KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-33 tahun 2023, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,248 kes berbanding 2,487 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 239 kes (9.6%). Satu (1) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-33 tahun 2023.
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-33 adalah sebanyak 75,928 kes berbanding 35,330 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 40,598 (115%). Manakala sejumlah 54 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada minggu ini adalah 74 lokaliti berbanding 73 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 74 lokaliti yang dilaporkan, 53 lokaliti di Selangor, 17 lokaliti di WPKL & Putrajaya, dua (2) lokaliti di Negeri Sembilan dan masing-masing satu (1) lokaliti di Sabah dan Perak.
Bagi survelan chikungunya, empat (4) kes telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-33. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 156 kes. Bagi survelan zika, sebanyak 2,026 sampel darah dan 153 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes merupakan salah satu aktiviti advokasi yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dalam memastikan persekitaran bebas dari bekas-bekas yang berpotensi pembiakan nyamuk
Aedes. Selain membersihkan bahagian dalam dan persekitaran rumah, beberapa lokasi lain yang perlu diberi tumpuan adalah lorong belakang rumah, kawasan kebun komuniti, premis kosong serta lokasi tumpuan awam seperti rumah ibadat, kedai, pusat komersil dan kawasan taman rekreasi. Pupuklah sikap dan tabiat prihatin di dalam kalangan anggota keluarga dan masyarakat agar tidak membuang sampah merata-rata. Ambil tindakan pencegahan proaktif bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti dari ancaman demam denggi.
Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika. DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN KETUA PENGARAH KESIHATAN Sila klik di sini untuk
LampiranSumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Tel: +603-8883 3470
Faks: +603-8888 6187
--BERNAMA