Disember 05, 2025 -Jumaat

 
  IGEM 2023 MENERUSKAN MOMENTUM SEBAGAI PENERAJU USAHA TINDAKAN IKLIM

Friday 01/09/2023



Syarikat Korporat & Pakar Antarabangsa Mengesahkan Kehadiran Masing-masing
 
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Acara perdagangan untuk teknologi hijau dan penyelesaian eko yang terkemuka di Asia Tenggara, Persidangan Dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM), akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 4 hingga 6 Oktober 2023.
 
Persediaan bagi persidangan yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan bantuan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang giat dilaksanakan dengan pengesahan penyertaan daripada syarikat-syarikat korporat terkemuka termasuk Solarvest Holdings Berhad, Samaiden Group Berhad, Polymateria Far East Private Limited, Cenergi SEA Berhad dan Leader EV Solutions Sdn Bhd.
 
Penyertaan daripada peringkat antarabangsa termasuklah Arctech Solar (China), Phoenix Green Energy (Austria), International Science Council (Perancis) dan Saxon Renewable Pte. Ltd (Singapura). Pameran ini akan turut melibatkan penyertaan dari negara Austria dan Kanada.
 
Dengan catatan prestasi peluang perniagaan bernilai RM41 bilion, lebih 530,000 orang pengunjung termasuk pengunjung dari lebih 112 buah negara sejak tahun 2010, IGEM 2023 yang bertemakan "Usaha Ke Arah Rendah Karbon: Kepimpinan dalam Tindakan Iklim", menyasarkan peluang perniagaan bernilai RM4 bilion, 400 gerai pameran dan 40,000 orang pengunjung daripada lebih 40 buah negara.
 
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim YB Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, susulan seramai 3.3 bilion yang tinggal dalam keadaan yang terjejas di seluruh dunia, maka inovasi, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang sedang dilaksanakan terus menjadi keutamaan.

Persediaan untuk IGEM 2023 berjalan lancar di mana Malaysia berhasrat untuk menjadi tuan rumah kepada acara yang penuh dengan impak dan wawasan yang menawarkan pelbagai teknologi, produk dan penyelesaian yang inovatif bagi menyokong usaha tindakan iklim.
 
"IGEM 2023 memainkan peranan sebagai peneraju dalam mempercepatkan dan merealisasikan agenda Rendah Karbon dan Peralihan Tenaga Saksama di rantau ini. Ia merupakan satu-satunya platform yang menggabungkan teknologi pengubah industri, persidangan yang komprehensif, sesi pemadanan dan rangkaian perniagaan, penyertaan dari pelbagai negara, para pengunjung berprofil tinggi serta beberapa acara sampingan yang berlangsung serentak. Acara seperti ini merupakan penyumbang penting kepada tindakan iklim di peringkat negara, serantau dan juga global," tambah beliau lagi.

Ruang pameran akan disusun berdasarkan tema termasuk Memperkasakan Bandar, Mobiliti Elektrik, Tenaga Rendah Karbon, Mempercepatkan Kitaran dan Memulihara Biodiversiti. Pelbagai Memorandum Persefahaman (MOU) akan ditandatangani antara pihak tempatan dan antarabangsa bagi mengukuhkan komitmen masing-masing terhadap ekonomi hijau serantau.

Beberapa penaja yang mengesahkan penyertaan mereka termasuklah Solarvest Energy Sdn Bhd, United Overseas Bank (Malaysia) Berhad dan Samaiden Group Berhad, yang merupakan penaja perak. Cenergi SEA Berhad, Polymateria Far East Private Limited dan Leader EV Solutions Sdn Bhd pula telah mengesahkan penyertaan sebagai penaja gangsa.

Sejak sekian lama, IGEM telah menjadi titik tumpuan bagi para peneraju dan pemikir dalam teknologi hijau dan perubahan iklim.

Antara topik persidangan sepanjang tiga hari itu termasuklah perubahan iklim, bandar rendah karbon, inovasi sains, ekonomi hidrogen, pengurusan sisa, ekonomi kitaran, air, kecekapan tenaga dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Di samping itu, Suruhanjaya Tinggi Canada dan Business Finland akan mengadakan seminar dan sesi rangkaian bagi menawarkan idea dan penyelesaian yang inovatif kepada para peserta.

Untuk tahun ke-14 berturut-turut, IGEM akan membawakan sesi rangkaian perniagaan yang mendapat permintaan ramai yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Bagi menjadi sebahagian daripada Usaha Ke Arah Rendah Karbon, daftarlah secara percuma sebagai pelawat perdagangan atau awam di https://www.igem.my/visitor-registration. Untuk maklumat lanjut tentang IGEM 2023, sila layari www.igem.my.

Mengenai Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)
 
MGTC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang diberi mandat untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, memajukan tindakan iklim dan memupuk gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat.
 
Berpandukan Dasar Teknologi Hijau Negara (NGTP), Dasar Perubahan Iklim Negara (NCCP), Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 (GTMP) dan Rancangan Malaysia ke-12, MGTC menjalankan pelbagai program dan inisiatif untuk menyokong para pemegangan kepentingan di semua peringkat.
 
Menjelang tahun 2030 dan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan, MGTC berhasrat untuk membuat pelaburan hijau sebanyak RM100 bilion, mewujudkan sebanyak 230,000 peluang pekerjaan hijau dan membantu Malaysia mencapai pelepasan GHG sifar bersih dengan sasaran seawal tahun 2050.
 
Sumber: Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Sharifah Syazwani binti Syed Mohamed
Executive - Special Projects, MGTC
Tel: +60 14-342 8570
E-mel: Sharifah.syazwani@mgtc.gov.my 

--BERNAMA

 
 
 

Copyright @ 2025 MREM . All rights reserved.