CYBERJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Bagi memelihara integriti dan membuktikan kewibawaan organisasi, Insititut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hari ini telah menzahirkan komitmen dan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras salah laku jenayah rasuah dan salah guna kuasa. MARii meneruskan komitmen ke arah membudayakan integriti dalam organisasi dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Majlis menandatangani ikrar tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Phang Ah Tong, Pengerusi MARii sambil disaksikan oleh Tuan Shamsul Bin Salip, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Bahagian Pendidikan Masyarakat, SPRM. Majlis tersebut telah diadakan bersempena Pelancaran Polisi “Whistleblowing” dan “No Gift Policy’’ yang turut dihadiri oleh pegawai SPRM.
Menurut Datuk Phang Ah Tong, pematuhan Seksyen 17A (Corporate Liability) Akta SPRM 2009 sedang giat berjalan di MARii. Beliau turut menzahirkan kepercayaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, MARii dalam memainkan peranan dalam memastikan bahawa segala tadbir urus dalam melahirkan sebuah jentera pengurusan dijalankan dengan berintegriti, amanah dan beretika.
Seramai 82 orang pegawai MARii turut melafazkan ikrar dan menandatangani IBR sebagai satu janji bukan sahaja kepada MARii dan juga Kerajaan, malah ia adalah satu komitmen kepada diri sendiri yang mendokong amanat agama untuk membentuk dan menjalani kehidupan yang lebih baik agar kehidupan diberkati.
IBR merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh SPRM dalam memberi penekanan kepada para kepimpinan dan kakitangan MARii dalam memastikan setiap individu yang menandatangani ikrar tersebut akan lebih berintegriti dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah selama memegang jawatan masing-masing.
Azrul Reza Aziz di dalam ucapannya berkata MARii sedang dalam usaha membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) yang bakal disiapkan dalam tahun ini. Dalam pelan ini, beberapa inisiatif OACP telah dibangunkan untuk dalam usaha memerangi rasuah dan korupsi. Inisiatif-inisiatif yang akan diberikan penekanan adalah struktur tadbir urus dan undang-undang, perolehan dan kewangan, sumber manusia serta operasi.
“’Langkah ini sekali gus dapat memberi mesej kepada masyarakat bahawa usaha membenteras dan memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksekutif SPRM semata-mata, sebaliknya ia merupakan amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh kita semua bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa’’, tambah Azrul Reza Aziz.
Beliau turut mengharapkan jalinan kerjasama strategik di antara MARii dan SPRM ini dapat diperkukuhkan lagi pada masa hadapan melalui program-program kesedaran dan latihan demi menjamin kesejahteraan rakyat, ekonomi dan negara.
MENGENAI MARiiMARii (Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute) adalah sebuah institut yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) pada tahun 2010. MARii ditubuhkan sebagai pusat kepakaran untuk membangunkan industri automotif, robotik dan IoT di Malaysia, serta menggalakkan inovasi dan penggunaan teknologi dalam sektor ini.
Untuk maklumat lanjut boleh layari
https://marii.my/.
SUMBER: MARii
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat, MARii
Tel: 6010 239 6969 / 016 966 9243
Emel: nurulainaa@teraju.gov.my / faiz@marii.my
--BERNAMA