KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin memaklumkan bahawa bagi memudahkan pembayaran Cukai Pegangan, borang Cukai Pegangan secara elektronik (e-WHT) telah diperkenalkan mulai 1 Januari 2023. e-WHT ini merupakan salah satu e-Perkhidmatan Percukaian yang diwajibkan penggunaannya secara dalam talian mulai 1 September 2023 secara berperingkat.
Pembayaran Cukai Pegangan menerusi e-WHT akan menggunakan Nombor Bil sebagai rujukan bayaran yang boleh dibuat melalui kaedah FPX di Portal Bayaran HASiL (ByrHASiL) atau boleh dicapai di Portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my. e-WHT juga membolehkan bukti penerimaan bayaran terus dikeluarkan dan data diterima secara terus oleh HASiL sebaik sahaja bayaran dilakukan.
Pembayar cukai yang ingin membuat bayaran Cukai Pegangan melalui e-WHT perlu mengakses sistem tersebut dengan log masuk terlebih dahulu menggunakan maklumat pengenalan (ID) MyTax untuk capaian di Perkhidmatan ezHasil > eWHT. Nombor Bil akan dijana secara automatik setelah borang berjaya dihantar dalam talian dengan maklumat yang lengkap.
e-WHT ini diperkenalkan sebagai alternatif kepada kaedah pembayaran Cukai Pegangan sedia ada iaitu:
• Bayaran secara manual di Kaunter Pusat Pengurusan Terimaan HASiL (PPTH);
• Bayaran secara dalam talian melalui kaedah Pindahan Telegrafik (Telegraphic Transfer), Pindahan Dana Elektronik (EFT) dan Pindahan Giro Antara Bank (IBG) dari dalam dan luar negara melalui Sistem e-TT.
Pembayar cukai yang biasanya membuat bayaran Cukai Pegangan melalui kaedah Telegraphic Transfer, EFT dan IBG dari dalam dan luar negara dengan menggunakan sistem e-TT digalakkan untuk menggunakan e-WHT sekiranya mempunyai akaun bank dalam negara Malaysia.
Sebagai maklumat tambahan, tiada lagi keperluan pengemukaan borang atau dokumen bagi bayaran cukai pegangan yang diterima melalui Sistem e-TT secara e-mel oleh pembayar cukai mulai 1 September 2023. Walau bagaimanapun, resit dan semua dokumen berkaitan dengan bayaran cukai pegangan hendaklah disimpan secara teratur bagi tujuan semakan pematuhan pada masa hadapan.
Pembayar cukai yang membuat bayaran di PPTH (Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu) adalah digalakkan untuk menggunakan e-WHT bagi pengemukaan borang dan mendapatkan Nombor Bil terlebih dahulu sebelum membuat bayaran Cukai Pegangan bagi mempercepat pengeluaran resit bayaran.
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public Dikeluarkan Oleh:Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri MalaysiaSumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Hasil Recovery Call Centre: 03-8751 1000
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my
--BERNAMA