Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN JULAI 2023

Monday 21/08/2023



 
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia, dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.

Bagi bulan Julai 2023, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam.

1. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan penyakit Demam Denggi, sejumlah 2,644 tawaran kompaun bernilai RM1,322,000 telah dikeluarkan dengan purata RM500.00 setiap kompaun. Sejumlah 249 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 36 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM171,000.

2. Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 21,429 premis yang dilawati, sejumlah 9,837 notis kesalahan dikeluarkan. Sebanyak 5,199 kompaun telah ditawarkan dengan nilai tawaran berjumlah RM1,253,150.
 
3. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983, sebanyak 6,832 premis makanan telah diperiksa. Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Sek. 11, Akta Makanan 1983 adalah 226 premis iaitu 3.31% daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa. Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan.

Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN

18 OGOS 2023

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.