Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  RANCANGAN PELAKSANAAN PEMBERIAN VAKSIN KOMBINASI TETANUS-DIFTERIA- PERTUSSIS KEPADA IBU HAMIL

Monday 28/08/2023



KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkenalkan inisiatif baharu, iaitu pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria-pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di Malaysia. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan risiko jangkitan pertussis, terutamanya dalam kalangan bayi berumur bawah lima bulan.

Bayi berumur bawah lima bulan merupakan kumpulan yang paling berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan pertussis dan mengalami komplikasi penyakit tersebut, seperti pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian. Perkara ini berlaku kerana antibodi dalam tubuh bayi hanya akan mencapai tahap perlindungan yang optimum apabila bayi lengkap menerima tiga dos vaksin pertussis yang diberikan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan apabila berumur lima bulan.

Terkini, bagi tahun ini sehingga 23 Ogos 2023 sebanyak 343 kes Pertussis dengan 24 kematian telah dilaporkan di seluruh Malaysia. Daripada 343 kes pertussis yang dilaporkan, 173 kes (50.4%) merupakan bayi berumur bawah 5 bulan. Manakala dari 24 kematian yang dicatatkan pula, 19 kematian berlaku dalam kalangan bayi berumur bawah 5 bulan.

Pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil akan memberi perlindungan kepada bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi tersebut lahir dan dapat melengkapkan tiga dos primer vaksin pertussis pada umur lima bulan, melalui antibodi dari tubuh ibu yang dipindahkan kepada bayi dari dalam kandungan. Oleh itu, pemberian vaksin Tdap kepada ibu hamil dapat mencegah jangkitan pertussis dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan di negara ini.

Inisiatif baharu ini melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM25 juta, bagi meliputi anggaran 500,000 ibu hamil di seluruh negara pada setiap tahun. KKM kini sedang membuat perancangan rapi pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi tetanus–difteria- pertussis (Tdap) kepada semua ibu hamil di seluruh negara. Apabila dilaksanakan kelak, semua ibu hamil, termasuk bukan warganegara, akan diberikan satu dos vaksin Tdap ketika trimester kedua atau ketiga kehamilan (antara tempoh kehamilan 13 hingga 36 minggu) secara percuma di fasiliti kesihatan primer KKM di seluruh negara.

Pelaksanaan dijangka akan bermula pada tahun 2024 setelah urusan perolehan bekalan vaksin Tdap selesai dan bekalan vaksin tersebut tersedia di fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

DR ZALIHA BINTI MUSTAFA
MENTERI KESIHATAN
28 OGOS 2023

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini

Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187

--BERNAMA




 

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.