|
|
|
|
Disember 05, 2025 -Jumaat |
|
|
|
 |
|
|
|
|
KENYATAAN MEDIA INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN KENYATAAN DAKWAAN PEMERINTAHAN MALAYSIA BERSIFAT SEKULARISME DAN 'MALAYSIAN MALAYSIA'
Tuesday 29/08/2023
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Sistem raja berperlembagaan yang demokratik berlandaskan Al-Quran adalah suatu konsep yang cuba menggabungkan prinsip-prinsip demokrasi dengan nilai-nilai Islam yang terkandung dalam Al-Quran. Dalam sistem ini, prinsip-prinsip Al-Quran seperti keadilan, musyawarah (berunding), amar ma'ruf nahi munkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), dan penghormatan terhadap hak asasi manusia menjadi landasan dalam pengambilan keputusan politik dan pembentukan kerajaan. Dalam sistem ini, rakyat tetap memainkan peranan penting dalam pemilihan wakil-wakil mereka melalui pilihan raya umum, dan kerajaan masih dibentuk berdasarkan majoriti kerusi yang dimenangi oleh parti atau kumpulan politik dalam Dewan Rakyat, Parlimen. Namun, keputusan politik dan undang-undang yang dibuat akan dipertimbangkan dengan merujuk kepada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Al-Quran. Ini boleh termasuk dalam isu-isu seperti ekonomi, keadilan sosial, pendidikan, dan perlindungan hak asasi manusia. Sistem ini menggabungkan nilai-nilai demokrasi dengan panduan moral dan etika dari al-Quran untuk membentuk suatu kerangka yang mencerminkan prinsip-prinsip Islam. Penting untuk diingat bahawa interpretasi al-Quran dan nilai-nilai Islam dapat bervariasi dalam kalangan sarjana dan masyarakat Muslim. Justeru, implementasi sistem semacam ini akan memerlukan pemahaman dan konsensus yang luas dalam masyarakat, serta pematuhan terhadap prinsip-prinsip dasar demokrasi. Bekas Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hukum menjatuhkan pemimpin adalah haram di sisi Islam selagimana pemerintah itu masih berpegang kepada ajaran agama dan tidak mengajak rakyat melakukan maksiat. Bercakap soal demokrasi, penukaran pemimpin perlu dibuat melalui saluran yang betul iaitu pilihan raya (12 April 2016). Meneliti antara intipati kenyataan media pertama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2022, beliau komited mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjunjung agama Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3(1)), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), kedudukan Raja-Raja Melayu (Perkara 38) dan hak keistimewaan kaum Melayu (Perkara 153) tanpa meminggirkan hak kaum Cina, India, suku kaum Sabah dan Sarawak serta orang asli. Gagasan Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan beliau juga perlu difahami dengan konsep dan falsafah sebenar kerana menurut Al-Farabi, sumber utama ilmu madani adalah ajaran agama yang menjadi teras pembentukannya justeru sebarang pandangan yang memisahkan madani dan agama dengan dakwaan sekularisme adalah salah dan terpesong. Gagasan Malaysia MADANI ini juga berasaskan konsep negara Madinah yang mana Rasulullah SAW berjaya menyatupadukan warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum bukan sahaja sesama umat Islam (muhajirin dan ansar), bahkan juga dengan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah. Jika dilihat, Perlembagaan Persekutuan yang kita miliki hari ini juga mengambil semangat Piagam Madinah yang merupakan satu dokumen berteraskan persetujuan bersama semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa (kontrak sosial). Kerajaan Perpaduan dibentuk dengan sokongan padu daripada empat gabungan terbesar iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Parti Sabah menterjemahkan nilai kebersamaan dan diversiti dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia MADANI berbilang etnik dan agama. Ia juga selaras dengan ayat al-Quran Surah al-Hujurat Ayat 13 yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah lagi Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti.” Ayat ini jelas sebagai panduan untuk hidup serumpun dan bersatu-padu walau mempunyai pelbagai perbezaan. Maka sebarang usaha atau kenyataan sensitif yang menyebarkan api kebencian, perkauman dan permusuhan dalam masyarakat perlu dipadamkan kerana bagai api dalam sekam, jika dibiarkan akan melarat. Selaras dengan tema Hari Kebangsaan Malaysia ke 66, "Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan", marilah kita semua bersatu padu membina sebuah negara yang berprogresif, menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen tertinggi negara dan menghayati Rukun Negara dalam penyatuan semua warga Malaysia. Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia 29 Ogos 2023 Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: Nama: Hajah Nik Hasnah binti Ismail Tel: 016-2195345 E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my Nama: Nor Zuliana binti Mohd Zaman Tel: 019-5622221 E-mel: zuliana@ikim.gov.my
--BERNAMA |
|
|
|
|
|