kewangan dengan mudah. Melalui usaha berterusan kami dalam pendigitalan dan penambahbaikan kepada rangkaian cawangan CIMB untuk meningkatkan aksesibiliti, kami berhasrat untuk memastikan semua pelanggan berasa selesa dan dihargai semasa menjalankan aktiviti perbankan dengan CIMB,” tambahnya.
Ciri-ciri kecekapan tenaga cawangan ini turut melengkapkan inisiatif Bank untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar secara keseluruhannya. CIMB Group komited untuk mencapai sasaran operasi neutral karbon menjelang tahun 2030, melalui pelepasan GHG Skop 1 secara langsung dan pelepasan GHG Skop 2 daripada penggunaan tenaga elektrik. Selaras dengan komitmen ini, CIMB telah mengurangkan pelepasan GHG dalam rangkaian cawangannya di seluruh Malaysia sebanyak 16% dari tahun 2019 hingga 2022. CIMB menyasar untuk menggandakan pengurangan ini dalam tempoh dua tahun yang akan datang.
Selain itu, CIMB bermatlamat untuk mengukuhkan lagi insiatif kewangan yang inklusif dengan menambah baik aksesibiliti perbankan. Sebagai contoh, ini termasuk komitmen CIMB untuk memastikan semua cawangannya di Malaysia dilengkapi dengan kerusi roda menjelang tahun 2023, serta menambah bilangan cawangan yang boleh diakses sepenuhnya melalui tanjakan kerusi roda pada tahun 2024.
Untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan tawaran serta inisiatif mampan CIMB, sila layari
http://www.cimb.com.my/sac. Tentang CIMB CIMB merupakan sebuah kumpulan perbankan yang terkemuka di ASEAN dan penyedia perkhidmatan kewangan yang kedua terbesar di Malaysia, mengikut saiz aset. Disenaraikan di Bursa Malaysia melalui CIMB Group Holdings Berhad, CIMB mempunyai permodalan pasaran sekitar RM56.6 billion setakat 31 Mac 2023. CIMB menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan pengguna, perbankan komersial, perbankan borong, perbankan transaksi, perbankan Islam dan pengurusan aset. Berpusat di Kuala Lumpur, CIMB beroperasi di kesemua 10 negara anggota ASEAN (Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja, Brunei, Vietnam, Myanmar, Laos dan Filipina). Di luar ASEAN, Kumpulan CIMB turut beroperasi di pasaran China, Hong Kong, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan UK.
CIMB memiliki salah satu rangkaian cawangan perbankan yang terluas di ASEAN dengan 602 buah cawangan dan sekitar 33,000 orang pekerja setakat 31 Mac 2023. Unit perbankan pelaburan CIMB merupakan salah sebuah bank pelaburan terbesar yang berpusat di Asia Pasifik, yang bersama dengan unit perbendaharaan & pasaran dan perbankan korporat membentuk francais perbankan borong terkemuka Kumpulan CIMB. CIMB juga memegang 92.5% saham di Bank CIMB Niaga, Indonesia dan 94.8% saham di CIMB Thai, Thailand.
SUMBER : CIMB Group
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Hishamuddin Omar / Anis Azharuddin
Komunikasi Korporat Kumpulan
CIMB Group Holdings Berhad
Emel : hishamuddin.omar@cimb.com / anis.azharuddin@cimb.com
--BERNAMA