KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-31 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,542 kes berbanding 2,427 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 115 kes (4.7%). Dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-31 tahun 2023.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-31 adalah sebanyak 71,193 kes berbanding 32,521 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 38,672 (118.9%). Manakala sejumlah 49 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini menurun dengan sebanyak 86 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 93 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 69 lokaliti berada di Selangor, tujuh (7) lokaliti di WPKL & Putrajaya, masing-masing tiga (3) lokaliti di Perlis serta Kedah dan masing-masing dua (2) lokaliti di Negeri Sembilan serta Sabah.
Bagi survelan chikungunya dua (2) kes telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-31. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 147 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 1,862 sampel darah dan 129 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Cuaca panas berselang-seli dengan hujan merupakan keadaan yang kondusif untuk pembiakan nyamuk
Aedes. Oleh itu, cara paling efektif untuk mengurangkan populasi nyamuk
Aedes di persekitaran adalah secara pemusnahan tempat pembiakan serta aktiviti membubuh bahan pembunuh jentik- jentik di dalam takungan air. Pastikan tiada air bertakung di dalam bekas yang tidak digunakan serta keringkan dan simpan bekas tersebut di tempat yang sesuai. Lupuskan barang lusuh yang tidak digunakan di tempat pelupusan yang telah ditentukan. Lakukan aktiviti semburan aerosol bagi membunuh nyamuk
Aedes dewasa yang berada di dalam premis.
Sapukan bahan repelan nyamuk pada anggota badan yang terdedah semasa melakukan aktiviti luar pada waktu nyamuk aktif, iaitu pukul 5 pagi hingga 8 pagi dan 5 petang hingga 8 malam untuk mencegah dari terkena gigitan nyamuk
Aedes. Dapatkan rawatan awal di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala denggi seperti demam tinggi secara tiba-tiba, sakit otot/ badan, pening atau sakit pada belakang mata. Ambil peduli, kalau tidak maut menanti.
Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika. DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN KETUA PENGARAH KESIHATAN 16 OGOS 2023Klik di sini untuk LampiranSUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Farahdila Wati binti Mohd Khamde KhuzainiPegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
e-mel : farahdilawati@moh.gov.my
--BERNAMA