|
|
|
|
Disember 05, 2025 -Jumaat |
|
|
|
 |
|
|
|
|
SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 32 (06 OGOS - 12 OGOS 2023)
Friday 25/08/2023
KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-32 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,487 kes berbanding 2,542 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 55 kes (2.2%). Empat (4) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-32 tahun 2023.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 adalah sebanyak 73,680 kes berbanding 33,911 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 39,769 (117.3%). Manakala sejumlah 53 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 31 kematian (140.9%).
Bilangan lokaliti hotspot pada minggu ini menurun dengan sebanyak 73 lokaliti hotspot dilaporkan berbanding 86 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 57 lokaliti berada di Selangor, 12 lokaliti di WPKL & Putrajaya, dua (2) lokaliti di Sabah serta masing-masing satu (1) lokaliti di Negeri Sembilan dan Kedah.
Bagi survelan chikungunya lima (5) kes telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-32. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 152 kes. Manakala bagi survelan zika, sebanyak 1,932 sampel darah dan 141 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Lakukan aktiviti Cari dan Musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan persekitaran luar premis bagi memutuskan rantaian hidup nyamuk. Bubuh bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas dan struktur yang menakung air contohnya kolah, akuarium, rekahan konkrit, hiasan buatan manusia dan tempat penyimpanan air. Pastikan tiada air bertakung di kawasan dalam premis contohnya penapis air, alas pasu, alas pinggan mangkuk dan sebagainya. Telur nyamuk dapat bertahan dalam keadaan kering sehingga lapan (8) bulan dan dapat menetas semula sekiranya terdapat sumber air. Oleh itu, bekas takungan air perlu dibersihkan dengan cara memberus untuk menanggalkan telur nyamuk yang melekat di dinding bekas. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.
DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN KETUA PENGARAH KESIHATAN 25 OGOS 2023
LAMPIRAN 1
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini Pegawai Perhubungan Awam Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia Tel : +603-8883 3470 Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA
|
|
|
|
|
|